LAPORAN Harian Metro berkaitan dakwaan selebriti culas SOP.
LAPORAN Harian Metro berkaitan dakwaan selebriti culas SOP.
Riadz Radzi

KEWUJUDAN media sosial memudahkan segala-galanya. Yang lambat jadi cepat, susah jadi mudah dan sebagainya.

Bagi sebahagian besar golongan selebriti, media sosial seperti Instagram umpama 'nyawa'. Bukan saja untuk berkongsi mengenai kerjaya mereka, tetapi juga perniagaan yang diusahakan.

Disebabkan itu, mereka amat 'gerun' jika akaun Instagram hilang entah ke mana akibat digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, media sosial juga boleh menjejaskan reputasi seseorang selebriti. Ia juga umpama 'mesin fitnah' dan pentas hinaan, makian, carutan tidak berbelah bahagi dalam kalangan followers (pengikut) masing-masing serta netizen.

Jika bijak mengendalikannya, maka anda akan selamat. Jika sebaliknya atau terlebih teruja, alamatnya bersedialah untuk bertabah dan bersabar.

Dalam situasi penularan Covid-19 ketika ini, ada segelintir selebriti dilihat tidak sensitif atau mungkin terlepas pandang mengenai isu ini.

Tindakan mereka memuat naik gambar aktiviti seperti merentas negeri dan mengadakan majlis di Instagram masing-masing mengundang pelbagai persepsi.

Ia bermula dengan pasangan selebriti, Risteena Munim dan Isa Khan dituduh netizen menyalahgunakan kebenaran merentas negeri untuk bercuti di Semporna, Sabah pada 20 Mac lalu.

Paling mendapat perhatian sudah pasti Neelofa dan suaminya, PU Riz yang didakwa melanggar SOP ketika majlis pernikahan mereka pada 27 Mac lalu selain merentas negeri ke Langkawi beberapa hari selepas itu.

Atas kesalahan itu, Neelofa dan keluarganya dikenakan kompaun RM60,000. Namun, ramai juga tidak berpuas hati kerana ia dikatakan hukuman yang tidak setimpal.

Terbaharu, pasangan pengantin baharu itu sekali lagi mencetus perhatian apabila didakwa merentas negeri ke Nilai, Negeri Sembilan selepas Neelofa memuat naik video di Instagram Story memaparkan mereka berada di kedai menjual permaidani dipercayai di Pusat Borong Nilai 3.

Malah, beberapa pengguna Twitter turut mendakwa melihat pasangan itu di Nilai 3, sekali gus menghangatkan lagi spekulasi mereka melakukan kesalahan rentas negeri.

Apalah agaknya ada dalam fikiran mereka ketika itu sedangkan kurang dua bulan sebelum itu, mereka dikecam hebat akibat melakukan perkara sama.

Tidak ketinggalan, penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menjadi mangsa kecaman netizen susulan tindakan anak tirinya, Asyraf Khalid dan isteri, Tya Ariffin memuat naik video di Instagram dan YouTube yang memaparkan suasana di hospital tempat Siti melahirkan anak keduanya pada 19 April lalu sehingga menimbulkan perdebatan mengenai isu pelanggaran SOP dalam kalangan netizen.

Kelmarin, nama Siti sekali lagi tular mengenai isu sama di majlis tahnik anak keduanya itu yang diadakan di rumah mereka di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada 26 April lalu.

LAPORAN Harian Metro berkaitan dakwaan selebriti culas SOP.
LAPORAN Harian Metro berkaitan dakwaan selebriti culas SOP.

Majlis yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta tiga penceramah terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain didakwa netizen melanggar SOP apabila berlaku aktiviti merentas negeri.

Isu membabitkan Risteena, Isa dan majlis pernikahan Neelofa serta merentas negeri ke Langkawi sudah selesai.

Begitu juga dengan penularan video kehadiran ramai tetamu di hospital selepas Siti melahirkan anak.

Semalam, polis sudah merakam keterangan lapan individu termasuk penganjur majlis tahnik anak Siti bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran SOP.

Neelofa dan PU Riz juga sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan semalam bagi memberi keterangan.

Jadi, ini kesannya daripada pengaruh media sosial. Semuanya bermula apabila selebriti terbabit memuat naik gambar atau video aktiviti mereka di media sosial.

Kita faham, mereka mungkin sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa atau sudah mematuhi SOP, tetapi dalam keadaan sekarang, isu ini cukup sensitif dalam kalangan masyarakat.

Niat untuk berkongsi kegembiraan atau kebaikan dengan pengikut masing-masing akhirnya mengundang padah. Mereka akhirnya menjadi mangsa kecaman bertalu-talu dan lebih teruk lagi, fitnah berleluasa.

Secara peribadi, saya berasakan adalah lebih baik mereka tidak berkongsi segala aktiviti yang boleh menimbulkan 'curiga' orang ramai di media sosial.

Silap langkah, memang buruk padahnya. Silap hari bulan, terpaksa pula ke balai polis.

Bagi netizen pula, jangan leka menghentam selebriti sehingga lupa diri sendiri juga kadang-kadang culas dengan pematuhan SOP.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 5:59 AM