ANTARA mukjizat besar Baginda SAW yang membabitkan alam cakerawala ialah peristiwa terbelahnya bulan dengan izin Allah SWT.
ANTARA mukjizat besar Baginda SAW yang membabitkan alam cakerawala ialah peristiwa terbelahnya bulan dengan izin Allah SWT.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Perbincangan mengenai peribadi, latar belakang dan riwayat hidup Baginda Nabi SAW tidak pernah jemu ditulis dan dibicarakan orang. Malah, ia turut menarik ramai pemikir bukan Islam untuk mengkaji dan menulis tentangnya. Berdasarkan penelitian, perbincangan mengenai Baginda SAW boleh dibahagikan kepada lima bahagian ilmu iaitu sirah, fadha'il, dala'il, khasa'is dan syama'il. Pepatah ada menyebut 'Tak kenal, maka tak cinta'. Justeru, mereka yang ingin mengenali Baginda Nabi SAW dengan sebenar-benarnya perlulah mendalami kelima-lima bahagian ilmu ini. Ia dinamakan oleh Syeikh 'Aun al-Qaddumi sebagai 'al-'Ulum al-Nabawiyyah' (ilmu tentang kenabian).

Pertama, aspek sirah yang membicarakan secara terperinci sejarah perjalanan hidup Nabi SAW sejak Baginda dilahirkan sehinggalah wafat mencakupi tempoh selama 63 tahun. Perbincangan mengenai sirah Baginda SAW boleh dianggap sebagai aspek pertama yang diberi perhatian oleh ulama. Orang pertama yang dikesan mengarang kitab sirah nabawiyyah ialah 'Urwah bin az-Zubair (wafat 92H) diikuti oleh Aban bin Uthman (wafat 105H), Wahb bin Munabbih (wafat 110H), Ibn Syihab az-Zuhri (wafat 124H) dan lainnya. Namun, karya sirah klasik yang kekal sehingga kini ialah kitab sirah Ibn Ishaq (wafat 151H) yang dikemas kini oleh Ibn Hisyam (wafat 213H) hingga terkenal sebagai 'Sirah Ibn Hisyam' dan kitab sirah al-Waqidi (wafat 207H) yang dimuatkan oleh muridnya, Ibn Saad (wafat 230H) dalam kitab 'at-Tabaqat al-Kubra'.

Kedua, aspek syama'il yang membicarakan perawakan fizikal Nabi SAW yang sempurna dan penampilan akhlak Baginda yang mulia. Perbincangan mengenai syama'il adalah aspek kedua yang diberi perhatian oleh ulama setelah sirah. Ia cukup penting bagi menggambarkan kepada umat Baginda SAW secara tepat bagaimana bentuk susuk tubuh, tabiat dan tingkah laku Baginda supaya mereka dapat mengenali ciri serta rupanya dengan jelas, meskipun tidak dapat bersua muka dengan Baginda. Antara kitab terawal yang dikarang mengenainya ialah kitab as-Syama'il al-Muhammadiyyah oleh Imam at-Tirmizi (wafat 279H). Kemudian, kitab as-Syifa bi Ta'rif Huquq al-Mustafa SAW oleh al-Qadhi 'Iyadh (wafat 544H).

Ketiga, aspek dala'il yang membicarakan tanda atau bukti kenabian yang berbentuk perkara luar biasa sebelum kebangkitan (irhas) dan segala bentuk mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Baginda Nabi SAW. Semua itu bagi membuktikan dan meneguhkan kebenaran risalah yang dibawa oleh Baginda. Dikatakan, jumlahnya melebihi 3,000 mukjizat. Antara mukjizat besar Baginda SAW yang membabitkan alam cakerawala ialah peristiwa terbelahnya bulan dengan izin Allah SWT. Mukjizat Baginda SAW yang agung dan kekal sehingga akhir zaman ialah al-Quran al-Karim. Antara kitab yang dikarang mengenainya ialah kitab Dala'il an-Nubuwwah oleh Imam Abu Dawud (wafat 275H), Dala'il an-Nubuwwah oleh Imam Abu Nuaim (wafat 430H), A'lam an-Nubuwwah oleh Imam al-Mawardi (wafat 450H) dan Dala'il an-Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi (wafat 458H).

Keempat, aspek fadha'il yang membicarakan kelebihan Nabi SAW berbanding seluruh makhluk yang lain termasuk malaikat dan sekalian nabi AS. Misalnya, hakikat Baginda Nabi SAW dan status kenabiannya sudah wujud sebelum Nabi Adam AS diciptakan oleh Allah SWT lagi. Antara kitab yang dikarang mengenainya ialah kitab Bidayat as-Sul fi Tafdhil al-Rasul SAW oleh Imam Ibn Abd as-Salam (wafat 660H), Jawahir al-Bihar fi Fadha'il an-Nabi al-Mukhtar oleh Syeikh Yusuf an-Nabhani (wafat 1350H) dan al-Ahadith al-Muntaqah fi Fadha'il Rasulillah SAW oleh Syeikh 'Abdullah al-Ghumari (wafat 1413H).

Kelima, aspek khasa'is yang membicarakan tentang keistimewaan khusus bagi Nabi SAW yang tidak diberikan kepada orang lain. Ia berbeza dengan aspek fadha'il (kelebihan) yang lebih menekankan perbandingan dengan nabi AS yang lain. Sedangkan keistimewaan Baginda SAW ini sama ada daripada sudut fizikal seperti Baginda dapat melihat di belakang seperti Baginda dapat melihat di hadapan (iaitu 360˚) atau keistimewaan daripada sudut hukum syarak yang dikhususkan untuk Baginda SAW sahaja tidak termasuk umatnya seperti baginda harus berkahwin lebih empat orang isteri. Antara kitab yang dikarang mengenainya ialah kitab Ghayat as-Sul fi Khasa'is ar-Rasul SAW oleh Imam Ibn al-Mulaqqin (wafat 804H) dan kitab al-Khasa'is al-Kubra oleh Imam as-Suyuti (wafat 911H).

Moga dengan mendalami semua aspek ini akan menjadikan kita lebih mengenali dan mengasihi Baginda Nabi SAW kerana sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mencintai aku lebih daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 6:00 AM