GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mohd Hasrul bin Shuhari

Terdapat perbahasan ulama Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) tentang bolehkah menyatakan ada kaifiyyat bagi Allah SWT. Menurut Imam al-Baihaqi dalam kitab al-Asma' wa al-Sifat, Imam Abu Hanifah ditanya tentang yanzilu Allah (terjemahan literalnya: turunnya Allah; isu terjemahan literal akan ditulis dalam artikel lain), maka dijawabnya yanzilu bila kaifa (Dia turun tanpa kaifiyyat). Imam Malik pernah menyatakan la yuqal kaif wa kaif 'anhu marfu' (tidak boleh dikatakan kaifiyyat bagi-Nya dan ia diangkat/mustahil.

Imam Sufyan ibn 'Uyainah menyatakan, membacanya (yakni ayat al-Quran dan hadis tentang sifat atau kalimah sifat tersebut dalam bahasa Arab) adalah tafsirannya tanpa kaifiyyat dan tanpa persamaan (fa qiraatuh tafsiruh la kaif wa la mithl). Imam al-Ash'ari pernah menyebut ungkapan la takyif lahu (tiada memberi kaifiyyat bagi-Nya) dan juga tark al-takyif lazim (meninggalkan perbuatan mengkaifiyyatkan sifat-Nya adalah wajib).

Menurut Imam al-Maturidi, jika ditanya bagaimana Allah SWT dilihat maka jawapannya ialah Allah SWT dilihat tanpa kaifiyyat. Imam Ibn 'Asakir memberi contoh kesalahan golongan Hashawiyyah Mujassimah yang mendakwa Allah SWT dilihat secara kaifiyyat dan berbatasan (ada tempat atau arahnya), sebagaimana makhluk yang dilihat dalam keadaan bertempat dan arah.

Imam Ibn Qutaibah dalam kitab al-ikhtilaf fi al-Lafzi menerangkan, golongan Hashawiyyah ketika berhadapan dengan golongan ifrat yakni Jahmiyyah yang menafikan sifat-sifat Allah SWT, mereka membalas dengan cara menyamakan-Nya dengan makhluk, menetapkan sudut dan batasan bagi-Nya. Mereka memahami sifat-sifat-Nya secara zahir (yakni makna zahir yang tidak layak bagi Allah SWT) dan menetapkan kaifiyyat bagi-Nya. Kedua-dua golongan ini yakni Hashawiyyah dan Jahmiyyah perlu dijauhi.

Imam Ibn al-Arabi al-Maliki dalam kitab syarah hadisnya yang berjudul 'Aridah al-Ahwazi menyatakan, al-kaif ghair ma'qul ai yastahil fi haqq Allah (kaifiyyat tidak boleh difikirkan, bermaksud kaifiyyat mustahil bagi Allah). Al-Hafiz Ibn al-Labban dalam kitab Izalah al-Shubuhat menyatakan, al-kaif ghair ma'qul bermaksud kaifiyyat termasuk dalam sifat-sifat baharu yang apabila diisbatkan kepada-Nya nescaya ia tidak diterima oleh akal (di samping nas muhkam) maka secara jazamnya ia ternafi bagi-Nya. Pandangan ini juga dipetik oleh al-Hafiz Murtada al-Zabidi dalam kitab Ithaf al-Sadah al-Muttaqin.

Imam Qadi 'Iyad sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab syarah hadis Muslimnya menyatakan, ulama bersepakat mengharamkan al-takyif dan al-tashkil (menetapkan kaifiyyat dan bentuk) bagi Allah.

Imam Raghib al-Asbihani dalam kitab al-Mufradat fi Gharib al-Quran, menyatakan tidak boleh dikatakan pada Allah SWT ada kaifiyyat (la yasihh an yuqal fi Allah 'azza wa jalla kaif). Imam al-Baihaqi menukilkan pandangan Imam Ishaq ibn Ibrahim al-Hanzali, nuzul merupakan sifat perbuatan tanpa kaifiyyat maka ini menunjukkan Imam Ishaq tidak beriktikad nuzul dengan maksud berpindah. Imam Ibn al-Jauzi dalam kitab al-Mudhish menyatakan, bagaimana boleh menyatakan Allah SWT ada kaifiyyat sedangkan ia mustahil bagi-Nya (kaifa yuqal lahu kaif, wa al-kaif fi haqqih muhal)?

Maka, dapat difahami bahawa, larangan menyandarkan kaifiyyat bagi Allah SWT adalah kerana apabila ia memberi maksud kejisiman (tajsim), penyamaan dengan makhluk (tashbih), menyatakan Allah SWT ada bentuk (tashkil), menggambarkan-Nya (taswir) dan seumpamanya.

Namun, terdapat ulama seolah-olah membenarkan bahawa Allah SWT ada kaifiyyat. Imam Malik dalam satu riwayat menyatakan, al-kaif majhul (kaifiyyat itu tidak diketahui) yang memberi erti kaifiyyat-Nya memang ada cuma tidak diketahui sahaja oleh makhluk-makhluk-Nya. Riwayat ungkapan Imam Malik ini juga disebut oleh Imam Ibn 'Abd al-Barr dalam kitabnya al-Tamhid dengan lafaz kaifiyyatuh majhulah (kaifiyyat-Nya tidak diketahui).

Tetapi, terdapat ungkapan Imam Malik yang lain yang disahihkan oleh Ibn Hajar al-'Asqalani dalam kitab Fath al-Bari. Ia turut dinukilkan oleh Imam Ibn 'Abd al-Barr dalam kitab al-Tamhid tersebut iaitu al-kaif minhu ghair ma'qul (kaifiyyat daripada sifat-Nya tidak difikirkan). Ia membawa maksud mustahil wujud kaifiyyat bagi-Nya sebagaimana pandangan Imam Ibn al-Arabi al-Maliki, al-Hafiz Ibn al-Labban dan al-Hafiz Murtada al-Zabidi tadi.

Selain itu, terdapat riwayat yang dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi yang turut disahihkan oleh Imam al-Zahabi iaitu wa la yuqal kaif wa kaif 'anhu marfu' (dan tidak boleh disebut kaifiyyat bagi-Nya dan ia adalah diangkat/mustahil). Ertinya pada ungkapan Imam Malik ini terdapat riwayat yang seolah-olah membenarkan kaifiyyat bagi-Nya dan terdapat juga riwayat lain yang lebih sahih mengharamkannya.

Terdapat ulama lain seolah-olah membenarkan kaifiyyat bagi Allah SWT. Sheikh Mur'i al-Karmi al-Hanbali menyatakan bahawa fa al-wuquf 'ala haqiqatihi amrun ya'ud ila al-kaifiyyah (berhenti pada hakikat sifat-Nya adalah sesuatu yang kembali kepada kaifiyyat), la sabil lana ila ma'rifah al-kaifiyyah (tiada jalan untuk kita mengetahui kaifiyyat) dan thabata nafyuhu bi al-shar'i wa al-'aqli wa ittifaq al-salaf innama huwa 'ilm al-'ibad bi al-kaifiyyat (telah sabit dengan syarak, akal dan kesepakatan ulama salaf tentang penafian tahunya hamba-hamba tentang kaifiyyat-Nya).

Pandangan ini menunjukkan bahawa kaifiyyat Allah SWT memang ada tetapi ia tidak diketahui  oleh makhluk-makhluk-Nya. Namun, perkara penting yang mesti difahami ialah kaifiyyat yang dimaksudkan ini ialah hakikat sebenar sifat Allah SWT seperti dalam ungkapannya ini iaitu fa al-wuquf 'ala haqiqatihi amrun ya'ud ila al-kaifiyyah (berhenti pada hakikat sifat-Nya merupakan sesuatu yang kembali kepada kaifiyyat).

Ia selari dengan pandangan Imam Ibn Khaldun ketika menjelaskan salah satu riwayat Imam Malik yang bermaksud istiwa' itu diketahui dan kaifiyyatnya tidak diketahui. Menurutnya, istiwa' itu diketahui terdapat dalam bahasa Arab yang berunsur kejisiman dan kaifiyyat istiwa' yang tidak diketahui tersebut bermaksud hakikat sebenar sifat-Nya kerana semua hakikat sebenar sifat-sifat-Nya merupakan kaifiyyat yang tidak diketahui oleh semua makhluk-Nya. Jadi, kaifiyyat dibenarkan jika merujuk kepada hakikat sifat yang hanya diketahui oleh-Nya tetapi ia dilarang jika merujuk kepada kejisiman dan ciri-cirinya meskipun disebut hanya Allah SWT mengetahuinya.

Kesimpulan pandangan ulama ASWJ ini ialah penyandaran kaifiyyat bagi-Nya hanya dibenarkan jika bermaksud hakikat sebenar sifat tersebut yang mana ia tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali Allah SWT. Namun, jika kaifiyyat tersebut merujuk kepada kejisiman dan ciri-cirinya seperti Allah SWT ada jisim tetapi tidak diketahui jisim-Nya bagaimana, ada bentuk fizikal tetapi tidak diketahui bentuk fizikal-Nya bagaimana, ada batasan, saiz dan ukuran tinggi rendah kurus atau gemuk tetapi tidak diketahui batasan, saiz dan ukuran tinggi rendah kurus atau gemuk-Nya bagaimana, ada warna tetapi tidak diketahui warnanya apa, ada tempat dan arah tetapi tidak diketahui tempat dan arah-Nya bagaimana atau di mana, berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain sehingga kosong dan terisi tempat tetapi tidak diketahui macam mana dan seumpamanya, maka pengisbatan makna kaifiyyat ini diharamkan.

Riwayat sahih ungkapan Imam Malik yang menunjukkan kemustahilan kaifiyyat perlu dipilih, tetapi jika terbaca ungkapannya yang lain, maka perlu difahami maksudnya yang sebenar berdasarkan pandangan ASWJ seperti dijelaskan tadi. Perkara penting yang perlu sentiasa ditegaskan ialah, kaedah sebenar salaf soleh yang dikenali sebagai tafwid atau isbat lafaz zahir bukan isbat makna zahir yang mustahil, perlu dikuasai semoleknya agar kita selamat dalam memahami isu kaifiyyat ini dan isu seumpamanya. Namun, kaedah tafwid ini difitnah sebagai tajhil (jahil tentang makna al-Quran dan hadis), yang akan dijelaskan lebih lanjut dalam artikel lain. Kaedah tafwid ini dijaga oleh majoriti ilmuwan ASWJ zaman berzaman di samping turut dijaga kaedah takwil mahmud (dipuji) yang bukan takwilan Jahmiyyah yang mazmum (dikeji).


Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 7:00 AM