AMAT penting memastikan hadis  kita terima dan amalkan mempunyai sumber serta status yang kuat.
AMAT penting memastikan hadis kita terima dan amalkan mempunyai sumber serta status yang kuat.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Kita diperintahkan mentaati Rasulullah SAW, mengikuti dan beramal dengan sunahnya sama sebagaimana kewajipan kita terhadap al-Quran. Firman Allah SWT: "Apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya." Surah al-Hasyr ayat 7

Rasulullah SAW pula menjelaskan: "Aku meninggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunah rasul-Nya." Hadis Riwayat Imam Malik

Umumnya, segala hadis Nabi SAW yang ditinggalkan kepada kita pada masa kini adalah dalam bentuk kitab yang hadis di dalamnya diriwayatkan secara bersanad oleh ulama hadis. Semua kitab hadis sebegini dipanggil sebagai 'sumber asal' hadis.

Bagaimanapun, tidak semua kitab hadis itu pada tahap kredibiliti yang sama. Ada sebahagiannya yang memfokuskan kepada hadis sahih sahaja seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Ada sebahagian yang lain mencampurkan antara hadis sahih dengan hadis tidak sahih seperti Sunan al-Tirmizi dan Sunan Ibn Majah. Oleh itu, tidak semua hadis daripadanya boleh diterima dan dijadikan sebagai hujah.

Ada pun hadis yang sampai kepada kita pada hari ini dalam keadaan tiada bersanad dan hanya didakwa sebagai hadis maka hadis sebegini dipanggil sebagai hadis yang 'tiada sumber asal'. Kedudukannya hampir sama seperti hadis palsu. Tidak boleh disebarkan dan diamalkan. Pastinya hadis yang tidak bersumber dan palsu ini tidak dapat dijadikan pegangan serta sandaran umat Islam.

Sejak dahulu hingga kini, pelbagai status hadis tersebar dalam masyarakat. Oleh itu, amat penting untuk kita memastikan hadis yang kita terima dan amalkan mempunyai sumber serta status yang kuat. Bagi memastikan demikian, ulama hadis melaksanakan proses takhrij.

Apakah takhrij? Takhrij ialah proses menyandarkan atau menunjukkan kedudukan sesuatu hadis pada sumber asalnya yang diriwayatkan secara bersanad dan menerangkan statusnya jika perlu.

Antara kepentingan mempelajari takhrij ialah supaya seseorang penuntut ilmu tidak berpegang, berdalil dan beramal dengan mana-mana hadis kecuali setelah mengetahui siapa dalam kalangan ulama hadis yang meriwayatkannya.

Lebih penting lagi mengetahui status atau darjat hadis sama ada sahih, hasan, daif dan sebagainya.

Melalui takhrij, penuntut hadis dapat mengumpul seberapa banyak jalan riwayat yang ada bagi sesuatu hadis. Oleh itu, ia akan dapat menimbangnya secara ilmiah mengikut neraca ilmu kritik hadis. Atau dapat memastikan tidak ada jalan riwayat lain bagi sesuatu hadis setelah usaha takhrij dijalankan. Mana-mana pengurangan atau penambahan pada hadis juga dapat dikesan jika ada.

Ini tentunya akan dapat membantu pemahaman mengenai topik sesuatu hadis dengan lebih baik.

Melaluinya juga, seseorang penuntut hadis dapat mengetahui kedudukan sanad sama ada bersambung, terputus, mursal tabie, gugur beberapa perawi, disandar kepada Nabi SAW atau sahabat, berlaku tadlis dan sebagainya. Berdasarkan faktor itu akan lebih membantu pemahaman tentang situasi sesuatu hadis.

Jelasnya, seseorang penuntut ilmu perlu tahu cara untuk mentakhrijkan hadis berdasarkan sumber asalnya sekiranya hadis itu bersumber dan memastikan status hadis berkenaan sama ada dapat diterima atau ditolak berdasarkan penilaian ulama pengkritik hadis.

Jika sesuatu hadis tidak ditemui sumbernya setelah dijalankan proses takhrij melalui kaedah tertentu maka besar kemungkinan hadis yang dicari itu memang tidak bersumber. Maka berat pada jangkaan, hadis yang tidak mempunyai sumber asal ini mirip kepada hadis palsu yang perlu ditinggalkan. Juga menjadi kewajipan kita untuk menjelaskan kedudukannya kepada orang lain.

Sesetengah ulama hadis amat berhati-hati dalam menilai kedudukan hadis sebegini sebagai palsu dan dusta, tetapi hanya memadai dengan mengatakan bahawa hadis berkenaan tidak ditemukan sumbernya.

Dengan mendalami ilmu takhrij sebenarnya akan lebih membuatkan kita kagum dengan sumbangan luar biasa ulama hadis dalam memelihara khazanah hadis Nabi SAW. Ribuan kitab yang menyimpan perbendaharaan yang cukup berharga ini kekal menjadi milik eksklusif umat Islam.

Khazanah besar ilmu ini tidak akan dapat kita lihat seumpamanya dalam mana-mana ilmu agama lain. Malah, warisan hadis tidak terhad kepada satu gaya penyusunan sahaja, bahkan mempunyai pelbagai variasi penyusunan yang membuktikan kekreatifan ulama hadis dalam menghasilkan karya.

Oleh kerana hadis adalah pentafsir kepada al-Quran dan sumber penting dalam syarak maka berkhidmat kepada hadis jelaslah satu tugas mulia.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 3:00 AM