UMAT Islam perlu mematuhi ketetapan yang dibuat pemerintah ketika perlaksanaan solat Jumaat dalam tempoh PKP.
UMAT Islam perlu mematuhi ketetapan yang dibuat pemerintah ketika perlaksanaan solat Jumaat dalam tempoh PKP.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap Muslim diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat. Perhimpunan mingguan umat Islam yang ditunaikan sebagai perintah agama menunjukkan keutuhan umat yang melaksanakan ibadah secara berjemaah. Ada ibadah yang boleh dilakukan secara bersendirian namun untuk solat Jumaat ia mesti dilakukan secara berjemaah. Tambahan pula pelaksanaan ibadah ini dikhususkan pada hari Jumaat yang dikenali sebagai  sayyidul ayyam  atau penghulu segala hari.

Perbuatan meninggalkan ibadah solat ini tanpa sebab yang dibenarkan oleh Islam mengundang akibat yang tidak baik. Rasulullah SAW menjelaskan hal ini menerusi sabda yang bermaksud:  "Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali sedangkan dia tidak berada dalam keadaan darurat, maka Allah akan mengunci hatinya."  (Hadis riwayat Ibn Majah)

Menurut al-Munawi dalam kitabnya  Fayd al-Qadir  ketika menjelaskan makna hadis tersebut menyatakan bahawa  Allah akan mengunci hati orang yang tidak menunaikan solat Jumaat dengan sengaja, menutupnya dan menghalanginya daripada mendapat kasih sayang daripada-Nya. Selain itu, Allah SWT akan menjadikan hatinya mengandungi kejahilan, kekasaran dan kekerasan. Malah lebih parah lagi, Allah SWT turut menjadikan hatinya seperti hati orang munafik.

Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang mafhumnya:  "Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali tanpa uzur, maka dia orang munafik."  (Hadis riwayat Ibn Hibban). Justeru, pelaksanaan solat Jumaat tidak boleh diambil mudah kerana kecuaian dalam pelaksanaannya mengundang dosa.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), umat Islam perlu patuh terhadap ketetapan yang dibuat pemerintah. Usah ada pihak yang mengajak orang ramai membelakangi ketetapan pemerintah hanya dengan berpegang kepada nas asal kewajipan menunaikan solat Jumaat.

Kefahaman terhadap hadis yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW berkenaan ancaman buruk bagi orang yang meninggalkan kewajipan solat Jumaat turut disertakan terma 'darurat' dan 'uzur.' Ini bermakna terdapat keluasan yang diberikan oleh syarak bagi orang yang terpaksa meninggalkan kewajipan tersebut.

Kekhuatiran  terkena penyakit juga termasuk salah satu bentuk keuzuran seperti yang dijelaskan oleh al-Mardawi dalam kitabnya  al-Insaf fi Ma'rifah al-Rajih min al-Khilaf:  "Diberi keuzuran untuk meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat bagi orang sakit tanpa ada khilaf di antara ulama. Demikian juga diberi keuzuran untuk meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat ketika ada kekhuatiran terkena penyakit."

Dalam mendepani situasi ini, usah pula menganggap keadaan tidak pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sebagai satu peluang untuk melakukan apa sahaja pada waktu tersebut. Meskipun tidak perlu menunaikan solat Jumaat, setiap orang wajib menunaikan solat fardu Zuhur. Dengan kata lain, waktu solat Jumaat masih perlu diisi dengan pelaksanaan ibadah fardu yang lain iaitu solat Zuhur.

Pada kesempatan ini, sedikit nasihat yang ingin dikongsikan agar umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat dengan sebab mematuhi ketetapan pihak pemerintah agar berusaha menghormati waktu pelaksanaan ibadah tersebut. Janganlah menggunakan masa tersebut untuk ke hulu ke hilir tanpa tujuan mendesak kerana ia boleh mengundang perbuatan tidak menghormati waktu ibadah.

Elakkanlah berjual beli ketika tempoh masjid sedang mengadakan solat Jumaat seperti mana larangan melakukan jual beli ketika tempoh tersebut pada waktu biasa sebelum adanya Covid-19 dan PKP. Kita sering diingatkan tentang hal ini kerana ia satu peringatan agar mendahulukan tuntutan beribadah kepada Allah SWT melebihi urusan dunia.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."  (Surah al-Jumu'ah, ayat 9)

Bukan itu sahaja, urusan melibatkan gajet dan media sosial juga sewajarnya dihentikan seketika ketika tempoh pelaksanaan ibadah solat Jumaat. Tidak manis terus bersembang dalam media sosial semasa solat Jumaat meskipun sedia dimaklumi masjid terpaksa mengehadkan jumlah orang yang boleh menunaikan solat Jumaat pada musim PKP.

Bagi orang yang bekerja, mungkin boleh kekal berada di tempat kerja masing-masing menyelesaikan tugasan ataupun berehat. Manakala bagi yang sedang bercuti daripada tugas, duduklah di rumah selama tempoh pelaksanaan solat Jumaat sebagai usaha menghormati orang lain yang sedang menunaikan kewajipan tersebut.

Sifat malu dapat menjadikan diri tidak sanggup untuk melakukan apa sahaja aktiviti sewenangnya tatkala orang lain sedang khusyuk menunaikan solat Jumaat. Jika tidak ada sifat malu, maka orang akan melakukan apa sahaja bagi memenuhi tuntutan nafsu dirinya sendiri.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Sesungguhnya ungkapan yang telah dikenal orang daripada ucapan para nabi terdahulu ialah:  Jika engkau tidak malu maka buatlah apa yang engkau suka."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dengan adanya kemudahan teknologi masa kini, usaha untuk mendapatkan ilmu daripada intisari khutbah boleh dilakukan tanpa sebarang halangan.  Berusahalah mencari ilmu berkaitan agama meskipun tidak berpeluang untuk mendengar khutbah secara langsung di masjid pada ketika ini.

Sekiranya setiap Muslim dapat mengambil manfaat daripada kandungan khutbah Jumaat, maka yang selebihnya hanyalah tinggal usaha untuk mempraktikkan kebaikan dalam kehidupan seharian. Setiap perkara baik yang diperoleh mestilah diikuti dengan tindakan yang selari dengan perkara tersebut.

Setiap umat Islam perlu berazam untuk tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang sentiasa beroleh hidayah daripada-Nya. Firman Allah SWT bermaksud:  "Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya, mereka itulah orang yang diberi hidayah pertunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna."  (Surah az-Zumar, ayat 18)

Marilah sama-sama kita berdoa agar wabak Covid-19 segera berakhir dan semua orang berpeluang menunaikan solat Jumaat seperti biasa. Keadaan yang kita hadapi ketika ini sepatutnya dijadikan sebab untuk melakukan muhasabah diri sendiri betapa besarnya nikmat peluang menunaikan perintah Allah SWT tanpa sebarang kekangan.

Sekarang ini, usah menuding jari menyalahkan pihak yang terpaksa membuat ketetapan mengehadkan bilangan jemaah untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Sebaliknya setiap umat Islam perlu bertekad untuk sama-sama memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 kerana hanya dengan inisiatif tersebut, kita boleh keluar daripada situasi pandemik sekarang. Natijahnya nanti, kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa termasuk berpeluang menunaikan solat Jumaat di masjid kerana perhimpunan mingguan umat Islam itu menggambarkan kekuatan dan kesatuan umat.

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:30 AM