UMAT Islam wajar meneladani sifat dan kualiti personaliti yang ada pada watak-watak utama di dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW. FOTO AFP
UMAT Islam wajar meneladani sifat dan kualiti personaliti yang ada pada watak-watak utama di dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW. FOTO AFP
Datuk Mohd Ajib Ismail

Hijrah bukan hanya difahami sebagai perpindahan Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda dari Makkah ke Madinah, tetapi ia merupakan sebuah permulaan kepada pembentukan ummah dan pembinaan sebuah negara Islam yang pertama. Agenda penghijrahan tersebut dijayakan melalui pelbagai strategi yang tersusun serta penglibatan watak-watak penting yang mempunyai ciri-ciri kualiti tersendiri.

Umat Islam wajar mengambil iktibar dan meneladani sifat dan kualiti personaliti yang ada pada watak-watak utama di dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW seperti Abu Bakar al-Siddiq RA, Ali bin Abu Talib RA, Abdullah bin Abu Bakar RA, Aisyah binti Abu Bakar RA, Asma' bin Abu Bakar RA, Amir bin Fuhayrah RA dan Abdullah bin Urayqit.

Abu Bakar al-Siddiq RA telah menjadi sahabat Nabi Muhammad SAW yang setia dalam menempuh pelbagai ujian dan cubaan ketika berhijrah ke Madinah sehingga terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua bagi mengelak dijejaki oleh kaum musyrikin. Abu Bakar al-Siddiq RA sentiasa menguatkan keyakinan dan menghilangkan kegusaran serta berbincang dengan Rasulullah SAW, sanggup mempertaruhkan keluarga serta memberikan sumbangan harta benda.

Firman Allah di dalam al-Quran Surah al-Taubah ayat 40 yang bermaksud: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Ali bin Abu Talib RA pula ditugaskan oleh Rasulullah SAW supaya tidur di tempat baginda sebagai helah mengelirukan musuh. Sifat kekuatan dan keberanian, pintar dan bijak berurusan dalam pelbagai perkara serta mempunyai keyakinan diri, ketenangan jiwa dan langkah yang teguh menjadikan beliau berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Abdullah bin Abu Bakar RA adalah perisik khas iaitu seorang pemuda yang mempunyai tahap keberanian yang tinggi, peka terhadap suasana sekeliling, tajam pendengaran, berfikir teliti serta amanah dalam penyampaian. Sifat-sifat tersebut penting demi memastikan maklumat yang disampaikan kepada pemimpin adalah tepat.

Asma' RA dan adiknya Aisyah RA bertindak menyediakan bekalan makanan buat Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq di dalam gua. Aisyah RA walaupun masih kecil, turut menolong kakaknya menyediakan makanan di rumah, manakala Asma' RA pula membawanya ke gua. Beliau mampu melakukan tugas tersebut kerana sifat kesabaran dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan segala perancangan.

Orang suruhan Abu Bakar al-Siddiq RA iaitu Amir bin Fuhayrah RA berperanan membawa kambing ternakan melalui jalan-jalan yang dilalui oleh Abdullah iaitu anak Abu Bakar yang pergi ke tempat persembunyian Abu Bakar dan Rasulullah SAW untuk menyampaikan maklumat supaya menghapuskan kesan tapak kaki Abdullah ke pintu gua tersebut. Amir bin Fuhayrah RA adalah seorang penggembala kambing dan bekas hamba yang tidak dijangka penglibatannya dalam gerak kerja yang begitu penting.

Selain itu, dalam peristiwa hijrah, Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq RA telah mengupah seorang musyrikin bernama Abdullah bin Urayqit sebagai penunjuk jalan agar tidak dapat dikesan oleh kaum musyrikin Makkah. Sifat amanah yang dimiliki oleh beliau serta berpegang kepada janji telah dimanfaatkan demi menjaga kerahsiaan perancangan dan strategi. Beliau juga berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam mengenali jalan-jalan di padang pasir. Perkara tersebut menunjukkan bahawa orang bukan Islam juga boleh menyumbang kepada agenda kebajikan dengan syarat tidak memerangi Islam, mempunyai kemahiran, pengalaman dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan serta memiliki komitmen dan amanah dalam tugasan yang dilakukan.

Pembentukan masyarakat Islam di Madinah hasil penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang berpaksikan akidah, syariah dan akhlak akhirnya melahirkan sebuah ummah terbaik ataupun khaira ummah sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran Surah Ali Imran ayat 110 bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik."

Ummah yang berkualiti mempunyai ciri-ciri rabbani seperti mengutamakan keharmonian, berkasih sayang, mempunyai kemantapan rohani dan rasa bertuhan, melaksanakan kebajikan, menegakkan keadilan, dan menyantuni kemanusiaan.

Selain itu, ummah yang berkualiti juga sentiasa bersifat sederhana dan seimbang serta menjauhi sifat ekstrem bagi mencapai kegemilangan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud: "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu."

Ciri-ciri rabbani tersebut hakikatnya dibangunkan bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru segenap lapisan masyarakat sama ada rakyat mahupun pemimpin berperanan di dalam menterjemahkan sifat-sifat rabbani dan ciri-ciri kualiti daripada watak penting peristiwa hijrah dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara bagi mendepani pelbagai badai kehidupan yang melanda.

Kadangkala, sumbangan yang mungkin dianggap kecil seperti menyediakan makanan kepada golongan yang memerlukan ketika tempoh pandemik melanda negara juga jika dilakukan dengan niat yang ikhlas dan sempurna, amat besar maknanya dalam menjayakan agenda kebajikan. Pada akhirnya, pertolongan dan bantuan Allah hanya akan hadir berbekalkan kualiti dan sifat-sifat rabbani yang dibangunkan dalam diri setiap insan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:10 AM