SESUNGGUHNYA Allah SWT menyukai golongan yang sentiasa berusaha memperbaiki amalannya agar mencapai kualiti ibadah terbaik.
SESUNGGUHNYA Allah SWT menyukai golongan yang sentiasa berusaha memperbaiki amalannya agar mencapai kualiti ibadah terbaik.
Mohd Shahrizal Nasir

PUASA Ramadan adalah ibadah yang disyariatkan dengan ketetapan yang jelas. Takrifan ibadah puasa difahami sebagai menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Sesiapa yang tidak mengikut ketetapan syarak dalam pelaksanaan puasa maka ibadahnya akan tertolak.

Tempoh masa pelaksanaan puasa perlu diberi perhatian oleh umat Islam. Seseorang yang ingin berpuasa, tidak boleh makan, minum dan melakukan apa juga perbuatan yang membatalkan puasa selama tempoh yang ditetapkan. Penetapan tempoh masa berpuasa pula melibatkan peredaran matahari. Pada masa kini, dengan kecanggihan ilmu falak tempoh masa pelaksanaan puasa dapat ditentukan oleh pihak berkuasa agama dan makluman mengenainya pula boleh diakses dengan mudah.

Firman Allah SWT berkenaan masa berpuasa yang maksudnya:  "...dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)."  (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Setiap Muslim perlu mengambil perhatian tentang ketetapan tempoh masa berpuasa. Termasuk dalam perkara ini, setiap orang berpuasa tidak boleh bersahur dan berbuka puasa mengikut kehendak masing-masing. Semua orang perlu akur terhadap ketetapan masa yang diberikan panduannya oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Bagi memastikan setiap orang dapat berpuasa mengikut tempoh masa yang betul, terdapat pendekatan yang boleh diambil bagi mengurus hal ini. Pendekatan  ihtiyat  bermaksud berhati-hati atau berjaga-jaga, atau berwaspada dalam pelaksanaan ibadah agar tidak terjebak dalam perkara yang boleh membatalkan ibadah tersebut.

Dalam konteks puasa,  ihtiyat  adalah satu langkah yang boleh diambil bagi memastikan diri tidak melangkaui batasan masa yang ditetapkan untuk berpuasa. Ini kerana waktu sahur berkaitan dengan permulaan puasa bagi sesuatu hari, manakala waktu berbuka berkaitan dengan pengakhiran puasa.

Hal ini sepertimana yang diperkenalkan di negara kita berkenaan penetapan masa imsak. Meskipun penggunaan perkataan imsak itu sendiri dalam bahasa Arab bermaksud menahan diri daripada makan dan minum, namun tempoh masa tersebut sebenarnya menunjukkan langkah  ihtiyat  agar umat Islam tidak makan sahur tatkala telah masuk waktu Subuh.

Walaupun umat Islam masih boleh makan dan minum dalam tempoh imsak, sebaiknya mereka mengambil pendekatan berjaga-jaga agar tidak terlajak makan dan minum sedangkan telah masuk waktu Subuh. Zaid bin Thabit meriwayatkan:  "Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangun untuk mendirikan solat. Aku telah bertanya: Berapa jarak antara keduanya? Maka baginda SAW bersabda: 50 ayat (kadar bacaan 50 ayat al-Quran)."  (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini secara jelas membuktikan meskipun disunatkan agar melewatkan sahur, namun terdapat jarak masa antara sahur Rasulullah SAW dan sahabat dengan pelaksanaan solat fardu Subuh. Kadar bacaan sebanyak 50 ayat al-Quran antara waktu selesai bersahur dengan solat fardu subuh dilihat sebagai satu langkah  ihtiyat  agar perbuatan bersahur tidak melangkaui masuknya waktu Subuh yang menandakan bermulanya ibadah puasa.

Berdasarkan perkara ini, langkah  ihtiyat  juga boleh diambil untuk tujuan berbuka puasa. Tambahan pula baru-baru ini terdapat kejadian azan Maghrib dikumandangkan lebih awal daripada masa yang sebenar. Ini berpunca daripada masalah teknikal yang melibatkan jam di masjid berkenaan. Perbuatan tersebut menyebabkan terdapat umat Islam yang berbuka puasa awal daripada waktu yang sepatutnya dan mereka yang terlibat diminta untuk menggantikan puasa mereka. Hal ini berdasarkan pandangan ulama yang menyatakan ibadah puasa dalam keadaan tersebut adalah terbatal dan orang yang terlibat wajib melakukan qada' puasa.

Ihtiyat  untuk berbuka puasa tidak bermaksud seseorang perlu melewatkan waktu berbuka yang sepatutnya. Melewatkan berbuka puasa adalah perbuatan yang bersalahan dengan suruhan Rasulullah SAW agar orang berpuasa menyegerakan berbuka apabila telah sampai waktunya. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:  "Sentiasalah manusia itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Langkah  ihtiyat  ketika hendak berbuka puasa boleh difahami menerusi perbuatan merujuk beberapa perkara bagi mendatangkan keyakinan tentang masuknya waktu Maghrib. Jika sebelum ini kita mungkin hanya bergantung kepada azan Maghrib yang dikumandangkan oleh masjid berdekatan dengan rumah, sebagai langkah  ihtiyat  perlu juga dirujuk jadual waktu berbuka puasa yang sepatutnya ada di rumah masing-masing.

Rujuklah jadual berbuka puasa yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti agama. Jika tidak mendapat naskhah jadual bercetak, rujuklah jadual tersebut yang disediakan di laman web jabatan agama tempat sendiri. Sejak sebelum tibanya Ramadan, terdapat juga pihak yang mengedarkan jadual berbuka puasa. Ada juga yang mengambil peluang untuk membuat promosi produk atau perniagaan mereka menerusi pengeluaran jadual waktu berbuka puasa dan diedarkan kepada orang ramai. Bagi jadual berbuka puasa yang dikeluarkan oleh pihak tersebut, buatlah semakan terlebih dahulu agar maklumat di dalamnya benar-benar sahih.

Semua ini juga antara langkah  ihtiyat  yang boleh diambil oleh setiap orang agar lebih berwaspada dalam urusan berbuka puasa. Terdapat juga aplikasi dalam telefon pintar yang menyalurkan maklumat berkenaan waktu berbuka puasa. Aplikasi seumpana itu juga boleh membantu kita mengetahui waktu berbuka puasa namun perlu dibuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan ketepatan maklumat yang diberikan.

Di sesetengah tempat, ada inisiatif membunyikan siren atau memukul beduk bagi menandakan masuknya waktu Maghrib untuk penduduk di sekeliling berbuka puasa. Ini semua inisiatif yang baik, namun sebagai  ihtiyat, perlu juga dirujuk beberapa kemudahan lain yang memberi maklumat tentang waktu berbuka sebelum masing-masing makan dan minum.

Langkah ihtiyat  dilihat sebagai satu usaha mendapat keyakinan tentang waktu berbuka puasa yang betul. Ia tidak boleh dilihat sebagai tanda seseorang itu mengalami penyakit was-was dalam beribadah.  Ihtiyat  dalam urusan berbuka puasa ini berkaitan usaha merujuk beberapa sumber yang menandakan masuknya waktu Maghrib tanpa bergantung secara total hanya kepada satu sumber.

Dengan kata mudah,  ihtiyat  adalah langkah berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya keraguan. Ini sepertimana dijelaskan oleh 'Izz al-Din bin 'Abd as-Salam dalam kitabnya  Qawa'id al-Ahkam fi Masalih al-Anam  yang menyatakan bahawa  ihtiyat menyerlahkan sikap warak seseorang kerana berusaha meninggalkan keraguan dan beralih kepada keyakinan terhadap sesuatu perkara.

Semua ini juga boleh dilihat sebagai satu usaha menjaga kualiti ibadah puasa. Sesungguhnya Allah SWT menyukai golongan yang sentiasa berusaha memperbaiki amalannya agar mencapai kualiti ibadah terbaik. Firman Allah SWT bermaksud: "…dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Penulis Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:59 AM