FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Fatma Aziz@Awang

Di saat ini, ramai yang masih termanggu dan mencari-cari akan hikmah datangnya Covid-19. Bilangan kematian dan kes yang semakin meningkat memberikan tekanan dan kebimbangan yang berpanjangan kepada ramai pihak. Ramai yang cakap kita kena sabar. Namun, sabar itu perlulah dipupuk. Sikap sabar tidak datang dengan sekelip mata. Langkah pertama adalah untuk sentiasa bersangka baik dengan Tuhan. Sangka baik membuatkan kita yakin bahawa apa jua yang berlaku akan ada hikmahnya, sama ada kita akan memahami hikmahnya sekarang atau di masa akan datang.

Sikap berbaik sangka kepada Allah SWT atau husnudzon perlulah diaplikasikan ke atas semua peristiwa yang dialami dan dihadapi dalam kehidupan kita. Peristiwa tersebut boleh jadi suatu musibah, mahupun nikmat. Di saat ditimpa musibah, kita perlulah bersabar dan bersyukur di kala diberikan nikmat. Normalnya, manusia akan mengalami kesukaran untuk bersangka baik di kala diuji dengan sesuautu yang tidak seperti yang dikehendaki dan tidak disukai.

Sikap berbaik sangka kepada ujian Allah SWT akan membawa kita kepada hikmah setiap kejadian yang berlaku. Allah sayang kita lebih daripada seorang ibu menyayangi anaknya. Sebagaimana firman Allah dalam sebuah hadis qudsi daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Allah berfirman, Aku selalu menurut persangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Apabila ia berprasangka baik maka ia akan mendapatkan kebaikan. Adapun bila ia berprasangka buruk kepada-Ku maka dia akan mendapatkan keburukan." Hadis Riwayat  Tabrani dan Ibnu Hibban

Sangka baik adalah sikap dan cara pandang seseorang melihat sesuatu secara positif. Setiap Muslim dianjurkan untuk sentiasa bersangka baik dalam menghadapi sesuatu yang datang kepadanya. Sikap bersangka baik ini dapat dilihat melalui sebuah kisah rakyat mengenai seorang raja dan penasihat baginda. Pada suatu hari, raja, penasihat diraja dan beberapa hulubalang pergi ke hutan untuk memburu.

Dalam proses menangkap binatang buruannya, raja telah tercedera yang menyebabkan jari kelingkingnya terpotong. Namun, di saat itu, penasihatnya berkata, 'pasti ada hikmahnya'.  Raja sangat marah lalu menghumban penasihat tersebut ke dalam penjara. Namun, penasihat tersebut masih menyatakan, 'pasti ada hikmahnya'.  Raja sangat pelik dengan kata-kata itu kerana merasakan setiap banduan di dalam penjara terkurung dan tidak bebas, maka tiada kebaikannya disitu. Keesokannya, raja sekali lagi pergi memburu namun, baginda telah ditangkap oleh sekumpulan manusia kanibal, kaum pemakan manusia. Mereka menangkap raja untuk dijadikan sebagai korban kepada tuhan mereka.  Namun, setelah mendapati bahawa raja tersebut tiada jari kelengkeng, maka baginda tidak sesuai dijadikan korban.

Bagi kumpulan tersebut, korban kepada tuhan mereka haruslah sempurna dan cukup sifat. Raja tersebut teringat akan kata-kata penasihatnya akan hikmah dalam semua perkara. Baginda segera berjumpa penasihatnya untuk mengucapkan terima kasih dan melepaskan beliau dari penjara. Sebaik berjumpa dengan penasihatnya mengucapkan syukur dengan berkata, "Sekiranya, hamba tidak dipenjarakan, maka, sudah tentu hamba yang menjadi mangsa korban tersebut kerana hamba akan pergi bersama-sama dengan tuanku."  Kisah ini menggambarkan apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita pasti ada hikmahnya. Kita sebagai hamba, haruslah sentiasa bersangka baik, bersabar dan yakin akan segala ketetapan Allah.

Bersangka baik akan mejadikan kehidupan seseorang itu lebih indah, bermakna dan tenang. Sebaliknya, sekiranya seseorang sentiasa berfikiran negatif dan berburuk sangka (suudzon), dia akan memandang sesuatu dengan penuh rungutan dan keluhan yang membuatkan hidupnya tidak akan tenang. Perasaan sedih dan risau yang berpanjangan tidak dapat mengubah apa-apa, malah perasaan itu akan merampas kebahagiaan kita sekarang.

Apabila kita menyangkutkan sandaran kita kepada Allah SWT semata-mata dan berada di dunia yang nyata, kita akan lebih yakin dan bertenang. Yakin ini sangat berkait rapat dengan keimanan kita kepada Allah dan rukun iman yang lain. Keimanan membawa kita percaya bahawa Allah yang mengatur seluruh alam semesta dan Dialah jua yang menetapkan kita di suatu situasi untuk kita belajar dan berubah.  Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 139 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu (berasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati sebab kamu paling tinggi (darajatnya), jika kamu orang beriman." 

Dalam satu hadis Riwayat Muslim, ada mengajar kita akan doa di saat ditimpa musibah. Dalam Riwayat tersebut, Rasulullah SAW mengajarkan suatu doa kepada Ummu Salamah yang baru diuji dengan kematian suaminya. 

"Innalillah wa Inna ilaihi Rajiun, Allahumma'jurni fi Musibati wa Akhlif li Khairan Minha." Maksudnya, sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada Allah jualah kami dikembalikan, Ya Allah berilah aku pahala dalam musibah yang menimpaku ini dan berilah ganti kepadaku yang lebih baik daripadanya. 

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hamba yang tertimpa musibah, lalu dia mengucapkan doa ini, pasti Allah akan memberikan pahala dalam musibah yang menimpanya dan menggantikan dengan yang lebih baik." Sekiranya seseorang itu reda dan bersabar atas musibah yang menimpanya, maka Allah SWT akan mengurniakan kepadanya ganjaran pahala yang besar dan tidak ternilai. Doa ini mengajarkan kita untuk sentiasa bersangka baik dengan Allah yang akan membuatkan kita lebih tenang. Tenang itu boleh dipupuk, dengan sangka baik, yakin (beriman), reda dan sabar akan ketetapan Allah. Tenang adalah sikap dan jiwa yang lapang mendepani takdir.

Di saat kita kesedihan dan sukar untuk mencapai ketenangan, ambillah ibrah daripada kisah nabi dan al-Quran. Bagaimana Allah mengajar kita pelbagai perkara, Rasulullah kehilangan anak, Nabi Ayub ditimpa penyakit, Nabi Yunus ditelan ikan paus. Surah Al Baqarah 216 yang bermaksud: "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Maksudnya setiap perkara yang berlaku itu adalah yang terbaik untuk kita, walaupun ada kalanya kita tidak suka. Bahkan ada perkara yang kita suka dan minta daripada Allah tidak dimakbulkan kerana perkara tersebut tidak baik buat kita Di saat kita reda dan tenang dalam mengharungi kehidupan, kita mengharapkan reda yang sama daripada Pencipta. Setiap musibah yang menimpa kita akan diberikan markah, bergantung kepada cara bagaiman kita mendepani takdir tersebut. Kita seringkali mendengar akan setiap ujian bertujuan untuk menaikkan darjat kita.

Di saat ujian, kita akan lebih kerap berdoa, bertaubat dan bangun malam meminta pertolongan, lebih kerap beristighfar dan bersedekah. Bukankah ini cara Allah untuk menjadikan kita orang yang lebih baik? Ujian itu boleh menjadi jambatan kita ke syurga sekiranya benar cara kita mendepani dan berhadapan dengan ujian tersebut. Cara menyelesaikan ujian adalah dengan meminta pertolongan Allah. Surah Al-Imran, ayat 159 ada menyatakan: "Bila kau sudah membuat keputusan, maka letaklah kebergantungan dan harapan kepada Allah."  Minta tolong sungguh-sungguh agar setiap keputusan yang kita buat itu akan dibantu dan dimudahkan oleh Allah SWT.

Akhirnya, setiap ujian yang diterima dengan reda telah dijanjikan Allah syurga sebagaiamana yang dinyatakan di dalam surah Al-Fajr, ayat 27 hingga 30 yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredai-Nya. Maka, masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." 

Namun, bagi sesiapa yang enggan menerima ketentuan Allah SWT dan berkeras serta mencemuh, Allah sangat murka akan perangai itu. Dalam suatu hadis qudsi, riwayat Thabrani yang bermaksud: "Barangsiapa yang tidak reda terhadap qada-Ku serta tidak sabar terhadap ujian- Ku, maka carilah Tuhan lain selain Ku!" Marilah kita berdoa agar dijauhkan daripada menjadi hamba yang tidak bersyukur, menyoal dan bersangka buruk akan takdir Allah. 

Penulis pensyarah kanan di Fakulti Perakaunan UiTM Puncak Alam Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:00 AM