UMAT Islam perlu mengambil sedikit ruang untuk bermuhasabah diri tentang alam kubur yang pasti ditempuhi setiap individu yang bernyawa.
UMAT Islam perlu mengambil sedikit ruang untuk bermuhasabah diri tentang alam kubur yang pasti ditempuhi setiap individu yang bernyawa.
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

BERSEMPENA tamat musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan meraikan musim cuti sekolah kebanyakan kita merancang pelbagai aktiviti bagi memenuhi hajat dan cita rasa masing-masing. Ada yang sibuk untuk kenduri-kendara, melancong di dalam negeri, balik kampung menziarahi keluarga dan lain-lain.

Alangkah seronoknya jika kita mengambil sedikit ruang untuk bermuhasabah diri tentang 'percutian kekal' yang semestinya bakal ditempuhi oleh individu yang bernyawa. Ini kerana setiap insan pasti akan merasai kematian dan menempuhi alam selepas kematian.

Rasulullah SAW di dalam hadis yang sahih pernah bersabda: "Orang paling cerdik dalam kalangan kamu ialah orang yang sentiasa merendah diri dan melakukan amalan bagi menghadapi hari-hari sesudah kematian. Manakala orang yang bodoh ialah mereka yang sentiasa menurut hawa nafsu yang serakah dan berangan-angan ingin memasuki syurga." (Hadis Riwayat Muslim)

Antara 'alam percutian' selepas kematian yang perlu ditempuhi ialah: 

  • Pertama: Mengenai soal Malaikat Munkar dan Nakir. Kedua mereka adalah dua Malaikat yang digeruni yang berada di sisi seorang hamba di dalam kuburnya dengan roh dan jasad. Mereka akan menyoal si mati berkenaan tauhid dan kerasulan dengan kata mereka: "Siapa Tuhanmu? Apa agamamu? Siapa Nabimu? Maka mereka adalah pembawa kesusahan di dalam kubur." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • Kedua: Mengenai azab dan nikmat kubur dan itu adalah realiti sebenar. Ia satu keadilan ke atas jasad dan ruh mengikut apa yang dikehendaki-Nya. Semua ini berlaku berdasarkan apa yang dilakukan seseorang semasa hayatnya di dunia.  Firman Allah SWT: "Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada Malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (Surah Ghafir ayat 46)
  • Ketiga: Tentang hari kebangkitan iaitu dibangkitkan semua jasad manusia dari kuburnya selepas sekian lama ia dihancurkan tanah. Kecuali jasad yang tidak dimakan tanah seperti jasad Nabi dan Rasul AS, wali, ulama dan solihin. Jasad yang pertama bangkit ialah jasad Nabi Muhammad SAW, sahabat ahli Makkah, ahli Madinah dan Taif.
  • Keempat:  Melalui al-Hasyr. Iaitu hari dihimpunkan segala makhluk di suatu dataran tanah yang luas dan tandus dan warnanya putih seperti perak. Manusia berdiri dalam pelbagai rupa dan gaya mengikut amalan. (al-Harari, Sirath al-Mustaqim, Cetakan Darul Masyari' Lubnan, 2010, hlm 127.) 
  • Kelima: Menyusuri al-Hisab. Yakni perkiraan amalan manusia dan ruang untuk menuntut atau memberi kemaafan kepada orang lain. Juga terdapat golongan manusia yang memasuki syurga tanpa hisab. Mereka adalah muqarrabun (dekat dengan Allah SWT). Allah SWT bertanya sesiapa yang dikehendaki daripada para Nabi-Nya berkenaan penyampaian perutusannya dan sesiapa yang dikehendaki daripada orang kafir tentang pendustaan para Rasul. Orang yang melakukan bid'ah akan disoal mengenai sunnah dan umat Islam akan disoal mengenai amalan mereka. (Syeikh Hamdi Sinnan, Dr Fouzy al-Anjari, Ahli Sunnah al-Asya'irah, Dar al-Baidha', hlm 298)
  • Keenam: Melalui neraca timbangan yang mempunyai dua daun dan tiang. Amalan yang dilakukan seseorang sama ada baik dan jahat akan ditimbang dengan kekuasaan Allah SWT melalui alat ini. Nabi SAW pernah bersabda: "Perkara yang memberatkan timbangan amalan manusia di neraca timbangan-Nya ialah akhlak yang mulia." (Hadis Riwayat al-Tirmidzi)
  • Ketujuh: Meniti titian sirath yang wujud secara realiti. Ia satu jambatan dibentangkan di atas neraka jahanam. Ia lebih tajam daripada mata pedang dan lebih halus daripada seurat rambut. Segala kaki orang yang kufur terhadap Allah akan tergelincir dengan ketetapan hukum Allah SWT. Manakala kaki umat Islam yang beriman tetap teguh di atasnya dengan kurniaan Allah. (Hadis riwayat Imam Muslim, Kitab al-Iman, Bab Makrifah Thoriq al-Rukyah)
  • Kelapan: Menikmati haudh. Ia adalah sebuah kolam Nabi SAW yang mana airnya diminum oleh mereka yang beriman sebelum memasuki syurga dan selepas melalui titian sirath. Sesiapa yang meminumnya tidak akan terasa dahaga buat selamanya. (al-Harari, Sirath al-Mustaqim, hlm 129)
  • Kesembilan: Beriman bahawa orang yang mentaati Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan ke dalam syurga. Manakala orang yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan ke dalam neraka. Pendosa yang mentauhidkan Allah akan dikeluarkan daripada neraka selepas pembalasan sehingga tidak tinggal seorangpun daripada orang yang mentauhidkan Allah dalam neraka jahanam. Semua ini berlaku dengan limpah kurniaan Allah SWT.
  • Kesepuluh: Beriman dengan syafaat Nabi AS. Kemudian ulama, syuhada dan orang yang beriman. Semuanya dihitung kira berdasarkan keistimewaan dan kedudukan mereka disisi Allah SWT.
  • Kesebelas: Beriktikad tentang kelebihan sahabat Nabi SAW mengikut tertib mereka. Mereka menduduki kerusi VVIP di akhirat. Dan sebaik-baik manusia selepas Nabi SAW ialah Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali KWH. Semoga Allah SWT meredai mereka. Kita perlu bersangka baik dengan semua sahabat dan memuji mereka sebagaimana Allah SWT dan Rasul-Nya memuji mereka. Semua itu terdapat dalam hadis yang sahih dan diperakui benar.

    Kesimpulannya, barangsiapa yang mempercayai semua ini nescaya dia berpegang dengan akidah yang benar. Dia pasti berjaya mendisiplinkan diri untuk menjadi hamba Allah yang taat dan perjalanannya menuju ke syurga. 

    Bagi mereka yang menganggap semua ini sebagai mistik yang menakut-nakutkan hidupnya dia sebenarnya berlagak sombong. Kesombongan itu menyebabkannya menjadi penderhaka yang layak dihumban ke neraka. Kita bermohon perlindungan daripada Allah dijauhkan daripada segala azab siksaan-Nya.

    Penulis  Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 8:25 AM