KEGELISAHAN dan kekecewaan dalam kehidupan hanya dapat diubati dengan kesabaran, ikhtiar dan meletakkan pengharapan hanya kepada Allah SWT.
KEGELISAHAN dan kekecewaan dalam kehidupan hanya dapat diubati dengan kesabaran, ikhtiar dan meletakkan pengharapan hanya kepada Allah SWT.
Datuk Mohd Ajib Ismail

MANUSIA kadangkala mudah berasa putus asa di dalam mengharungi badai ujian dan musibah yang melanda kehidupan. Justeru satu-satunya perkara yang memberi kekuatan dan dorongan untuk bangkit dari kekecewaan tersebut adalah sifat pengharapan kepada rahmat dan pertolongan Allah SWT.

Di dalam al-Quran, perkataan al-Raja' digunakan bagi menggambarkan ciri-ciri manusia yang memiliki harapan yang positif sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Orang yang memiliki harapan di dalam kehidupannya akan sentiasa melihat sesuatu perkara dari sudut yang baik atau berfikiran positif. Manakala orang yang mempunyai pemikiran yang positif sebagaimana dijelaskan di dalam al-Quran adalah memiliki sifat yang tidak pernah berhenti berharap pada Allah SWT untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayangNya. Sebaliknya, golongan yang mudah berputus asa pula sering dikaitkan dengan pemikiran pesimis iaitu mereka yang melihat sesuatu dari sudut negatif semata-mata dan sukar meletakkan pengharapan pada Allah SWT.

Ketika masyarakat sedang bergelut dengan situasi yang amat mencabar terutama di dalam tempoh pandemik wabak Covid-19 yang melanda dunia, sifat al-Raja' sangat diperlukan bagi mengubati pelbagai keresahan yang dialami oleh masyarakat. Sebahagiannya sedang menghadapi ujian kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, pelbagai urusan kehidupan yang tertangguh, bebanan kerja, pasangan dan keluarga yang terpaksa berjauhan, kebimbangan dijangkiti penyakit merbahaya yang tidak diketahui risiko kesembuhan, kerisauan tentang kematian akibat wabak yang mengancam nyawa dan ketakukan dimomokkan dengan berita palsu tentang pengambilan vaksin yang sepatutnya menjadi sebahagian iktiar yang menyelamatkan nyawa.

Hakikatnya Allah SWT telah memberikan dorongan dan motivasi kepada hamba-hamba-Nya agar berusaha dan berikhtiar sekiranya menginginkan sebuah perubahan yang positif di dalam kehidupan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Sifat al- Raja' membangunkan pelbagai ciri positif yang lain di dalam diri insan seperti kesabaran, percaya diri, konsisten serta kemahuan yang kuat agar cita-cita dan impian menjadi sebuah kenyataan. Ciri-ciri tersebut akan menjadikan seseorang itu optimis dan berkeyakinan di dalam menggapai harapannya. Dengan harapan, seseorang akan mampu membangkitkan kemahuan untuk melaksanakan sesuatu, membangunkan semangat jihad dalam menunaikan kewajiban, menghilangkan sifat malas serta mewujudkan kesungguhan dan sifat konsisten atau istiqamah.

Seseorang yang tidak memiliki harapan adalah orang pesimis yang mudah berputus asa di dalam kehidupan. Sifat putus asa menjadikan seseorang berada dalam jurang kegagalan kerana mendorongnya berhenti dari melakukan sebarang usaha dan ikhtiar untuk memperbaiki diri dan kehidupan. Di dalam al-Quran, istilah al-Ya's digunakan untuk menggambarkan sifat putus asa. Sifat putus asa dikaitkan dengan kekafiran, sebagaimana dinyatakan di dalam surah Yusuf ayat 87 bermaksud: "Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." 

Sifat yang sering muncul dari rasa putus asa adalah kesedihan dan kehinaan. Ketika seseorang berputus asa, dirinya akan menjadi sedih dan buntu.

Manusia yang memiliki sifat al-Raja' digandingkan dengan sifat orang yang bertakwa, sedangkan orang yang memiliki sifat al-Ya's pula digandingkan dengan sifat orang kafir yang sesat. Justeru orang yang pesimis juga disebut di dalam al-Quran sebagai orang yang kufur nikmat dan bersifat tidak konsisten di dalam beribadah. Mereka ini ketika dikurniakan suatu nikmat, sibuk dengan nikmat tersebut dan melupakan Allah, sedangkan ketika nikmat tersebut hilang, mereka berputus asa dari rahmat Allah. Ada juga sebahagiannya ketika ditimpa kesusahan, mereka sibuk beribadah kepada Allah, sebaliknya ketika dikurniakan suatu nikmat, maka ketika itu mereka melupakan Allah. Perkara tersebut dijelaskan di dalam al-Quran surah al-Rum ayat 36 yang bermaksud: "Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa."

Manusia yang berperibadi optimis dan bergantung harap kepada Allah pula tetap konsisten di dalam beribadah kepada Allah SWT. Ketika dikurniakan suatu nikmat, maka dia bersyukur tanpa mengingkari nikmat tersebut dan melupakan Allah, manakala ketika ditimpa kesulitan, individu yang optimis tetap memohon pertolongan dan berdoa kepada Allah SWT.  

Baru-baru ini media melaporkan tentang kes kesihatan mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang meningkat 20 peratus semenjak lebih setahun yang lalu lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perasaan sunyi, resah, bosan dan tertekan datang bersilih ganti dalam diri bahkan sebahagian mula rasa berputus asa apabila hilang pekerjaan dan bimbang terhadap wabak penyakit. Situasi yang tidak terkawal ini pada akhirnya menjadi punca kemurungan yang melampau. Hasilnya kita membaca kisah-kisah cubaan membunuh diri seperti kes seorang lelaki yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di Jinjang Utara gara-gara tertekan tidak mempunyai pekerjaan dan hidup sebatang kara. Namun syukur mangsa tersebut berjaya dipujuk dan diselamatkan oleh penduduk.

Kegelisahan dan kekecewaan di dalam kehidupan hanya dapat diubati dengan kesabaran, ikhtiar dan usaha yang istiqamah serta meletakkan pengharapan hanya kepada Allah SWT. Selain mendekatkan diri kepada Allah melalui solat dan doa, dapatkanlah bantuan daripada pakar yang boleh membantu. Firman Allah di dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 104 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 5:59 AM