NILAI akhlak mulia diamalkan bukan hanya sesama manusia malah juga terhadap alam sekitar keseluruhannya. FOTO Arkib NSTP
NILAI akhlak mulia diamalkan bukan hanya sesama manusia malah juga terhadap alam sekitar keseluruhannya. FOTO Arkib NSTP
Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

Sesungguhnya amat perlu sekali difahami dan dipertegaskan bahawa agama Islam itu direncana oleh Allah SWT ke alam dunia ini dengan membawa misi besar bagi menegakkan dasar hidup manusia berpaksikan nilai akhlak yang mulia.

Ini kerana Allah Maha Mengetahui manusia sebagai penghuni utama, malahan dipertanggungjawab sebagai khalifah di dunia ini. Mereka hanya dapat mendefinisikan kesejatian diri sebagai manusia dan melaksanakan tuntutan tugasan dengan baik apabila tertegak dalam diri nilai akhlak mulia.

Kemudian dalam konteks Islam yang sinonim dengan akhlak mulia, ia amat jelas misalnya berdasarkan tafsiran Ibn Abbas, seorang ahli tafsir zaman sahabat dan Ibn Jabr iaitu ahli tafsir golongan tabiin terhadap ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak (khuluq) yang sangat mulia." Surah al-Qalam, ayat 4

Kedua-dua mereka menjelaskan pengertian perkataan khuluq dalam ayat ini boleh difahami sebagai agama (din). Dengan itu ayat ini boleh juga bermaksud: "Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai agama (din) yang sangat mulia" iaitu Islam. Dengan memahami inti sari kandungan ayat ini, seorang ulama terkenal abad ke-14 Masihi, Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah menjelaskan seluruh aspek agama Islam itu adalah akhlak, oleh itu sesiapa yang bertambah nilai akhlaknya maka bertambahlah nilai agamanya.

Jelas sekali Islam sebagai satu agama dan cara hidup sinonim dengan akhlak yang mulia. Namun untuk menjadi lebih jelas perlu dianalisis apa sebenarnya yang terkandung dalam keseluruhan istilah akhlak mulia sebagaimana dituntut oleh ajaran Islam.

Analisis perihal ini boleh dimulai dengan berpandukan sebuah hadis Rasulullah SAW (Riwayat Muslim) yang menjelaskan bahawa (maksudnya), 'al-Birr itu ialah akhlak yang mulia atau baik...'

Dalam konteks ini al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 177 memperincikan istilah al-birr ini sebagai merangkumi sejumlah perkara yang termasuk di dalamnya aspek keimanan, kedermawanan, pelaksanaan Rukun Islam, kesetiaan terhadap janji dan kesabaran dalam menghadapi pelbagai kesukaran dalam hidup. Berdasarkan perincian al-Quran ini kalangan ulama merumuskan istilah al-birr adalah satu himpunan perbuatan yang baik (af'al al-khayr).

Seterusnya, untuk lebih jelas lagi, ulama memperincikan lagi isi kandungan yang terangkum dalam ungkapan af'al al-khayr itu, lalu merumuskan af'al al-khayr yang juga al-birr dan akhlak yang mulia sebagaimana terungkap dalam hadis dicatatkan di atas boleh dirujuk kepada setiap perbuatan serta perlakuan manusia yang boleh menghasilkan kebaikan kepada individu atau kumpulan atau setiap perbuatan boleh menghalang berlaku kemudaratan kepada individu atau kumpulan dan yang wajib dilaksanakan demi mencari keredaan Allah. Ini bermakna perbuatan yang baik iaitu al-birr dan mempunyai nilai akhlak mulia, dicirikan oleh perbuatan atau perlakuan yang di dalamnya terangkum secara sekali gus ciri tiga serangkai: (a) penghasilan kebaikan, (b) penghalangan kemudaratan dan (c) dilakukan demi mencari keredaan Allah.

Demikianlah luasnya ruang lingkup akhlak mulia dalam perspektif Islam yang perbatasannya dicirikan oleh tiga ciri di atas. Oleh itu, apabila diperhatikan secara teliti sememangnya boleh dirumuskan semua kegiatan hidup yang diberikan laluan oleh Islam untuk dilakukan penganutnya daripada sekecil perkara dalam kehidupan seperti rumah tangga sampailah kepada perkara besar mengendalikan urusan negara dan urusan dunia seluruhnya.

Semuanya adalah sama ada mempunyai nilai akhlak yang baik atau mempunyai komponen ke arah pembentukan akhlak mulia contohnya penghayatan Rukun Iman, pelaksanaan Rukun Islam, kegiatan ekonomi, sosial, politik dan apa jua berkait dengan kehidupan manusia membabitkan hubungan sesama manusia, hubungan dengan Pencipta, hubungan dengan makhluk lain termasuk binatang dan alam sekitar. Semuanya mesti dilaksanakan dalam kerangka besar nilai akhlak yang mulia. Ajaran Islam tidak pernah memberi laluan kepada penganutnya untuk melakukan sesuatu melainkan sesuatu itu mempunyai nilai akhlak mulia yang diiktiraf kemuliaan dan kebaikannya oleh syarak serta akal murni manusia.

Demikianlah indahnya Islam merencanakan atur cara kehidupan agar segalanya boleh memberi manfaat terbaik kepada kelangsungan dunia sebagai habitat yang wajar dihuni oleh semua makhluk Allah. Namun apa yang malang, sebahagian besar penganut Islam, khususnya dalam tempoh semasa, rencana dan atur cara indah ini diketepi dan tidak dihayati dalam diri mereka. Mereka sepatutnya kembali memikirkan perkara ini dengan serius untuk melakukan satu bentuk revolusi, merubah dan menstruktur semula gaya hidup demi kepentingan hidup mereka sendiri di dunia yang sementara ini dan paling utama kehidupan kekal di akhirat.

Penulis Profesor Emeritus Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 7:10 AM