KITA perlu berfikir betapa berkuasanya Allah SWT dalam mencipta alam ini dan betapa lemahnya manusia.
KITA perlu berfikir betapa berkuasanya Allah SWT dalam mencipta alam ini dan betapa lemahnya manusia.
Mohd Shahrizal Nasir

SABAN hari kita menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah SWT. Meskipun kini pergerakan kita terbatas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak menyekat peluang untuk menyaksikan pelbagai ciptaan Allah SWT. Semua makhluk yang berada di sekeliling kita adalah ciptaan-Nya. Haiwan, serangga, tumbuhan, bukit, sungai, tanah, langit termasuk diri kita sendiri semuanya adalah makhluk yang dicipta oleh Allah.

Adakah kita menginsafi kejadian alam ciptaan Allah SWT itu? Adakah kita fikir betapa berkuasanya Allah SWT dalam mencipta alam ini dan betapa lemahnya manusia? Adakah iman kita meningkat selepas menyaksikan sendiri keindahan ciptaan Allah SWT di atas muka bumi ini?

Kita sering melihat kehebatan penciptaan makhluk oleh Allah SWT dengan mata kasar sahaja. Mungkin kita lupa untuk mengaitkan apa sahaja keindahan penciptaan flora dan fauna di sekeliling dengan kekuasaan Allah SWT. Akal dan hati kita seolah-olah gagal berfungsi dengan baik tatkala mata menyaksikan semua pencitaan-Nya yang indah itu.

Tatkala golongan kafir tidak mempercayai keagungan Allah SWT yang berkuasa mencipta alam semesta ini, Allah SWT mengajukan beberapa soalan kepada golongan terbabit. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?  Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?"  (Surah al-Ghashiyah, ayat 17-20)

Semua persoalan ini memberi tamparan hebat kepada golongan yang tidak beriman dengan Allah SWT. Akal dan hati mereka mati kerana tidak dapat memikirkan kehebatan Allah SWT dalam penciptaan unta, langit, gunung dan bumi. Sememangnya mereka melihat semua ciptaan terbabit, namun gagal untuk menghayati betapa besarnya kuasa Allah SWT.

Sebagai orang Islam, kita perlu mengambil iktibar daripada penyaksian terhadap alam sekeliling. Memang benar kita beriman kepada Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan-Nya. Namun, kadangkala kita alpa Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu yang bernama makhluk. Justeru, dengan menyaksikan ciptaan Allah SWT, maka ia akan menambah keimanan kita kepada-Nya.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyarankan supaya kita menyaksikan penciptaan makhluk oleh Allah SWT di atas muka bumi ini dengan pandangan mata hati. Firman Allah SWT dalam al-Quran mafhumnya: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang dan kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuhan di bumi sesudah mati, serta Ia biakkan padanya daripada pelbagai jenis binatang; demikian juga peredaran angin dan awan yang tunduk terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (semua itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah) bagi kaum yang menggunakan akal fikiran." (Surah al-Baqarah, ayat 164)

Firman Allah SWT lagi dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi golongan yang berakal." (Surah Ali 'Imran, ayat 190)

Kita perlu menginsafi bahawa pertukaran malam dan siang setiap hari juga adalah antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Setiap hari kita bertemu dengan siang dan malam. Adakah pertemuan kita dengan siang dan malam terbabit semakin menguatkan iman terhadap kekuasaan Allah SWT? Hanya insan yang mempunyai akal yang waras akan dapat menyaksikan kehebatan Allah SWT pada setiap penciptaan makhluk-Nya.

Sekiranya kita gagal melihat keagungan Allah SWT menerusi penyaksian terhadap makhluk ciptaan-Nya, maka kita tidak ubah seperti makhluk Allah SWT yang tidak dikurniakan akal fikiran. Kita perlu mengambil iktibar tatkala Allah SWT menyamakan orang yang tidak menyaksikan tanda-tanda kekuasaan-Nya sama seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat; mereka itulah golongan yang lalai." (Surah al-A'raf, ayat 179)

Kita juga diseru melihat kepada diri sendiri betapa indahnya diri dicipta oleh Allah SWT. Tidak ada seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat mencipta manusia sepertimana ia diciptakan oleh Allah SWT. Kita boleh melihat mencipta persis manusia, jika ada pun robot ia tidak dapat sama sekali menyaingi penciptaan manusia. Manusia bukan sahaja memiliki anggota fizikal yang cukup berfungsi dalam kehidupan, ia juga dibekalkan dengan hati dan perasaan yang tidak akan mungkin dapat dicipta oleh selain daripada Allah SWT.

Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran: "Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?" (Surah az-Zariyat, ayat 20-21)

Saksikanlah kehebatan Allah SWT pada penciptaan diri sendiri dan makhluk lain di sekeliling. Jika kita dapat melihat seluruh bumi dan isinya ini sebagai antara bukti kekuasaan dan kehebatan Allah SWT, maka diri tidak akan sama sekali tergamak mengakui adanya kehebatan tersendiri walaupun sekelumit.

Sebab itu dalam bacaan Sayyidul Istighfar, kita mengakui Allah SWT adalah Tuhan yang menciptakan diri dan kita adalah hamba-Nya. Justeru, kita perlu sedar Dialah Tuhan yang selayaknya mengurniakan perlindungan dan keampunan.

"Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan-Mu. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku berpegang dengan perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan perbuatanku, aku mengakui dosaku kepada-Mu dan aku mengakui nikmat-Mu kepadaku, maka ampunilah daku. Sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain-Mu dan aku meminta ampun daripada segala yang pernah aku lakukan." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 5:59 AM