KEMURUNGAN melampau antara faktor pendorong perbuatan bunuh diri.
KEMURUNGAN melampau antara faktor pendorong perbuatan bunuh diri.
Dr Mohd Khafidz Soroni

KADAR kes bunuh diri atau percubaan bunuh diri yang semakin meningkat mutakhir ini cukup membimbangkan. Antara faktor pendorong dikenal pasti adalah kerana stres, depresi dan kemurungan melampau disebabkan masalah kewangan, hilang pekerjaan, bebanan hutang dan masalah keluarga. Apatah lagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan ramai yang terkesan teruk akibat pandemik terbabit.

Allah SWT melarang hamba-Nya daripada membunuh diri kerana diri mereka adalah milik-Nya, bukan milik mutlak diri mereka sendiri. Justeru, membunuh diri bermakna mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.

Dalam Islam, membunuh diri adalah perbuatan dosa besar yang dilarang oleh syarak. Hadis secara spesifik menyebutkan bagaimana azab seksa yang dikenakan kepada orang yang membunuh dirinya di akhirat nanti.

Thabit bin ad-Dhahhak RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, maka dia akan diazab dengan sesuatu yang digunakannya itu di hari kiamat kelak." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW bersabda: "Orang yang menjerut dirinya, maka dia akan berterusan menjerut dirinya di dalam neraka dan orang yang menikam dirinya, maka dia akan berterusan menikam dirinya di dalam neraka." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa menghumbankan diri dari bukit hingga membunuh dirinya, maka ia akan masuk ke neraka jahanam, di mana ia akan berterusan menghumbankan diri di dalamnya dalam keadaan kekal abadi selama-lamanya. Barangsiapa meneguk racun hingga membunuh dirinya, maka racun tersebut akan berada di tangannya, di mana ia akan berterusan meneguknya di neraka Jahannam dalam keadaan kekal abadi di dalamnya selama-lamanya. Barangsiapa membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada di tangannya, di mana ia akan berterusan menikamkannya ke perutnya di neraka Jahanam dalam keadaan kekal abadi di dalamnya selama-lamanya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun hadis ini memberi ancaman cukup keras iaitu orang yang membunuh diri akan kekal dalam neraka, namun sebenarnya ia masih tertakluk kepada kehendak Allah SWT juga sama ada dia akan kekal atau tidak kerana firman-Nya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya." (Surah an-Nisa': 48)

Setiap Muslim perlu mempersiapkan dirinya dengan akidah dan iman yang mantap kepada Allah SWT. Ini kerana segala masalah dan kesulitan yang dihadapi di dunia adalah ujian dan cabaran yang perlu dihadapi dengan penuh sabar dan tawakal.

Keyakinan yang teguh kepada Allah SWT mampu menenangkan batin dan jiwa dalaman seseorang. Ia meyakini semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT dan ia wajib reda dengannya. Justeru, seorang Muslim yang waras tidak akan tergamak untuk membunuh dirinya.

Membunuh diri walau apa pun alasannya adalah perbuatan putus asa daripada rahmat Allah SWT dan seolah-olah menentang takdir yang ditentukan oleh Allah SWT kepadanya. Justeru, ia akan diharamkan daripada memasuki syurga. Jundab bin 'Abdullah RA berkata Rasulullah SAW bersabda: "Ada seorang lelaki di antara umat sebelum kalian menderita luka parah, namun dia tidak sabar lalu dia mengambil sebilah pisau kemudian mengelar tangannya yang mengakibatkan darah mengalir tidak berhenti hingga dia mati. Lalu Allah berfirman: "Hamba-Ku mendahului-Ku dengan membunuh dirinya, maka Aku haramkan baginya syurga." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perbuatan membunuh diri adalah perbuatan jenayah individu yang berlaku sejak sekian lama dalam sejarah manusia. Termasuk juga pernah berlaku di zaman Nabi SAW.

Sahl bin Saad RA Imenceritakan bahawa ada seorang lelaki yang parah dalam satu peperangan, lalu dia meletakkan pedangnya di tengah dadanya dan menusukkannya hingga membunuh dirinya. Lalu sabda Rasulullah SAW: "Dia adalah daripada ahli neraka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jabir bin Samurah RA turut menceritakan seorang lelaki yang menderita luka parah, lalu dia mengambil sebilah anak panah, lantas mengelar lehernya hingga mati. Lalu Nabi SAW pun tidak bersolat jenazah ke atasnya. (Riwayat Ibn Hibban)

Rasa stres, depresi dan kemurungan melampau hingga tidak mahu lagi meneruskan hidup adalah 'sakit' yang perlu segera dirawat. Membunuh diri bukan penyelesai kepada masalah, bahkan ia adalah permulaan kepada masalah yang lebih besar di sebelah sana nanti sebagaimana yang dijelaskan oleh Baginda Nabi SAW.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 10:53 AM