SELEPAS 500 Hijrah pula, ulama hadis tidak lagi membukukan hadis lengkap berserta sanad kecuali segelintir kecil sahaja yang masih berbuat demikian.
SELEPAS 500 Hijrah pula, ulama hadis tidak lagi membukukan hadis lengkap berserta sanad kecuali segelintir kecil sahaja yang masih berbuat demikian.

DALAM disiplin hadis, ulama hadis yang zaman hidup mereka datang lebih dahulu disebut sebagai golongan Mutaqaddimin. Ulama yang zaman hidup mereka datang kemudian pula disebut golongan Mutaakhirin. Bagaimanapun, terdapat perselisihan pandangan dalam menentukan had batasan yang memisahkan antara zaman Mutaqaddimin dan Mutaakhirin.

Al-Hafiz az-Zahabi menyebut dalam Mizan al-I'tidal: "Had batasan yang memisahkan antara Mutaqaddimin dan Mutaakhirin ialah 300 tahun." Ini bermakna mereka yang hidup sesudah 300 Hijrah adalah dikira sebagai Mutaakhirin.

Tempoh 300 tahun pertama adalah mencakupi sebahagian besar tokoh yang memberikan sumbangan cukup luar biasa dalam bidang keilmuan Islam termasuk sahabat dan tabiin. Antara tokoh lain ialah antaranya Abu Hanifah (wafat 150H), al-Awza'i (wafat 156H), Syu'bah (wafat 160H), Sufyan al-Thawri (wafat 161H), al-Laith bin Sa'd (wafat 175H), Malik bin Anas (wafat 179 H), Ibn al-Mubarak (wafat 181H), al-Qattan (wafat 189H), Sufyan bin 'Uyaynah (wafat 198H) dan 'Abd al-Rahman bin Mahdi (wafat 198H).

Diikuti seterusnya oleh as-Syafie (wafat 204H), Ibn Ma'in (wafat 233H), Ibn al-Madini (wafat 234H), Ishaq bin Rahuyah (wafat 238H), Ahmad (wafat 240H), al-Bukhari (wafat 256H), Muslim (wafat 261H), Abu Zur'ah (wafat 264H), Abu Dawud (wafat 275H), Abu Hatim (wafat 277H), al-Tirmidhi (wafat 279H), al-Bazzar (wafat 292H), al-Nasa'i (wafat 303H) dan ramai lagi.

Bagaimanapun, kaedah az-Zahabi itu mungkin tidak tetap kerana beliau sendiri menyebut kehebatan Imam al-Isma'ili (wafat 371H) dalam Tazkirat al-Huffaz seperti berikut: "Beliau menyusun Musnad Umar RA. Aku menelaahnya dan membuat ulasan daripadanya. Aku cukup kagum dengan hafalan imam ini dan aku pasti golongan Mutaakhirin pasti berasa putus asa untuk menandingi golongan Mutaqaddimin."

Berdasarkan fakta sejarah, walaupun selepas 300 Hijrah, ramai ulama hadis yang konsisten mengikut metode Mutaqaddimin. Antara mereka ialah Abu Ya'la (wafat 307H), at-Tabari (wafat 310H), Ibn Khuzaymah (wafat 311H), al-Tahawi (wafat 321H), al-'Uqayli (wafat 322H), Ibn Abi Hatim (wafat 327H), Ibn Hibban (wafat 354H), al-Tabarani (wafat 360H), Ibn 'Adi (wafat 365H), al-Daraqutni (wafat 385H), al-Hakim (wafat 405H), al-Bayhaqi (wafat 458H), al-Khatib al-Baghdadi (wafat 463H) dan Ibn 'Abd al-Barr (wafat 463H).

Kata al-Hafiz al-'Ala'i (wafat 761H) dalam an-Naqd as-Sahih: "Imam Mutaqaddimin yang Allah anugerahkan mereka berpengetahuan luas dalam ilmu hadis dan cukup banyak hafalannya adalah seperti Syu'bah, Yahya bin Said al-Qattan, Abd ar-Rahman bin Mahdi dan yang seumpama mereka. Kemudian murid mereka seperti Ahmad bin Hanbal, Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma'in, Ishaq bin Rahuyah dan sekumpulan lagi daripada kalangan mereka.

"Kemudian murid mereka pula seperti al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmizi, an-Nasa'i dan demikian seterusnya hingga zaman ad-Daraqutni dan al-Bayhaqi daripada kalangan mereka yang tiada lagi orang yang akan datang selepas mereka yang mampu menyamai mereka, bahkan tiada yang dapat menghampiri mereka."

Berdasarkan pernyataan al-'Ala'i, menunjukkan zaman Mutaqaddimin berakhir sebelum 500 Hijrah kerana beliau sudahi dengan al-Bayhaqi. Oleh itu, al-Hafiz Ibn Hajar (wafat 852H) dalam an-Nukat mengisyaratkan bahawa Mutaakhirin pula adalah mereka yang hidup sesudah 500 Hijrah dan seterusnya.

Berdasarkan pernyataan al-'Ala'i dan Ibn Hajar, kemungkinan pendapat terbaik mengenai had masa yang memisahkan antara Mutaqaddimin dan Mutaakhirin ialah 500 Hijrah.

Malahan sehingga tarikh itu, hadis masih diriwayatkan secara bersanad selain penilaian statusnya oleh ulama hadis yang muktabar.

Selepas 500 Hijrah pula, ulama hadis tidak lagi membukukan hadis lengkap berserta sanad kecuali segelintir kecil sahaja yang masih berbuat demikian seperti al-Baghawi (wafat 516H), Ibn 'Asakir (wafat 571H) dan Ibn al-Jawzi (wafat 597H). Kebanyakan ulama hadis lebih memberi tumpuan kepada proses pengemaskinian, penyaringan, perbahasan isu, penyusunan syarah hadis, ensiklopedia hadis dan sebagainya.

Antara tokoh Mutaakhirin adalah seperti Ibn al-Athir (wafat 606H), Ibn al-Solah (wafat 643H), al-Munziri (wafat 656H), al-Nawawi (wafat 676H), Ibn Daqiq al-'Ied (wafat 702H), al-Zahabi (wafat 748H), al-Subki (wafat 756H), al-'Ala'i (wafat 761H), al-Zayla'i (wafat 762H), Ibn Jama'ah (wafat 767H), Ibn Kathir (wafat 774H), al-Zarkasyi (wafat 794H) dan Ibn Rajab (wafat 795H).

Diikuti seterusnya oleh Ibn al-Mulaqqin (wafat 804H), al-'Iraqi (wafat 806H), al-Haythami (wafat 807H), Ibn Nasir ad-Din (wafat 842H), Ibn Hajar (wafat 852H), al-Busiri (wafat 840H), Ibn Qutlubugha (wafat 879H), as-Sakhawi (wafat 902H), as-Suyuti (wafat 911H) dan lain-lain lagi.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 9:38 AM