BUDAYA buli boleh menyebabkan kebimbangan ibu bapa untuk menghantar
BUDAYA buli boleh menyebabkan kebimbangan ibu bapa untuk menghantar
Oleh Nor Asree bin Mohd Noh

Kes buli timbul kembali. Terkini, tular satu video membabitkan pelajar lelaki yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah asrama di Kuala Kangsar. Dalam klip video yang tular di media sosial tersebut menunjukkan sekumpulan pelajar mengepung dan menumbuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka. Diberitakan bahawa kejadian buli terbabit berlaku pada awal pagi iaitu antara jam 1 hingga 2 pagi 9 Disember membabitkan mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang semuanya adalah pelajar tingkatan 1 berusia 13 tahun. Persoalannya, sampai bilakah budaya buli akan terus berlaku dalam kalangan remaja terutamanya melibatkan pelajar yang tinggal di asrama? Apakah punca atau sebab berlakunya perkara sebegini? 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, buli adalah suatu perbuatan yang dikaitkan dengan mendera atau mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan dengan suasana yang baharu. Ia sering melibatkan orang yang lebih kuat atau berkuasa dalam sesuatu keadaan yang mampu mendominasi pada golongan di bawahnya; iaitu orang bersifat lemah atau tiada pengaruh. Perbuatan ini selalunya bertujuan untuk menakutkan seseorang sehinggakan adakalanya boleh mencederakannya.

Jadi, apa yang penulis boleh katakan adalah selagi ada golongan yang merasakan diri mereka kuat, dalam masa sama ingin menonjolkan kekuatan mereka di khalayak yang lemah, maka buli akan terus berlaku. Apabila dikaitkan dengan punca atau sebab, ia tidak lari daripada menyentuh beberapa pihak, sama ada pihak institusi, ibu bapa mahupun golongan pembuli itu sendiri. Justeru itu, timbul tanda tanya iaitu adakah perlu dipersalahkan pihak sekolah atau institusi berkaitan dalam pengurusan hal ehwal pelajar mereka? Adakah ia berpunca daripada kurangnya didikan ibu bapa dan keluarga selama ini? Adakah juga disebabkan perlunya tradisi atau warisan senior bagi 'mendidik' junior atau pelajar yang baharu?

Penulis secara peribadi mengatakan semua aspek di atas adalah sedikit sebanyak ada perkaitan dan penyumbang kepada faktor berlaku budaya buli seperti ini. Tambahan pula, penulis cenderung mengaitkan bahawa ia merupakan amalan tradisi yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang lain, iaitu golongan senior kepada golongan junior yang ingin membalas apa yang pernah dirasai mereka ketika dahulu. Dalam masa sama, kononnya mereka ingin mengajar orang baharu tentang nature kehidupan yang berhierarki di tempat baharu dan membiasakan diri dengan peraturan tertentu.

Ia boleh digelar sebagai tradisi syaitan yang dicontohi setiap generasi. Sebagai contoh di sekolah atau institusi pengajian, golongan yang lebih senior cuba menunjukkan kedewasaan mereka kepada adik-adik yang baharu yang adakalanya menggariskan peraturan yang dibuat mereka dalam hal tertentu yang perlu dipatuhi selama mana tinggal bersama mereka. Peraturan ini selalunya bersifat pelik yang wajib dipatuhi oleh seseorang atau sekumpulan yang dibuli yang adakalanya tidak terjangkau dek fikiran seseorang yang waras untuk melakukannya walaupun pada diri pembuli sekalipun seperti dipaksa mencium stoking busuk, menjilat kasut yang telah dipakai, berbogel di khalayak dan lain-lain. Jika seseorang yang dibuli enggan untuk membuatnya, maka hukuman yang lebih berat akan dikenakan atau permainan si pembuli terhadap yang dibuli akan menjadi lebih kasar.

Apa sahaja punca yang ingin diperkatakan, ia pasti akan berkait dengan pegangan seseorang itu pada nilai agama. Agama ialah rujukan pertama atau asas didikan awal seseorang dalam segala perkara. Islam sangat melarang dan membenci kepada sesiapa sahaja melakukan kezaliman.

Allah SWT  menyebut menerusi ayat-Nya yang suci mengenai perkara zalim dan juga larangan berbuat kezaliman sebagaimana dalam firmannya: "Dan (jika kamu hendak membalas) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang setimpal dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." (Surah al-Syura: 40)

Sheikh al-Sa'adi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa menerusi ayat ini dikaitkan beberapa peringkat hukuman pada orang yang melakukan kesalahan; iaitu 1. al-'Adl (keadilan), 2. al-Fadl (kelebihan) dan 3. al-Zulm (kezaliman). Peringkat pertama, al-'Adl (keadilan) ialah kejahatan dibalas dengan kejahatan yang sama atau setimpal dengannya; iaitu hukumannya tidak lebih atau tidak kurang. Peringkat kedua, iaitu al-Fadl (kelebihan) ialah merujuk kepada perbuatan memaafkan dan membetulkan apa yang salah. Peringkat yang terakhir ialah mengenakan hukuman tidak setimpal atau melebihi had. Imam al-Baghawi dalam tafsirnya, nukilan kata Ibnu Abbas mengenai ayat sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlaku zalim, ialah merujuk kepada orang yang mula melakukan kezaliman. 

Dalam hadis kudsi yang diriwayatkan oleh Abu Dhar al-Ghifari RA  daripada Nabi SAW  bersabda bahawa sesungguhnya Allah telah berfirman: "Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikan kezaliman itu haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi."  (Hadis Riwayat Muslim)

Maka dalam konteks ini, diharamkan sama sekali oleh Allah SWT  bagi seseorang melakukan kezaliman tidak kira apa sahaja peringkat umur walaupun masih muda di bangku sekolah. Walaupun, seseorang tersebut pernah dibuli suatu ketika dahulu, maka haram baginya untuk meneruskan perkara sama untuk dilakukan kepada generasi yang datang selepasnya.

Hal ini kerana ia merupakan kezaliman yang nyata dengan melakukan sesuatu perkara buruk kepada yang tidak bersalah. Diwajibkan seseorang untuk membuang sifat ingin membalas atau mewarisi apa yang pernah dirasainya sebelum ini serta memaafkan mereka. Semoga Allah jalla wa 'ala akan memberikan kebaikan dan pahala besar serta darjat yang tinggi pada golongan begini, dan begitulah tafsiran ayat tadi. Namun, perlu diingatkan juga bahawa orang 'pemula' atau pencetus yang membuat kejahatan lalu diwarisi perbuatan itu, dosanya amat besar di sisi Tuhan dan akan dihisap kelak. Nabi SAW  memberikan ancaman tentang perkara sebegini melalui sabdaannya.

Hal ini kerana implikasi tradisi dan budaya buli ini amat besar. Ia boleh menyebabkan kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah dan istitusi berasrama. Sedangkan pada peringkat awal, ibu bapa ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah begini untuk membiasakan mereka hidup berdikari. Seterusnya, mangsa buli kemungkinan mengalami kecederaan fizikal mahupun mental seperti trauma yang akan terbawa-bawa sampai ke dewasa. Tidak dinafikan juga, si pembuli akan terlibat dengan budaya gangster kelak apabila sudah terbiasa dengan perkara ini sejak dari bangku sekolah. 

Penulis Pensyarah  Jabatan Bahasa Arab  Pusat Asasi dan Pengajian Umum, Kolej Universiti Islam Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 7:58 AM