HIDUP bersyariat memerlukan Muslim saling bantu-membantu ke arah kebajikan dan takwa dan bukan membantu dalam perkara yang menambahkan dosa dan permusuhan.
HIDUP bersyariat memerlukan Muslim saling bantu-membantu ke arah kebajikan dan takwa dan bukan membantu dalam perkara yang menambahkan dosa dan permusuhan.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Muslim yang baik ialah mereka yang sentiasa memberi nasihat dan bersedia untuk menerima nasihat demi kebaikan bersama. Namun kadang-kadang nasihat yang diberikan bukan mudah untuk diterima oleh sebahagian Muslim mungkin disebabkan ungkapan nasihat yang kurang berkesan ataupun nasihat yang diberikan tidak kena pada tempat dan masa yang sesuai. Ada juga nasihat yang diberikan mempunyai elemen persendaan mahupun mengaibkan seseorang seperti kata-kata penghinaan dan tutur kata yang kesat. 

Setiap Muslim perlu sedar bahawa kehidupan dunia sentiasa menjadi medan ujian buat kita. Sebahagian kita diuji dengan dugaan yang besar sehingga menyebabkan seseorang mungkin terjebak dengan hawa nafsu dan tersalah memilih jalan hidup. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya nafsu itu akan mendorong kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat oleh Allah SWT." -  (Surah Yusuf, ayat 53).

Untuk bangkit keluar daripada cengkaman hawa nafsu dan amalan yang buruk bukanlah sesuatu perkara yang mudah bagi sebahagian Muslim yang rapuh imannya. Namun, kita perlu menginsafi bahawa perjuangan mereka untuk kekal di dalam ketaatan terhadap agama memerlukan mujahadah yang sangat kuat. Justeru, mengambil tanggungjawab sebagai Muslim memberikan nasihat kepada saudaranya merupakan tindakan yang baik namun natijahnya belum tentu berhasil. Ini kerana kita sebagai Muslim mampu untuk menyampaikan nasihat, namun hidayah milik Allah SWT yang mengkehendaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. 

Kita sebagai Muslim percaya terlalu banyak hikmah yang berlaku di dalam kehidupan dunia ini buat manusia. Banyak sebab dan musabab yang yang berlaku sehinggakan sesuatu yang berlaku itu tidak mampu difahami oleh kita, namun Allah SWT jua yang mengetahui hakikat kehidupan ini. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." ( Surah Al-Baqarah ayat 216) 

Di dalam melaksanakan tanggungjawab menasihati sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT kepada hamba-Nya agar terus istiqamah membuat kebaikan dan kebajikan, ia mengkehendaki kita semua untuk sentiasa memanjatkan doa pertolongan dan kekuatan buat saudara kita. Setelah nasihat baik diberikan, maka kekuatan doa merupakan senjata terakhir bagi menjadi benteng pertahanan dan kekuatan buat saudara kita yang diinginkan kebaikan buatnya. Mungkin sebahagian kita merupakan hamba Allah yang soleh serta doanya sentiasa dimakbulkan Allah SWT menjadi asbab saudara kita yang ingin berubah dibukakan pintu hatinya untuk kembali kepada jalan yang benar. Justeru, usahlah kita sebagai Muslim mengambil pendekatan untuk menghukum seseorang sehingga kita lupa bahawa kita telah membuat satu dosa dengan menghina, mengeji, mencerca, menjatuhkan aib saudara kita dan akhirnya meruntuhkan adab dan nilai-nilai murni yang di ajar di dalam Islam.

Bagi mencapai kesempurnaan hidup bersyariat memerlukan Muslim saling bantu-membantu ke arah kebajikan dan takwa dan bukan membantu dalam perkara yang menambahkan dosa dan permusuhan. Muslim yang baik ialah mereka yang sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada saudara kita yang ingin berusaha untuk membiasakan dengan jalan syariat yang benar namun setiap orang mempunyai latar yang berbeza. Kekuatan dan kemampuan seseorang tidak sama namun sokongan dan doa kita sentiasa ada buat saudara kita.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk." - (Surah Al-Hujuraat ayat 11). Justeru, marilah kita saling menasihati dengan cara baik disusuli dengan doa kebaikan buat saudara kita. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa menurunkan rahmat buat kita dan memberikan ganjaran syurga buat seluruh kaum Muslimin dan Muslimat.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 6:00 AM