HUJAN yang mencurah dengan lebat tidak memberi manfaat kepada kehidupan, bahkan memberi ujian kepada manusia dan kehidupan lain apabila berlakunya banjir yang besar.
HUJAN yang mencurah dengan lebat tidak memberi manfaat kepada kehidupan, bahkan memberi ujian kepada manusia dan kehidupan lain apabila berlakunya banjir yang besar.
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Fenomena perubahan monsun akan memperlihatkan hujan yang lebih lebat berbanding biasa. Hujan yang mencurah ini boleh mengakibatkan banjir kilat dibeberapa tempat yang rendah sama ada di kawasan bandar atau perkampungan. Jabatan Meterologi Malaysia menjelaskan perubahan angin monsun timur laut yang mula bertiup dalam lingkungan bulan November hingga Mac akan menyebabkan penurunan hujan yang lebih banyak di sekitar kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan di kawasan barat Sarawak.

Walaubagaimanapun, ramalan hanyalah sekadar ramalan. Ketentuan Allah SWT melebihi segalanya. Hujan salah satu rahmat Allah SWT yang diturunkan dari langit kepada semua makhluk-Nya di bumi. Penurunan hujan ini datang bersama keberkatan yang akan memberi manfaat yang besar kepada hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  "Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat."

Imam al-Baghawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa air yang berkat itu merujuk kepada air hujan yang terdapat padanya kebaikan yang banyak ke bumi. Dengan air tersebut kehidupan di bumi akan dapat hidup dan membiak dengan sempurna.

Penurunan hujan juga merupakan antara tanda-tanda kiamat yang  dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW. Gambaran ini merujuk kepada curahan hujan yang lebat dengan sedikit tumbuh-tumbuhan yang hidup.

Nabi SAW bersabda maksudnya:  "Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga langit menurunkan hujan yang tidak terlindung daripadanya rumah-rumah yang diperbuat daripada tanah dan tidak ada yang terlindung daripadanya melainkan rumah-rumah yang diperbuat daripada  bulu atau kulit haiwan (khemah)."

Hadis ini memberi gambaran kepada manusia bahawa hujan yang lebat mencurah kebumi tidak memberi manfaat kepada manusia sehingga tidak menumbuhkan tanaman dan pepohon kayu. Dalam masa sama, curahan air dari langit ini membawa kerosakan kepada rumah yang kukuh dibina pada hari ini.

Hal ini dapat dilihat di kawasan berdekatan apabila hujan turun dengan lebat yang menatijahkan kesan buruk seperti banjir kilat, limpahan air di kawasan peparitan, air lumpur dari kesan pembangunan dan juga kepala air yang memusnahkan.

Dalam hadis lain, daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang satu masa kepada manusia, di mana langit menurunkan hujan, akan tetapi bumi tidak menumbuhkan atau mengeluarkan hasil."

Hujan apabila turun ke bumi akan memberi asbab kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup dan membiak dengan subur. Walau bagaimanapun, kekuasaan Allah SWT mampu untuk menyekat peranan hujan dan bumi daripada menumbuhkan sebarang tumbuh-tumbuhan.

Perkara ini juga peringatan kepada manusia apabila tidak menjaga bumi daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri apabila sewenang-wenangnya menjadikan hamparan bumi tertutup daripada ditembusi oleh air disebabkan pembangunan yang tidak terancang.

Akibatknya, hujan yang turun tidak sampai ke dalam tanah dan tidak pula dapat mengalir ke sungai-sungai disebabkan pembangunan yang tidak terancang menutup aliran air dari mengalir dengan sempurna. Dalam masa sama, hutan belantara yang digondolkan secara berleluasa menyebabkan pusat tadahan hujan semula jadi tidak dapat berfungsi dengan sempurna menyebabkan banjir berlaku.

Allah SWT berfirman maksudnya:  "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Peringatan Allah SWT turut meliputi kehidupan yang terjejas disebabkan hilangnya keberkatan dengan hujan yang turun. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan hilang tempat tinggal sehingga haiwan-haiwan liar mula berhijrah ke kawasan-kawasan penempatan manusia. Mereka mula terkesan dengan situasi kehidupan yang mengancam kehidupan dan habitat mereka.

Pada ketika ini, bukan air yang menjadi penghalang bagi mereka namun ketiadaan tumbuh-tumbuhan yang hidup kesan daripada bumi yang tidak menumbuhkan apa-apa menjadikan mereka mencari sumber yang berhampiran manusia.

Baginda Nabi SAW bersabda menjelaskan bahawa hakikat kemarau turut melibatkan hujan yang mencurah, tetapi bumi tidak mengeluarkan hasil.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Kemarau itu (pada hakikatnya) bukanlah bermakna kamu tidak menerima hujan, akan tetapi kemarau itu adalah kamu menerima hujan dan terus menerima hujan, akan tetapi bumi tidak mengeluarkan atau menumbuhkan sebarang hasil."

Justeru itu, hujan yang terus mencurah dengan lebat tidak memberi manfaat kepada kehidupan, bahkan memberi ujian kepada manusia dan kehidupan lain apabila berlakunya banjir yang besar. Kesannya banyak kediaman yang rosak, haiwan mati, tumbuh-tumbuhan rosak sehingga menyebabkan kemalangan jiwa.

Baginda Nabi SAW menyarankan kepada manusia, apabila hujan turun mencurah, maka berdoalah kepada Allah SWT agar dijadikan hujan tersebut sebagai hujan yang bermanfaat kepada kehidupan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu'minin A'isyah RA beliau berkata maksudnya:  "Adalah Rasulullah SAW apabila hujan baginda akan membaca: Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat."

Manakala apabila hujan berhenti, disunatkan pula untuk berdoa sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:  "Kami dilimpahkan hujan dengan fadilat dan rahmat daripada Allah."

Oleh yang demikian, hujan adalah rahmat Allah SWT kepada manusia dan Allah berkuasa untuk menarik balik rahmat tersebut dan menjadikannya musibah kepada manusia disebabkan kerakusan manusia melakukan kerosakan di atas muka bumi.

Penulis Pensyarah Kanan  Fakulti Pengajian Bahasa Utama,  Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 5:59 AM