Dr Mohd Hasrul Shuhari

AKHIR-AKHIR ini masih terdapat dakwaan beberapa pihak yang mempergunakan nama mulia ulama salaf soleh (golongan yang hidup sekitar kurun pertama hingga kurun ketiga Hijrah) atau salah faham terhadap ungkapan atau pandangan terhadap sesuatu perkara terutama mengenai akidah. Antara nama tokoh besar salaf soleh yang sering dipergunakan nama mereka atau disalah fahami kata-kata mereka terutama dalam perkara akidah ialah Imam Malik, Imam Ahmad ibn Hanbal dan Imam Ja'far al-Sodiq.

Golongan yang mempergunakan nama Imam Malik dan Imam Ahmad ibn Hanbali adalah golongan yang cenderung kepada fahaman tashbih (fahaman menyamakan Allah SWT dengan makhluk) dan tajsim (fahaman Allah SWT berjisim) sebagaimana bidaah yang berlaku kepada golongan Mushabbihah, Mujassimah dan Hashawiyyah. Golongan bidaah pula yang sering mempergunakan nama ilmuwan salaf soleh bernama Imam Jaafar al-Sodiq adalah golongan Syiah.

Imam Ibn Syahin yang wafat pada 385 Hijrah pernah berkata: "Ada dua orang tokoh soleh yang diuji dengan pengikutnya yang buruk iaitu Jaafar bin Muhammad dan Ahmad bin Hanbal."

Imam Malik juga disalah fahami kata-katanya oleh golongan yang cenderung tashbih dan tajsim. Antaranya ialah ungkapan al-istiwa' ma'lum (istiwa' diketahui maknanya) dan al-kaif majhul (bentuk caranya tidak diketahui). Golongan yang cenderung tashbih beranggapan lafaz istiwa' itu diketahui maknanya dengan makna duduk, ambil arah atau menetap di sesuatu tempat manakala bentuk cara Allah SWT duduk, ambil arah atau bertempat hanya diketahui oleh Allah SWT.

Fahaman ini bercanggah dengan fahaman sebenar salaf soleh dan khalaf toyyib (golongan yang hidup selepas kurun ketiga Hijrah). Menurut Imam Zarruq dalam kitab Sharh Aqidah al-Imam al-Ghazali, bahawa al-istiwa' ma'lum menurut Imam Malik ialah al-istiwa' itu diketahui dengan banyak maksud dalam bahasa Arab. Namun, sebahagian maksud itu yakni maksud secara zahirnya seperti duduk dan bertempat adalah batil menurut ijmak ulama. Menurut Imam Zahid al-Kawthari yang juga ulama besar Khilafah Uthmaniyyah Turki, maksud ungkapan Imam Malik itu adalah istiwa' itu memang disabitkan bagi Allah SWT, namun ia tidak bermaksud bertempat.

Menurut Imam Ibn al-Jawzi, terdapat golongan yang menisbahkan pandangan mereka kepada Imam Ahmad, tetapi sebenarnya pandangan Imam Ahmad tidak sedemikian. Antara kesilapan mereka ialah menyandarkan kepada Allah SWT sifat mengandungi makna zahir yang tidak layak tanpa melihat nas lain yang menafikan perkara berkenaan. Menurutnya lagi, jika mereka membaca hadis yang mengandungi lafaz zahir kemudian diam maka tiada siapa pun yang akan membantah, tetapi mereka memahami lafaz itu secara makna zahir maka ini adalah salah. Mereka menyatakan tiada sesiapa pun yang tahu takwilannya melainkan Allah SWT, tetapi mereka menyatakan pula ia boleh difahami secara makna zahir. Ini keganjilan pandangan mereka kerana makna zahir al-istiwa' akan diertikan dengan al-qu[ud (duduk) dan al-nuzul akan diertikan dengan al-intiqal (berpindah).

Imam Mulla Ali al-Qari menjelaskan dalam kitab Mirqah al-Miftah Sharh Mishkah al-Misbah, ulama salaf dan khalaf bersepakat bahawa lafaz seumpama ini mesti dipalingkan daripada makna zahirnya (seperti istiwa' yang zahirnya bermaksud duduk dan bertempat) kepada makna yang layak bagi Allah SWT. Salaf dan khalaf hanya berbeza pandangan sama ada menyerahkan apakah makna yang layak itu kepada Allah SWT dengan cara tafwid tanpa menentukannya serta diam seperti dilakukan oleh majoriti salaf. Atau menentukan makna yang layak seperti bermaksud al-istila' (menguasai) melalui kaedah takwil seperti yang dilakukan oleh majoriti khalaf dan sebahagian salaf.

Contohnya, menurut Imam Ibn Abidin, jika orang awam hanya memahami al-istiwa' dengan makna Allah SWT merapati Arasy maka dibenarkan untuk ditakwilkan kepada lafaz al-istila' (menguasai). Mereka bukan berhasrat untuk menyalahi kaedah salaf soleh, tetapi mereka berhadapan dengan darurat disebabkan golongan Mujassimah yang menjisimkan Allah SWT dan Jahmiyyah yang menafikan sifat Allah SWT dalam kalangan orang awam. Kemudian terbukti mereka berjaya menyedarkan kebanyakan daripada mereka. Walaupun begitu, mereka berpandangan bahawa jika zaman kini terpelihara daripada kebatilan akidah seperti zaman salaf soleh maka mereka tidak akan melakukan takwil ini.

Kaedah takwil ini diguna kerana terdapat petunjuk bahawa dalam kalangan salaf soleh turut melakukannya seperti Imam Malik, Imam al-Awza[i, Imam Sufyan al-Thawri, Imam Jaafar al-Sadiq dan Imam Ahmad. Contohnya, menurut Imam Ibn Hazm bahawa Imam Ahmad menyatakan ayat 22 Surah al-Fajr iaitu Wa ja'a rabbuka' bermaksud telah datang urusan Tuhan kamu (ja'a amru rabbika) yang menepati ayat 33 Surah al-Nahl iaitu ya'tiya amru rabbika. Huraian makna ini didasarkan kepada dalil al-Quran. Dalam hal ini, Imam Izz al-Din ibn Abd al-Salam menyatakan bahawa syarat takwil ialah takwilan itu perlu sangat hampir dengan hak Allah SWT dan perlu didasarkan kepada dalil.

Kesimpulannya, antara punca sebahagian pihak terjebak dalam bidaah tashbih dan tajsim ialah salah faham terhadap kata-kata ulama seperti memberi makna berdasarkan zahir lafaz. Ulama salaf dan khalaf bersepakat bahawa lafaz itu tidak dimaksudkan makna zahirnya kerana sama ada ia ditafwidkan yakni maknanya diserahkan kepada Allah SWT atau ditakwilkan yakni dipilih makna yang layak bagi Allah SWT. Takwilan yang benar ialah takwil yang berdasarkan dalil dan takwilan itu bukan bertujuan menafikan pengisbatan lafaz zahir kepada Allah SWT seperti takwilan Jahmiyyah, tetapi ia bertujuan menafikan makna zahir tashbih yang terdapat pada lafaz zahir itu. Kaedah takwil dan tafwid ini adalah kaedah yang diamalkan sejak zaman salaf soleh kemudian diwarisi oleh khalaf toyyib sehingga ke hari ini menerusi ulama Ahli Sunah Waljamaah.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 5:59 AM