Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Ulama muktabar banyak menukilkan berkenaan kesesatan fahaman Tajsim.

Imam Abu Al-Hasan al-Asy'ari dalam kitab Maqalat Islamiyyin beliau menyebut tentang ciri-ciri fahaman Tajsim.

Kami simpulkan di sini beberapa ciri-ciri penyelewengan fahaman Tajsim seperti berikut:

Pertama: Golongan Tajsim mendakwa Allah SWT mempunyai kadarnya, iaitu ada saiz, ketinggian, lebar dan panjang.

Kedua: Mendakwa Allah boleh menyentuh sesuatu dan boleh menempati sesuatu.

Ketiga: Mendakwa Allah bersentuhan dengan Arasy. Arasy adalah tempat bagi Allah.

Keempat: Mereka mendakwa Allah mempunyai bahagian anggota, alat tubuh seperti muka, tangan, mata dan lain-lain (iaitu dengan menetapkan makna zahir bagi lafaz mutasyabihat tersebut).

Kelima: Mereka mendakwa Allah itu terbatas dari segenap sudut dan mengambil ruang tanpa batasan.

Keenam: Mereka mendakwa Allah SWT mendengar, melihat dan mengetahui setelah wujudnya makhluk. Sebelumnya Allah tidak mengetahui. Nauzubillah!

Ketujuh: Mereka mendakwa perbuatan Allah SWT melibatkan pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Imam Ibn Hazm az-Zhohiri melalui kitab Al-Fashl fi Al-Milal wa An-Nihal menggariskan fahaman Tajsim seperti berikut :

Pertama: Golongan Tajsim mendakwa tiada yang mencipta melainkan ia suatu jisim.

Kedua: Mereka mendakwa tiada yang mencipta melainkan ia bergerak-gerak.

Ketiga: Mereka mendakwa Allah SWT yang mencipta itu bergerak-gerak sejak azali.

Keempat: Mereka mendakwa menetapkan anggota, bahagian tubuh dan alat bagi zat Allah SWT.

Kelima: Mereka mendakwa Allah SWT bersifat dengan bergerak ke suatu tempat.

Sebenarnya ulama sepakat dalam menggariskan kriteria fahaman Tajsim. Namun, penampilan dua tokoh ulama salaf di atas sudah mencukupi untuk mengenali ciri-ciri asas fahaman Tajsim.

 Justeru, sesiapa yang berpegang dengan ciri-ciri fahaman Tajsim dia layak digelar Mujassim. Iaitu seorang yang berfahaman Allah SWT mempunyai zat dan sifat jisim. Semoga kita dijauhkan Allah SWT daripada fahaman jelik ini.

 Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain)." (Surah Yusuf: 106)

  Sayyidina Ibn Abbas RA berkata: "Mereka (yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini) adalah orang yang menyerupakan Allah SWT dengan makhluk-Nya. Mereka beriman dengan Allah secara ringkas (ijmali) tetapi mengkufuri Allah secara terperinci." (Rujuk Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Alusi dan lain-lain berkenaan ayat ini)

 Golongan Mujassimah dan Musyabbihah mengakui beriman kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa tetapi dalam masa yang sama apabila mereka membahaskan sifat Allah SWT mereka menyerupakan Allah SWT dengan makhluk.

 Contohnya mereka mendakwa Allah SWT itu bertempat di atas Arasy, Allah itu bersila atau bersemayam di atas Arasy, Allah turun dan naik dengan zat-Nya, Allah memiliki sifat keanggotaan dan lain-lain.

 Syeikh Sa'id Fudah berkata: "Setiap yang membawa kepada kebaharuan (huduth), ataupun kepada sifat kekurangan maka Maha Suci Allah SWT daripada sifat tersebut."

  Katanya lagi: "Adapun sesuatu yang mempunyai penghujung bagi kewujudannya maka ia suatu yang terbatas. Begitu juga dengan sesuatu yang mempunyai sifat keanggotaan dan bahagian tertentu maka ia bersifat kekurangan. Ini kerana, keadaan ini menunjukkan adanya yang menyusun sesuatu yang tercantum daripada bahagian anggota tersebut. Jika manusia memiliki anggota badan dan bahagian lain pada dirinya maka kita tahu bahawa sememangnya manusia itu serba kekurangan. Begitu juga jika kita tahu bahawa manusia berada pada salah satu dari sudut tertentu ia menunjukkan manusia itu terbatas. Dan keterbatasan menunjukkan kekurangan diri manusia." (Al-Farq al-Azhim)

 Imam Syihabuddin Al-Halabi berkata: "Mazhab Hasyawiyah yang menetapkan sudut bagi Allah SWT adalah mazhab yang sesat.   Kesesatan mazhab tersebut jelas dengan hanya menilai doktrin mazhab secara ringkas. Sehinggakan para imam berkata: "Kalau bukan kerana takutkan orang awam tertipu dengan mereka (Mujassimah) nescaya kami tidak perlu bertungkus lumus menggunakan fikiran kami untuk menentang mereka dan tidak perlu kami menggerakkan pena untuk menolak mereka." (Risalah al-Halabi dalam Tabaqat as-Syafi'iyyah al-Kubra oleh Imam as-Subki 9/36).

 Tidak dinafikan di zaman kita terdapat sebahagian besar kaum muslimin yang jahil. Mereka tidak mempunyai kekuatan akal yang cerdas dan tidak mahir berinteraksi dengan nas al-Quran dan as-Sunnah kerana tidak menguasai ilmu bahasa Arab dan sasteranya dengan baik. Situasi ini menyebabkan mereka tidak mampu membezakan nas mutasyabihat dengan nas muhkamat yang terdapat pada al-Quran dan hadis.

 Lalu mereka menyamaratakan antara ayat mutasyabihat dengan ayat muhkamat. Mereka secara langsung memahami ayat mutasyabihat dengan maknanya yang zahir. Mereka juga tidak meraikan kaedah bahasa Arab yang sememangnya mengandungi konsep kiasan, metafora, takwil dan lain-lain.

 Mereka dengan mudah menetapkan makna zahir bagi nas mutasyabihat yang membawa maksud kejisiman (bagi Allah) lalu dinisbahkan kepada Allah sewenang- wenangnya.

 Tindakan mereka itu sebenarnya menjadikan al-Quran seolah-olah tidak mengandungi konsep metafora atau kaedah kiasan sama sekali.

 Semua ini berpunca daripada kejahilan mereka tentang perbezaaan mutasyabihat dengan muhkamat dan kejahilan mereka tentang ilmu bahasa Arab itu sendiri. Mereka juga amat naif tentang ayat-ayat yang bersifat qat'ie ad-Dalalah (jelas dan tetap makna dan petunjuknya) dan ayat-ayat yang zhonni ad-dalalah (tidak jelas makna atau petunjuknya). Sehingga mereka mengutamakan yang mutasyabihat dengan mengabaikan nas yang jelas menafikan kejisiman bagi Allah.

 Mereka mungkin terlupa atau sengaja tidak memahami bahawa nas mutasyabihat tersebut ada takwilannya (makna lain selain makna zahirnya). Makna zahir nas tersebut bukanlah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat-ayat mutasyabihat tetapi ia dikehendaki dengan makna lain.

 Lafaz asal yang dipalingkan kepada maksud lain diistilahkan sebagai takwil. Biarpun ulama berbeza pendapat tentang cara bacaan pada ayat 7 surah Ali Imran: "Tiada yang mengetahui takwilnya (mutasyabihat) melainkan Allah" dan ada yang menyambung ayat tersebut dengan ayat seterusnya "dan orang-orang yang mendalam ilmu mereka." Namun kesepakatan terhadap makna ayat tersebut adalah kewujudan takwil bagi nas mutasyabihat.

 Kewujudan takwil bagi nas mutasyabihat bermaksud makna zahir bagi nas mutasyabihat (yang membawa makna kejisiman) sebenarnya tidak dimaksudkan oleh Allah itu sendiri. Oleh yang demikian, wahai para Mujassimah dakwaan anda bahawa anda menetapkan apa yang ditetapkan oleh Allah adalah dakwaan yang dusta. Ini kerana menetapkan makna zahir bagi nas mutasyabihat membawa maksud kejisiman bagi Allah.

 Ternyata anda sebenarnya menetapkan apa yang tidak ditetapkan oleh Allah. Ini kerana Allah tidak pernah menyuruh anda menetapkan makna zahir nas mutasyabihat disebabkan mutasyabihat tersebut ada takwilannya.

 Maka mengertilah! Lantaran itu, Imam Ibn al-Jauzi berkata: "Mereka (Mujassimah yang berselindung dalam kelompok Hanabilah) berkata: Kami berpegang dengan zahirnya (makna zahir nas mutasyabihat tersebut) sedangkan makna zahirnya mengandungi ciri-ciri manusia (kejisiman dan lain-lain). Seolah-olah sesuatu itu perlu ditetapkan dengan hakikatnya (makna zahirnya) seboleh mungkin. Namun, dalam masa yang sama mereka cuba keluar daripada Tasybih dan mendakwa sebagai Ahlus-Sunnah. Pada hal apa yang mereka lakukan adalah Tasybih pada hakikatnya. Bahkan fahaman mereka turut dianuti oleh sebahagian orang awam." (Daf' Syubah At-Tasybih: 3)

 Imam al-Haramain Abu al-Ma'ali al-Juwaini (478H) berkata "Sebahagian golongan Karamiyyah menamakan Allah SWT sebagai suatu jisim." (Kitab Al-Irsyad: 32)

 Kenyataan ini membuktikan kepada kita bahawa golongan Mujasssimah adalah penerus metodologi Syiah al-Karamiyyah. Manakala golongan Hasyawiyyah adalah penerus metodologi golongan Mujassimah.

 Imam Abu Bakar Ahmad al-Razi (370H) berkata: "Golongan Karamiyyah dan Musyabbihah berkata: Dia (Allah) itu suatu jisim yang tidak menyerupai jisim-jisim yang lain." (Syarh Bad'ie al-Amali m/s 160)

 Antara pemuka golongan Tajsim yang ghuluw pada peringkat awal adalah seperti Muqotil bin Sulaiman, Daud al-Jawaribi, Daud al-Khawarizmi, al-Mughirah bin Said, Hisyam bin al-Hakam, Muhammad bin Karam dan ramai lagi. Keterangan ini boleh dirujuk pada kitab As-Syamil karangan Imam al-Haramain m/s 288.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 6:00 AM