FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Abdullah Din

Tradisi membesarkan dan memuliakan bulan-bulan haram seakan-akan tidak mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam di negara kita. Jarang sekali atau mungkin tiada langsung masjid atau surau  yang menganjurkan ceramah sempena kedatangan bulan-bulan haram di negara kita.

Bahkan generasi hari ini tidak tahu apakah itu bulan-bulan haram.  Bulan haram bermaksud bulan yang dihormati dan dimuliakan. Bulan-bulan haram ialah Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Maka bulan Rejab adalah salah satu bulan haram yang dimuliakan di dalam Islam.

Abi Bakrah RA  meriwayatkan Nabi SAW bersabda:  "Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram iaitu tiga daripadanya berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram) dan yang keempatnya adalah Rejab Mudhar yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya'ban." (Hadis  Riwayat Bukhari)

Kenapa bulan-bulan ini dinamakan dengan nama berkenaan? Sebabnya ialah kerana pada bulan-bulan ini Allah SWT mengharamkan peperangan di dalamnya. Orang-orang  Arab pada zaman jahiliah lagi sangat membesarkan kedatangan bulan-bulan ini. Walaupun mereka meninggalkan ajaran Nabi Ibrahim AS, tetapi mereka tetap memuliakan kedatangan bulan-bulan haram. Peperangan yang berlaku di dalam bulan ini dipanggil sebagai perang Fijar. Fijar memberi maksud sesuatu yang jahat dan tidak baik.  

Sebelum berlaku perang Badar, Rasulullah SAW menghantar satu  sariyyah  (perang yang tidak disertai oleh Rasulullah SAW) ke Nakhlah.  Sariyyah  ini diketuai oleh Abdullah bin Jahsy. Baginda SAW hanya mengarahkan mereka mengintip pergerakan satu kafilah dagang Quraisy yang dalam perjalanan pulang dari Syam. Apabila bertemu kafilah dagang tersebut, sahabat bermesyuarat dan mengambil keputusan menyerang kafilah tersebut. Mereka membuat keputusan berkenaan  kerana sekiranya mereka tidak menyerang, kafilah itu akan masuk ke kawasan Tanah Haram. Peristiwa ini terjadi pada hari terakhir bulan Rejab tahun kedua Hijrah.

Dua orang Quraisy berjaya ditawan dan salah seorang daripada mereka iaitu Amru bin Al Hadrami  telah berjaya dibunuh. Mereka merampas sejumlah harta  ghanimah daripada kafilah tersebut. Orang-orang Quraisy memprotes tindakan umat Islam dan memburuk-burukkan imej agama Islam. Mereka menempelak ajaran Islam yang seolah-olah menceroboh bulan Rejab yang merupakan salah satu bulan yang diharamkan berperang di dalamnya. Mereka mempersoalkan adakah Islam yang kononnya mendakwa agama kesejahteraan telah menghalalkan peperangan dalam bulan haram?

Lalu Allah SWT menurunkan firman-Nya di dalam surah Al Baqarah yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), fitnah itu (syirk) lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)."  (Surah Al-Baqarah: 217)  

Selepas itu Rasulullah SAW membebaskan tawanan yang ditawan dan membayar diat terhadap kematian Amru bin Al Hadrami. Peristiwa ini menggambarkan betapa mulianya bulan-bulan haram pada mata orang Quraisy walaupun mereka sebenarnya lebih jahat kerana sebelum itu mereka tidak pernah mempedulikan kemuliaan Tanah Haram melalui tindakan yang disenaraikan oleh Allah SWT melalui ayat di atas. 

Ulama menjelaskan kemuliaan bulan-bulan haram ini semasa menafsirkan ayat 36 surah At Taubah bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu."  (Surah At Taubah:36)

Amalan berpuasa di bulan Rejab, adakah bidaah?

Golongan yang menghukum bidaah amalan berpuasa pada bulan Rejab ialah golongan yang tidak dapat membezakan pandangan ulama  yang bermazbah Syafie dan Hambali. Ulama  mazhab Hambali berpendapat mengkhususkan puasa pada bulan Rejab termasuk perkara bidaah. Hal ini berbeza dengan pandangan mazhab Syafie yang diamalkan di negara kita. 

Imam Ibnu Hajar Al Haitami berkata: "Dikatakan bahawa puasa Rejab itu termasuk dalam perkara bidaah. Pendapat itu tidak benar, bahkan ia adalah sunah yang mulia sebagaimana yang saya terangkan di dalam kitab Fatawa dan saya telah perincikan perbahasannya."  (Al Fathul Mubin – ms 226)

Syeikh Atiyah Saqar, seorang ulama   besar Universiti Al Azhar dan pernah menjawat jawatan sebagai ketua lajnah fatwa  Mesir  memfatwakan bahawa digalakkan umat Islam berpuasa pada bulan Rejab kerana bulan Rejab termasuk salah satu bulan haram yang digalakkan umat Islam melakukan amal soleh di dalamnya. Bahkan beliau mengharuskan amalan berpuasa penuh pada bulan Rejab dan Syaaban dengan syarat tidak menyusahkan dan memberatkan orang yang berpuasa. 

Beliau berkata:  "Tidak terdapat satu hadis pun yang makbul (boleh diterima) yang menyatakan menyambung puasa pada kedua-dua bulan ini sehingga Ramadan termasuk dalam perkara bidaah yang dicela. Hukum berpuasa di dalam bulan Rejab dan Syaaban disyariatkan (dibenarkan di dalam syarak). Puasa pada bulan Rejab dibenarkan kerana ia termasuk di dalam bulan haram dan puasa pada bulan Syaaban dilakukan oleh Baginda Nabi SAW. Cuma amalan berpuasa ini disyaratkan tidak menyusahkan dan memberatkan. Sekiranya sampai menyusahkan dan memudaratkan puasa Ramadan maka hukumnya haram. Bahkan makruh bernazar berpuasa pada kedua-dua bulan ini kerana bimbang akan menyebabkan kesusahan. Tetapi bagi orang yang mampu tanpa menyusahkan dan memudaratkan maka tidak mengapa dia berbuat demikian. Seorang wanita yang hendak berpuasa sedemikian perlu mendapat izin daripada suaminya terlebih dahulu berdasarkan hadis riwayat Bukhari."

Bulan-bulan haram sebagai kaedah tarbiyah Islam

Sama ada kita sedar atau tidak, umat Islam lebih baik peribadi dan tingkahlaku mereka pada bulan Ramadan. Amalan bersedekah, tolong-menolong dan saling menghulurkan bantuan sangat subur pada bulan Ramadan. Tahukah tuan-tuan keyakinan terhadap kemuliaan bulan Ramadan sangat membantu membentuk perilaku umat Islam di mana sahaja mereka berada. Pada bulan Ramadan umat Islam sangat kuat dan rajin beribadat. Mereka membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, mengerjakan solat Tarawih dan berqiamullail dengan begitu gigih kerana mereka yakin amalan yang mereka lakukan di dalam bulan tersebut akan diganjari pahala yang lebih besar daripada bulan-bulan yang lain. 

Sebenarnya bukan hanya pada  bulan Ramadan sahaja mereka ditarbiah untuk menjadi 'baik' atau 'lebih baik', bulan-bulan haram yang menjadi salah satu ajaran Islam juga berperanan membentuk kepribadian umat Islam yang lebih baik. Bayangkan umat Islam yang kembali leka pada bulan Syawal, mereka disedarkan bahawa bulan berikutnya iaitu bulan Zulkaedah juga menawarkan pakej tarbiyah yang sama kepada mereka. Bukan hanya bulan Zulkaedah, bahkan bulan berikutnya iaitu bulan Zulhijjah dan Muharram juga menyajikan kepada mereka peluang melipatgandakan pahala dan amal soleh. Dosa dan maksiat yang mereka lakukan pada bulan-bulan ini dilipatgandakan balasan dosanya. Selang beberapa bulan datang pula bulan Rejab yang membawa mesej yang sama. 

Sebenarnya inilah keindahan Islam. Inilah manhaj rabbani yang menjadikan umat manusia lebih baik sekiranya mereka mengikut petunjuk Al Quran.

Oleh itu marilah kita meuar-uarkan kedatangan bulan Rejab dan juga bulan-bulan haram yang lain dengan menyedarkan generasi hari ini supaya memuliakan kedatangan bulan-bulan haram ini dengan memperbanyakkan amal soleh seperti berpuasa, qiamullail, bersedekah, berwakaf dan lain-lain kerana akan digandakan pahalanya di sisi Allah SWT. Generasi hari ini juga perlu disedarkan tentang dosa berganda yang disediakan Allah SWT kepada yang terus melakukan dosa dan maksiat di dalam bulan-bulan ini. 

Penulis Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah dan juga pendakwah bebas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 6:00 AM