LOCKDOWN atau perintah kawalan pergerakan boleh juga disamakan dengan tempoh pengasingan diri, kuarantin, uzlah atau apa saja nama yang membataskan aktiviti manusia.
LOCKDOWN atau perintah kawalan pergerakan boleh juga disamakan dengan tempoh pengasingan diri, kuarantin, uzlah atau apa saja nama yang membataskan aktiviti manusia.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Penularan wabak Covid-19 adalah ujian yang perlu kita hadapi dengan tawakal dan sabar. Janganlah kita terpengaruh dengan segelintir manusia yang mungkin sudah 'hilang' kesabarannya hingga menambahkan masalah sedia ada.

Lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh juga disamakan dengan tempoh pengasingan diri, kuarantin, uzlah atau apa saja nama yang membataskan aktiviti manusia. Proses ini ada yang dibuat atas kesedaran dan kerelaan diri seperti Nabi SAW beruzlah di Gua Hira' sebelum baginda dibangkitkan sebagai rasul. Baginda mengasingkan diri kerana tidak mahu bercampur dengan masyarakat Arab Jahiliah waktu itu yang rosak akidah mereka. Tempoh uzlah yang dilalui baginda bukan dipenuhi dengan masa kosong yang berlalu begitu saja sebaliknya dipenuhi dengan ibadah kepada Allah SWT.

Saidatuna Aisyah RA menceritakan: "Permulaaan wahyu yang datang kepada Rasulullah SAW adalah berbentuk mimpi yang benar sewaktu tidur. Maka tidaklah baginda bermimpi kecuali ia datang seperti cahaya Subuh. Kemudian baginda diberikan rasa suka untuk menyendiri lalu baginda memilih Gua Hira' dan 'bertahannuth' di dalamnya iaitu beribadah dalam tempoh beberapa malam lamanya sebelum kemudian baginda kembali kepada keluarganya bagi mempersiapkan bekalan untuk bertahannuth semula." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Proses pengasingan ini juga ada yang ditimpakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya bukan di atas ikhtiar mereka sendiri. Misalnya, Nabi Yunus AS apabila baginda melarikan diri daripada kaumnya dengan menaiki bahtera lalu Allah SWT mengujinya hingga akhirnya dicampakkan ke dalam laut dan ditelan seekor ikan paus. Di dalam perut ikan itu, baginda tidak hanya duduk diam menunggu masa berlalu sebaliknya menyedari kesilapannya dan tidak putus berzikir menyebut: "Laa ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minaz zalimin" (bermaksud: "Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang yang menganiaya diri sendiri."

Ini disebutkan dalam al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun (yakni Nabi Yunus), ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah yang menyebabkan dia menyangka Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan. (Setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau. Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku). Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang yang menganiaya diri sendiri." Surah al-Anbiya': 87

Ucapan Nabi Yunus AS ini cukup istimewa sehingga Nabi SAW bersabda mengenai kelebihannya: "Doa Zun-Nun (yakni Nabi Yunus AS) ketika dia berdoa di dalam perut ikan paus itu: 'Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang yang zalim'. Maka, sesungguhnya tidak ada seorang Muslim pun yang berdoa dengannya bagi memohon sesuatu perkara melainkan Allah akan memakbulkan doanya." Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan al-Hakim, kata beliau: Sahih sanadnya

Penularan wabak Covid-19 mungkin faktor yang membawa kepada proses 'pengasingan' yang dikehendaki Allah SWT kepada umat manusia mutakhir ini tanpa ikhtiar daripada diri mereka sendiri. Namun sebagai umat Islam, perlulah kita memastikan masa yang dilalui dalam tempoh ini diisi dengan perkara bermanfaat, bukan dengan perkara lalai, apatah lagi maksiat baik maksiat tangan, kaki, mata, telinga mahupun lidah yang pasti akan merugikan diri.

Baginda Nabi SAW cukup menitikberatkan setiap saat dan detik masa yang dilalui. Sabdanya: "Barangsiapa yang berbaring tanpa berzikir kepada Allah Taala maka dia akan menanggung satu kerugian pada hari kiamat kelak. Dan barangsiapa yang duduk tanpa berzikir kepada Allah Taala maka dia akan menanggung satu kerugian pada hari kiamat kelak." Riwayat Abu Dawud

Berdasarkan hadis ini, janganlah kita memperbanyakkan kerugian pada hari akhirat nanti. Berzikir dalam erti kata mengingati Allah SWT, tidaklah mesti hanya dengan berzikir melalui lidah semata-mata bahkan apa saja aktiviti yang mendekatkan diri kepada Allah SWT boleh dianggap termasuk dalam makna berzikir secara umum seperti bersolat, membaca al-Quran, mengikuti kelas pengajian, menonton kuliah agama, membaca kitab, diskusi agama dan sebagainya.

Secara ringkas, pastikanlah masa kita, keluarga dan anak dalam tempoh 'pengasingan' ini diisi dengan pengisian yang bermanfaat dan bukan merugikan sama ada dari aspek duniawi mahupun ukhrawi.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:00 AM