KEMARAU dan kekurangan hujan yang menghilangkan pelbagai barakah adalah balasan Allah yang berpunca daripada kenggananan mengeluarkan zakat.
KEMARAU dan kekurangan hujan yang menghilangkan pelbagai barakah adalah balasan Allah yang berpunca daripada kenggananan mengeluarkan zakat.
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Banyak perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan tanpa ada sedikit rasa malu kepada manusia, lagi-lagi kepada Allah SWT yang dapat melihat setiap perbuatan hambanya walaupun dalam keadaan yang tersembunyi daripada manusia.

Akibat perbuatan tersebut, Allah SWT mendatangkan balasan yang setimpal kepada pelaku maksiat di atas dunia lagi bagi memberi getaran dan ketakutan kepada manusia yang lain agar menjauhi perkara tersebut.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Wahai kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kamu terjatuh ke dalamnya - dan aku berlindung kepada Allah supaya kamu tidak menjumpainya - (1) Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka tha'un (wabak) dan penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya, (2) Tidaklah mereka mengurangi timbangan kecuali akan ditimpa kegawatan, susahnya penghidupan dan kezaliman penguasa atas mereka, (3) Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan daripada mereka (hujan tidak turun) dan sekiranya bukan kerana haiwan nescaya manusia tidak akan diberi hujan, (4) Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka (daripada kalangan selain mereka; orang kafir) berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki, (5) Dan selama pemimpin mereka (kaum Muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (al-Quran) dan mengambil yang terbaik daripada apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka." (Hadis  Riwayat Ibnu Majah dan Al-Hakim dengan sanad sahih)

Berdasarkan hadis  tersebut, lima perkara yang dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW adalah maraknya perbuatan zina, mengurangkan timbangan, tidak mengeluarkan zakat, melanggar perjanjian dengan Allah dan Rasulullah, kaum Muslimin tidak berhukum dengan al-Quran.

Maraknya perbuatan zina

Perbuatan maksiat yang mengundang kepada azab Allah SWT adalah al-Fahisyah yang diertikan sebagai penzinaan. Azab yang diturunkan adalah disebabkan maraknya fenomena perbuatan zina yang berlaku di tengah-tengah masyarakat. Penzinaan yang berlaku pada
hari ini sudah sampai kepada peringkat lumrah kepada masyarakat sehingga pandangan umum terhadap perbuatan ini adalah perkara biasa dan bukan lagi perbuatan terkutuk sehingga tiada seorangpun yang menghalangnya. Jika ada sekalipun, tiada kesungguhan yang sebenarnya untuk mencegah secara mutlak. Azab yang diturunkan akibat perbuatan zina ini akan menimpa secara keseluruhan di mana tempat maksiat itu dilakukan.

Mengurangkan timbangan

Kejahatan ini termasuk salah satu kejahatan yang paling besar dilakukan oleh kaum Nabi Syuib AS  yang menyebabkan kekufuran mereka kepada Allah SWT. Akibatnya, Allah SWT menghantar hukuman dan azab kepada mereka berupa kemarau dan kekurangan hujan yang menghilangkan pelbagai barakah yang ada di muka bumi. Tanaman yang biasa subur dan mengeluarkan hasil, tiba-tiba musnah dalam sekelip mata. Allah SWT berfirman maksudnya:  "Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur." (Surah Saba' ayat 17)

Dalam gambaran yang lain, Allah SWT datangkan dari sudut krisis ekonomi negara yang disebabkan inflasi, korupsi yang berlaku disebabkan pentadbiran yang lemah. Akibatnya semua masyarakat dan rakyat akan terlibat dengan masalah ini.  

Enggan mengeluarkan zakat

Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mengingkari kewajipannya. Zakat adalah rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Dalam masa sama, orang yang enggan mengeluarkan zakat adalah kerana sifat bakhil dan kedekut mereka. Allah SWT berfirman maksudnya:  "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu." (Surah al-Taubah ayat 34-35)

Memutuskan perjanjian yang ditautkan oleh Allah dan Rasul-Nya

Perjanjian di antara Allah dengan seluruh manusia daripada anak Adam AS agar tidak menyekutukan Allah SWT dengan apa-apa sekalipun serta sentiasa mentaati segala perintah-Nya. Kemudian perjanjian ini dilanjutkan kepada Rasul utusan Allah sehingga kepada rasul terakhir Nabi Muhammad SAW.  Dalam hadis yang diriwayatkan daripada 'Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahawasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya 'Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh daripada-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam syurga berapa pun amal yang telah diperbuatnya." (Hadis Riwayat  Bukhari hadis no 3435)

Apabila umat manusia merosakkan dan melanggar perjanjian dengan Allah SWT, maka laknat Allah yang besar akan menimpa mereka di samping hukuman berupa hati yang keras dan kerugian yang menimpa mereka di dunia dan di akhirat.

Tidak berhukum dengan al-Quran

Perbuatan ini adalah bencana paling besar yang sedang menimpa umat pada hari ini. Manusia mula meninggalkan al-Quran dan mengguna pakai sistem hukum berasaskan pemikiran dan logik semata-mata. Banyak isu terkini diselesaikan dengan penyelesaian di luar daripada konteks al-Quran terlebih dahulu sebelum kembali kepada al-Quran.

Al-Quran adalah petunjuk yang tersimpul dalam keimanan kepada keesaan Allah dan kepercayaan kepada adanya hari pembalasan. Ia juga petunjuk mengenai akhlak yang murni dengan menerangkan norma keagamaan dan tatasusila kehidupan yang mesti diikuti dalam kehidupan individu dan bermasyarakat demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Inilah mesej Rasulullah SAW bahawa Islam adalah nizam al-hayat ataupun way of life (cara hidup) yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.


Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama. Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 10:02 AM