Mohd Rizal Azman Rifin

Alhamdulillah syukur setingginya kerana kita masih diberikan ruang dan peluang untuk meniti kehidupan di bulan Ramadan yang barakah ini. Meskipun kehidupan semasa yang sedikit sebanyak mengekang pergerakan akibat pandemik Covid-19 yang masih belum menemui titik akhirnya setakat ini.

Semoga apa juga halangan, hendaknya kita terus memperagakan diri selaku umat Nabi SAW yang kekal tegar melaksanakan apa yang dititah perintahkan Allah dan meninggalkan apa juga yang dilarang-Nya. Ramadan adalah bulan yang sangat perlu dimanfaatkan sedayanya dengan menggandakannya dengan pengisian kerohanian semaksimum termampu memandangkan fadilat dan ganjaran besar di sisi Allah.

Sejarah awal Islam menunjukkan kepada kita bahawa ia adalah bulan jihad yang di dalamnya banyak siri peperangan yang terpaksa diharungi oleh umat Islam terdahulu. Misalnya, Perang Badar yang tercetus pada tahun kedua Hijrah. Ia adalah perang sulung dan utama yang menentukan keberlangsungan agama suci ini. 

Sejarah Perang Badar  menceritakan kepada kita betapa umat Islam di era Rasulullah SAW itu langsung tidak mengendahkan lapar dan dahaga semasa mara ke medan Badar, demi menegakkan agama Allah.

Ibadah puasa bukan satu alasan buat mereka untuk menerjah tapak medan jihad kerana yang utama bagi mereka ialah menyahut seruan jihad yang dikobarkan oleh semangat tidak takut mati demi mengharapkan syahid di jalan Allah.

Itu sejarah yang menjadi tinta emas buat kita umat Nabi SAW dan seharusnya Perang Badar dan semangat juang tahap tertinggi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya dahulu itu memberikan suntikan inspirasi untuk kita masa kini. Meskipun kita tidak lagi berhadapan dengan ancaman musuh secara fizikal seperti umat Islam zaman Rasulullah SAW, tidak bermakna kita tiada ruang untuk berjihad di jalan Allah.

Misalnya, bulan Ramadan yang sedang kita sama-sama lalui ini sebenarnya adalah medan jihad fisabilillah yang sangat perlu kita perjuangkan sehabis daya. Maksudnya, kita sedang berjihad dengan kehendak hawa nafsu yang sebelum kedatangan Ramadan pun kita sering tertewas oleh 'kerakusannya' menggoda kita agar lalai dan alpa dengan tuntutan agama.

Untuk itu, ada baiknya kita renungkan apa yang pernah diingatkan oleh Baginda SAW dalam sabda: "Setiap Mukmin dihadapkan dengan lima ujian. Mukmin yang menghasadnya, munafik yang membencinya, kafir yang memeranginya, nafsu yang menentangnya dan syaitan yang selalu menyesatkannya." (Hadis diriwayatkan Ad-Dailami)

Berdasarkan kepada sabda Nabi SAW itu dapatlah kita pecahkan musuh kita yang lima itu kepada dua bahagian iaitu musuh secara zahir seperti Mukmin yang menghasad, orang kafir dan munafik. Sedangkan satu lagi ialah musuh secara batin iaitu syaitan dan nafsu.

Musuh zahir kemungkinan besar kita mampu tangani dengan mengambil pelbagai langkah proaktif, namun musuh batin iaitu syaitan dan nafsu jauh lebih menyulitkan lantaran serangan dua musuh itu menyebabkan kita tertewas jua.

Sabda Nabi SAW lagi:  "Musuh yang paling memusuhi kamu ialah nafsu yang berada di antara dada kamu."  (Hadis Riwayat Jami'al-Hadis)

Justeru, sesuailah kita jadikan Ramadan ini sebagai platform buat memerangi nafsu yang sebelum ini kita manjakan sehingga tidak kurang mengakibatkan kita sedikit tersasar daripada lunas-lunas jalan Allah. Insya-Allah, kita mampu tangani musuh yang berbentuk nafsu itu dengan jalan yang wajar sekiranya kita mengambil teladan ahli Perang Badar. Ahli Perang Badar dahulu bukan semata-mata berjaya memerangi musuh zahir, iaitu puak kafir musyrikin Makkah, tetapi dalam masa sama mereka berjaya kalahkan musuh dalam selimut iaitu nafsu, sehingga kualiti iman dan takwa yang kental padu berjaya diproses dalam jiwa mereka, lalu memberikan kemenangan dalam peperangan tersebut.

Ibnu Rajab Al-Hambali Rahimahullah menyatakan: "Ketahuilah, bahawa seorang Mukmin melakukan dua jihad di bulan Ramadan. Jihad pertama adalah jihad kepada diri sendiri pada siang hari dengan melakukan ibadah puasa. Sedangkan, jihad kedua adalah di malam hari dengan ibadah solat malam. Sesiapa yang melakukan dua jihad dan menunaikan hak-hak berkaitan dengan kedua-duanya, lalu terus bersabar melakukannya, maka ia akan diberikan ganjaran di sisi Allah dengan pahala tanpa batas (tidak terhingga)."

Apa yang berlaku ke atas ahli Perang Badar itu seharusnya kita titipkan dalam jiwa kita semasa melalui bulan Ramadan ini. Kita bukan semata-mata mengusahakan diri sekuatnya untuk menahan diri daripada makan dan minum semata-mata, tetapi juga menahan diri daripada nafsu yang sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk menggoda kita.

Bayangkanlah, sekiranya kita gagal dan tewas kepada musuh dalam selimut itu, pastinya kita akan dibelenggu rasa malas untuk beribadah malam, malah, tidak kurang juga kita akan menjadi orang 'membalas dendam' kerana tidak makan minum di waktu siang dengan makan dan minum semahunya semasa waktu berbuka.

Tengoklah ketika ke bazar untuk membeli lauk-pauk dan kuih-muih. Tidak kurang ketika itupun kita sering tertewas kepada musuh batin ini yang membuatkan kita dihamburkan dengan keghairahan membeli apa sahaja yang terliur. Bukan kita tidak sedar bahawa perbuatan berlebihan dengan membeli apa sahaja yang dikehendaki nafsu itu terlarang dan dianggap membazir, tetapi kerana kuatnya dorongan dan serangan nafsu menjadikan kita tertewas juga. Haus dan dahaga yang boleh dianggap musuh zahir semasa berpuasa mampu kita kalahkan, tetapi musuh berbentuk nafsu, kita yang dikalahkannya.

Masih belum terlambat untuk kita sedarkan diri sendiri dengan melalui ibadah puasa Ramadan kali ini dengan jalur-jalur kehidupan Mukmin berpuasa yang sebenar. Kita seharusnya isytiharkan perang ke atas kehendak nafsu yang sentiasa mahu merosakkan kita, sebaliknya bertindaklah segagahnya memperisaikan diri dengan rasa insaf untuk mengawal selia nafsu agar selari dengan kehendak agama.

Penulis Pensyarah Kanan  Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 9:12 AM