IBU BAPA Zulfarhan, Zulkarnain Idros dan Hawa Osman keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur setelah mendengar penghakiman perbicaraan kematian anak mereka.
IBU BAPA Zulfarhan, Zulkarnain Idros dan Hawa Osman keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur setelah mendengar penghakiman perbicaraan kematian anak mereka.
Mohd Shahrizal Nasir

Keputusan Mahkamah Tinggi melibatkan enam individu didapati bersalah menyebabkan kematian seorang Pegawai Kadet Laut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain menyingkap kembali peristiwa yang amat menyayat hati ramai orang. Seorang remaja yang sedang dalam usaha menuntut ilmu dan merupakan harapan keluarganya ditakdirkan menemui Tuhan pada usia muda.

Memang kematian tidak mengenal usia. Allah SWT berkuasa menetapkan kematian terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Namun, sebagai umat Islam yang beriman terhadap ketentuan takdir daripada-Nya, nyawa manusia perlu dipelihara kerana ia hak yang dijamin oleh syarak.

Dalam khutbah Haji Wada' yang memuatkan pesanan penting Rasulullah SAW kepada umatnya, Baginda menyentuh perihal nyawa yang amat dititikberatkan dalam Islam. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Saudara-saudara! Bahawasanya darah kamu dan harta kamu sekalian adalah suci buat kamu, seperti hari ini dan bulan ini yang suci sampai datang masanya kamu sekalian menghadap Tuhan. Dan pasti kamu akan menghadap Tuhan; pada waktu itu kamu dipertanggungjawabkan atas segala perbuatanmu. Ya, aku sudah menyampaikan ini." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Peringatan tentang kepentingan memelihara nyawa umat Islam yang mempunyai hubungan persaudaraan antara satu dengan lain atas dasar akidah perlu menjadi agenda penting dalam diri setiap Muslim. Seorang Muslim dengan Muslim yang lain mempunyai hubungan yang sangat akrab meskipun mereka tidak mengenali sesama sendiri.

Renungilah hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan hubungan sesama Muslim yang sangat akrab sehingga Baginda membuat perumpamaan yang cukup jelas. Gambaran tersebut dinyatakan dengan memerihalkan hubungan antara sesama Muslim seperti satu tubuh badan yang tidak boleh dipisah-pisahkan.

"Perumpamaan orang yang beriman di dalam saling mencintai, saling menyayangi dan mengasihi adalah seperti satu tubuh, apabila ada salah satu anggota tubuh merasa kesakitan, maka anggota tubuh lain akan turut merasainya, iaitu dengan berjaga malam dan merasa demam." (Muttafaq 'alaih)

Kesemua ini membuktikan bahawa sebarang bentuk perbuatan yang boleh menyakiti orang lain apatah lagi melibatkan nyawa adalah dilarang oleh Islam. Perbuatan membuli orang lain atas apa juga alasan adalah bukti hilangnya rasa kasih sayang sesama manusia dan hal ini tidak mencerminkan hubungan manusiawi yang harmoni.

Mana tidaknya, orang yang membuli akan melepaskan kehendaknya dengan melakukan perkara yang boleh membuatkan mangsa buli tertekan dengan perbuatan yang dikenakan terhadapnya. Setiap masalah boleh diselesaikan dengan cara yang berhemah, justeru semua bentuk perbuatan buli tidak wajar dibiarkan berlaku kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah. Malah banyak kesan negatif boleh timbul disebabkan perbuatan membuli orang lain.

Orang yang waras fikirannya tidak suka dirinya dibuli. Perbuatan tersebut hanya menzahirkan kelemahan mangsa buli dan menyerlahkan kerakusan tindakan si pembuli yang tidak mempunyai hati dan perasaan. Pemahaman membuli termasuk mempermain-mainkan orang lain, biasanya orang yang lemah, dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan dan seumpamanya. Inilah definisi perbuatan buli yang disebut dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan semua orang memahami perbuatan tersebut sebagai tindakan yang tidak wajar.

Sering kali perbuatan buli dilaporkan berlaku di institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti. Ini bermakna generasi muda sering dikaitkan dengan perbuatan buli. Sepatutnya mereka didedahkan dengan nilai-nilai murni disebabkan keadaan mereka yang hampir dengan ilmu. Mereka sedang dalam proses menimba ilmu dan sepatutnya budaya negatif seperti buli tidak berlaku dalam kalangan mereka.

Dalam hal ini peranan golongan dewasa termasuk ibu bapa dan guru perlu digembleng agar generasi muda di negara ini terpelihara daripada sebarang bentuk anasir buruk yang boleh merencatkan proses pembesaran mereka. Masyarakat juga perlu berperanan dalam menangani penularan budaya buli orang lain terutama melibatkan anak-anak muda. Mereka perlu bimbingan dan pengawasan berterusan daripada orang yang lebih berpengalaman dalam kehidupan.

Hakikatnya anak-anak muda perlu sentiasa diingatkan dengan nasihat-nasihat yang baik dari semasa ke semasa. Mereka perlu diingatkan tentang keperluan berbuat baik dan mengasihi orang lain kerana ia menjadi sebab mereka akan sentiada disayangi dan dihormati orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Perbuatan buli hanya akan menyebabkan mangsa yang terlibat bersifat ganas, dendam dan hilangnya rasa kasih sayang dan simpati terhadap orang lain. Manakala si pembuli akan berasa puas jika melihat orang lain dalam kesusahan, ketakutan malah kesakitan. Sebab itu budaya buli perlu dibanteras dan pihak bertanggungjawab tidak boleh mengabaikan sebarang aduan melibatkan kes buli di mana-mana pusat pendidikan.

Sebenarnya perbuatan membuli tidak hanya berlaku di sekolah atau universiti melibatkan golongan muda sahaja. Perkara yang sama juga boleh terjadi dalam kalangan orang dewasa di tempat kerja. Ada dalam kalangan manusia yang tergamak membuli rakan sekerja sendiri apatah lagi jika melibatkan pekerja baharu atau orang yang jenis 'lurus' dalam pemikiran dan tindakan mereka. Mungkin kesan buli melibatkan orang dewasa tidak terlalu nyata, namun ia tetap boleh berlaku kerana si pembuli yang tidak berhati perut boleh berada di mana-mana sahaja.

Jika setiap orang mempunyai rasa hormat kepada orang lain dalam diri, tanpa melihat kedudukannya, maka perbuatan buli boleh dielakkan. Setiap orang yang menyedari hakikat sebenar kehidupan di atas dunia ini tidak akan sama sekali tergamak untuk melakukan perbuatan membuli orang lain. Setiap perkara yang berlangsung di atas dunia ini semuanya akan dinilai di sisi Allah SWT nanti.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak..." (Surah al-Hadid, ayat 20)

Setiap individu juga perlu memastikan diri tidak akan mudah dibuli oleh orang lain. Berusahalah untuk memantapkan personaliti diri agar orang lain tidak akan sewenangnya mempermainkan jati diri lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan orang yang berpotensi menjadi pembuli. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita agar sentiasa menjadi insan berakhlak mulia dengan menghakis sifat-sifat mazmumah (keji) daripada dalam diri.

"Janganlah kamu sekalian saling mendengki, saling menipu, saling memarahi dan saling membenci. Muslim yang satu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Oleh itu, ia tidak boleh menganiaya, membiarkan dan menghinanya. Takwa itu ada di sini (sambil baginda menunjuk dadanya tiga kali). Seseorang itu cukup dianggap jahat apabila dia menghina saudaranya sesama Muslim. Setiap Muslim yang satu terhadap Muslim yang lain itu haram mengganggu darahnya, hartanya, dan kehormatannya." (Hadis riwayat Muslim)


 

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 6:01 AM