MAKAM Imam al-Bukhari yang terletak di Uzbekistan.
MAKAM Imam al-Bukhari yang terletak di Uzbekistan.
Dr Mohd Khafidz Soroni

KOTA Bukhara di Uzbekistan mempunyai hubungan sejarah yang cukup erat sehingga kini dengan Islam.

Tokoh kelahiran kota berkenaan iaitu Imam al-Bukhari sentiasa disebut dan diperbincangkan dalam disiplin pengajian Islam sehingga hari ini.

Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Isma'il bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju'fi al-Bukhari.

Beliau dilahirkan pada hari Jumaat 13 Syawal tahun 194H di Bukhara. Semasa kecil, beliau merupakan seorang kanak-kanak yang pintar dan gigih menimba ilmu pengetahuan.

Beliau mula mempelajari hadis sejak daripada umur 10 tahun. Pada usia 16 tahun, beliau sudah pun menghafal kitab karangan Imam Ibnu al-Mubarak dan Imam Waki'.

Pada umur 18 tahun pula, beliau sudah menulis kitab mengenai ijtihad para sahabat dan tabiin serta kitab al-Tarikh.

Dalam mencari hadis, beliau mengembara ke pelbagai daerah seperti Hijjaz, Syam, Mesir, Basrah, Kufah, Baghdad dan Khurasan.

Beliau sudah berguru dan mempelajari hadis daripada lebih 1,080 orang syeikh.

Imam al-Bukhari mempunyai ilmu yang amat luas dalam bidang hadis sehingga beliau digelar Amir al-mu'minin fi al-hadith yang bermaksud ketua hadis orang mukminin.

Beliau cukup mahir dalam membezakan antara hadis sahih dan tidak sahih. Katanya: "Aku menghafal 100,000 hadis sahih dan aku juga menghafal 200,000 hadis yang tidak sahih."

Beliau telah mengarang lebih daripada 20 kitab. Antaranya ialah al-Jami' al-Sahih, al-Tarikh al-Kabir, al-Adab al-Mufrad, Kitab al-Dhu'afa', al-Tafsir al-Kabir, Khalq Af'al al-'Ibad, al-Qira'ah Khalfa al-Imam, Raf'u al-Yadain fi al-Solah dan Birr al-Walidayn.

Karya Imam al-Bukhari yang paling masyhur ialah kitab al-Jami' as-Sahih yang lebih popular disebut Sahih al-Bukhari yang hanya menghimpunkan hadis sahih semata-mata.

Kitab ini mula ditulis ketika beliau berada di Masjidil Haram, Makkah. Manakala judul-judul babnya pula dikemas kini semasa beliau berada di Masjid Nabawi, Madinah di antara kubur Nabi SAW dan mimbar masjid.

Judul penuh kitab Sahih al-Bukhari agak panjang iaitu 'al-Jami' al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunanih wa Ayyamih'.

Antara faktor mendorongnya ialah apabila beliau melihat belum ada lagi kitab yang disusun khusus mengumpulkan hadis sahih yang tidak diragui lagi kesahihannya.

Azamnya bertambah kuat apabila gurunya, Imam Ishaq bin Rahuyah menggalakkan murid-muridnya untuk menghimpunkan hadis sahih dengan berkata: "Kalaulah kalian dapat menghimpunkan sebuah kitab ringkas yang khusus bagi hadis Rasulullah SAW yang sahih sahaja."

Kata Imam al-Bukhari: "Lalu kata-kata itu melekat di hatiku, maka aku pun mula menghimpunkan kitab Sahih."

Diriwayatkan juga beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW.

Katanya: "Seolah-olah aku berada di hadapan baginda dan di tanganku ada sebuah kipas yang aku gunakan untuk menepis bagi mempertahankan baginda. Lalu aku bertanya kepada ahli takbir mimpi, maka beliau berkata kepadaku: Engkau akan menepis pendustaan yang datang kepada Rasulullah SAW. Mimpi itu telah mendorongku untuk menghasilkan kitab Sahih."

Kitab Sahih ini sudah dikarang oleh Imam al-Bukhari selama 16 tahun. Katanya: "Aku susun kitab Sahih ini daripada 600,000 hadis yang telah aku dapatkan dalam tempoh masa 16 tahun. Aku akan menjadikannya sebagai hujah antara diriku dengan Allah."

Setiap hadis yang dimasukkan ke dalam kitab ini adalah hadis yang diyakini sahih oleh beliau. Katanya: "Aku tidak keluarkan di dalam kitab ini melainkan yang sahih sahaja, namun hadis sahih lain yang aku tinggalkan masih banyak lagi."

Beliau akan beristikharah terlebih dahulu kepada Allah SWT dengan bersolat dua rakaat. Katanya: "Aku mula menyusun kitab Sahih ini di Masjidil Haram dan aku tidak memasukkan di dalamnya satu hadis pun sehinggalah aku beristikharah dahulu kepada Allah Taala, bersolat dua rakaat dan aku yakin kesahihannya."

Dalam riwayat lain: "Aku tidak tulis satu hadis pun di dalam kitab sahih ini melainkan sebelumnya aku mandi dahulu dan bersolat dua rakaat."

Kalangan ulama bersepakat mengatakan bahawa Sahih al-Bukhari adalah kitab hadis yang paling sahih dan unggul dalam Islam selepas al-Quran al-Karim.

Pada akhir hayatnya, Imam al-Bukhari keluar menuju ke Samarkand. Sebelum tiba di sana beliau singgah di Khartank, sebuah desa kecil untuk mengunjungi beberapa kerabatnya.

Namun, beliau jatuh sakit selama beberapa hari sehingga akhirnya beliau meninggal pada hari Sabtu malam Eidul Fitri tahun 256H semasa berusia 62 tahun. Jenazahnya dimakamkan selepas solat Zuhur pada Hari Raya Eidul Fitri.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 8:57 AM