MEMATUHI suruhan agama dan beribadat kepada Allah yang diamalkan umat Islam adalah hasil daripada didikan golongan ulama.
MEMATUHI suruhan agama dan beribadat kepada Allah yang diamalkan umat Islam adalah hasil daripada didikan golongan ulama.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Ulama adalah orang yang paling berjasa dalam menjaga, membela dan menyampaikan kepada kita syariat Islam secara suci murni sehingga hari ini. Oleh itu, kita wajib menghormati mereka dan mengakui keahlian mereka misalnya Imam al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi dalam bidang akidah; Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam as-Syafie dan Imam Ahmad dalam bidang fiqah; Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam at-Tirmizi serta Imam an-Nasaie dalam bidang hadis.

Mengkritik dan memperlekehkan ulama adalah dua perkara yang berbeza. Mengkritik ulama tidak boleh dilakukan oleh semua orang. Hanya ulama yang berkelayakan dari segi ilmu dan adabnya sahaja yang boleh mengkritik melalui kaedah dan perbahasan ilmiah. Selain mereka, tidak layak untuk mengkritik ulama melainkan orang jahil yang tertipu dengan dirinya sendiri.

Memperlekehkan ulama pula tidak dilakukan kecuali oleh orang yang hina dan rendah akhlaknya sahaja. Nabi SAW sendiri tidak mengakui orang seperti ini sebagai umatnya. Sabda baginda SAW: "Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak menghormati orang tua kami, mengasihi orang muda kami dan mengetahui hak orang alim kami." Riwayat Ahmad dengan sanad hasan

Kata Imam Ibn al-Mubarak: "Sesiapa yang mempersendakan ulama, akan hilanglah akhiratnya." Kata Imam al-Azraie: "Mencerca ahli ilmu, terutama tokoh besar mereka adalah termasuk dosa besar."

Dalam Islam, kita disuruh supaya menghormati orang yang lebih tua. Mereka yang lebih tua ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian.

Pertama, orang yang ada pertalian darah, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia seperti moyang, datuk, nenek, bapa, ibu, pak cik, mak cik, abang dan kakak. Paling utama tentunya ibu bapa hingga tiada siapa di dunia ini walaupun dia seorang yang paling keji akhlaknya sanggup untuk ibu bapanya dicaci maki.

Kedua, orang yang tiada pertalian darah, sama ada orang masih hidup seperti alim ulama, guru, pemimpin, ketua, jiran tetangga dan semua orang yang lebih tua secara umum; atau orang sudah meninggal dunia seperti sekalian nabi dan rasul AS, sahabat RA, ulama dan solihin.

Inilah adab dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Maka, sewajarnya dia tidak sanggup jika semua orang yang dihormati ini dicerca dan dicaci maki. Apatah lagi mereka yang dimuliakan kedudukannya oleh Allah SWT iaitu nabi AS, sahabat RA, ulama, solihin dan termasuk juga kedua-dua ibu bapanya.

Ulama mempunyai jasa besar kerana mereka 'perantara' yang menyampaikan kepada kita agama yang benar. Pegangan agama yang benar penentu buat kita di akhirat nanti, sama ada akan bahagia atau sengsara. Daripada aspek ini, tentunya 'hutang' kita kepada ulama adalah cukup besar.

Justeru itu disebutkan, bahawa mereka adalah pewaris nabi dan wali Allah SWT. Maka, dikhuatiri orang yang memusuhi mereka akan diperangi oleh Allah SWT sendiri. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Taala berfirman: "Barangsiapa yang memusuhi seorang wali-Ku, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya." Hingga sabda baginda: "Sekiranya dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikannya dan sekiranya dia meminta perlindungan daripada-Ku, nescaya Aku akan melindunginya." Riwayat al-Bukhari

Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie diriwayatkan berkata: "Jika ulama fiqah itu bukan wali Allah, maka tiada lagi seorang wali pun bagi Allah SWT." Jelas al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Faqih wa al-Mutafaqqih: "Maksudnya mereka adalah ulama yang beramal dengan ilmu mereka."

Termasuk wali Allah SWT juga ialah ulama hadis yang memelihara hadis Rasulullah SAW. Kata Imam Sufyan at-Thauri: "Jika ahli hadis itu bukan wali abdal (yakni yang datang silih berganti) maka aku tidak tahu siapakah lagi wali abdal itu." Kata Imam Ahmad bin Hanbal: "Jika ahli hadis itu bukan wali abdal, maka siapakah lagi yang layak?" Kata Imam al-Khalil bin Ahmad: "Jika ahli al-Quran dan hadis itu bukan wali Allah, maka tiada lagi bagi Allah seorang wali pun di muka bumi ini."

Orang yang memperlekehkan ulama bererti dia hendak menjatuhkan kredibiliti penjaga syariat Islam ini. Jika penjaga syariat Islam ini berjaya dijatuhkan, akan mudahlah baginya jalan untuk meruntuhkan seluruh ajaran Islam itu sendiri. Oleh itu, fahaman serong seperti ini wajar dibanteras dan diberikan pengajaran yang secukupnya.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:00 AM