SESEORANG Muslim yang memiliki keyakinan muktamad di dalam hatinya maka dia dikira sudah beriman kepada sifat-sifat Allah yang Maha Agung.
SESEORANG Muslim yang memiliki keyakinan muktamad di dalam hatinya maka dia dikira sudah beriman kepada sifat-sifat Allah yang Maha Agung.
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

JIKA kita mentelaah kitab-kitab akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) didapati bahawa pelopor Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terdiri dalam kalangan ulama al-Asya'irah dan Maturidiyyah hanya menyebut 20 sifat bagi Allah SWT. Lantaran dibimbangi berlaku kerancuan dalam kalangan umat Islam kononnya ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah menolak sifat yang lain bagi Allah SWT maka artikel ini digarap bagi menjelaskan hakikat berkenaan. Ketahuilah bahawa setiap Muslim wajib beriman dengan sifat-sifat Allah SWT melalui dua fasa.

Fasa Pertama: Kewajiban beriman dengan sifat Allah SWT dan mengenalinya secara ijmali (umum) sama ada melalui dalil naqli (al-Quran dan hadis) dan aqli (aqal) secara umum. Yakni seseorang Muslim wajib mengetahui segala sifat kesempurnaan bagi Allah SWT melalui pandangan akal seperti meyakini bahawa Allah Maha Adil, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Membalas, Maha Mengampun, Maha Bijaksana dan seumpamanya. Apabila seseorang membaca bacaan basmalah dengan kombinasi empat patah perkataan arab maka ternyata dia boleh menghayati sifat Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang dengan mudah.

Fasa Kedua: Kewajiban beriman dengan sifat Allah SWT secara tafsili (terperinci) berdasarkan dalil naqli dan aqli secara mendalam. Iaitu merangkumi sifat yang wajib, harus dan mustahil bagi Allah SWT. Pemahaman terhadap sifat-sifat ini boleh ditelusuri secara komprehensif melalui teori Ilmu Sifat 20 yang disebut oleh ulama dalam kitab-kitab mereka. Ini kerana segala sifat berkenaan adalah sifat-sifat induk kepada sifat-sifat Allah yang lain. Keterangan ini boleh ditelusuri menerusi kitab Arkan al-Iman karangan Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawiji. (Muka surat  41, jilid 1)

Manakala Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi di dalam Kubra al-Yaqiniyyat (muka surat  108) menegaskan: "Berkewajiban ke atas kamu untuk mengetahui secara umum bahawa Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan atau kecacatan. Ini kerana sifat ketuhanan itu sewajarnya bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang mutlak sebagai suatu kelaziman yang nyata dengan makna yang lebih khusus."

Katanya lagi: "Kemudian selepas itu menjadi kemestian atas kami untuk menghuraikan segala sifat yang paling penting ini dan menjelaskan maknanya serta menyatakan segala perkara dan pegangan yang melaziminya. Sesungguhnya Allah SWT mensifatkan diri-Nya di dalam al-Quran yang mulia dengan sifat yang pelbagai. Akan tetapi ia merupakan juzuk-juzuk sifat yang terkandung dalam mana-mana 20 sifat yang utama yang telah disokong dengan dalil al-Quran dan dalil akal yang muktamad." (Petikan al-Buthi)

Dalam kitab Syarah Jauharah Tauhid karangan dua Syeikh iaitu Syeikh Abdul Karim Tatan dan Syeikh Muhammad Adib al-Kilaani (Jilid 1, muka surat  274) disebutkan: "Sebelum membahaskan permasalahan Allah 'wajib ada' maka terlebih dahulu secara umumnya kami ingin menyatakan bahawa wajib bagi Allah SWT (pada hukum akal manusia) bersifat dengan setiap sifat kesempurnaan. Maha suci Allah daripada segala sifat kekurangan. Bahkan harus pada zat-Nya untuk mencipta atau tidak mencipta setiap perkara yang mumkin (yakni sesuatu yang harus ada dan tiada)." 

Kenyataan ini menjelaskan kepada kita bahawa apabila seseorang Muslim memiliki keyakinan muktamad di dalam hatinya maka dia dikira telah beriman kepada sifat-sifat Allah yang Maha Agung. Ternyata, akidah Islam begitu mudah untuk difahami dan dihayati. 

Seterusnya, keimanan secara tafsili (terperinci) pula boleh diukur apabila seseorang Muslim yakin dan percaya bahawa Allah SWT mempunyai 20 sifat kesempurnaan yang asas. Sifat-sifat ini bukan sahaja diperincikan dalil-dalilnya melalui al-Quran dan hadis yang sahih, akan tetapi ia boleh diterima akal yang sihat secara mudah dan spontan. Pensabitan sifat nafsiyah, salbiah, maani dan maknawi melalui dalil naqli dan aqli adalah manifestasi sifat ketuhanan yang sebenar bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Ia jelas berbeza dengan beberapa sifat dan kelaziman yang ada pada makhluk yang dianggap sebagai Tuhan oleh sesetengah manusia. Maka Maha Suci Allah daripada sebarang persamaan, penyerupaan dan perbandingan dengan makhluk. 

Imam Allamah Hudhudi dalam kitab Syarah Matan al-Sanusiyyah al-Sughra (muka surat  45-46) ketika memaparkan kenyataan Syeikh Sanusi Rahimahullah berbunyi: "Maka sebahagian sifat yang wajib bagi Allah SWT ialah 20 sifat. Katanya: "Kalimah 'min' dengan makna 'ba'dh' membawa maksud sebahagian." Katanya lagi: "Oleh itu maknanya ialah sebahagian daripada sifat yang wajib bagi Allah SWT kerana sifat-sifat Allah SWT tidak terhad pada 20 sifat sahaja. Ini kerana kesempurnaan-Nya tidak ada penghujung. Akan tetapi Allah SWT tidak memaksa kita untuk mengetahui semuanya melainkan apa yang telah didatangkan dengan keterangan dalilnya iaitu 20 sifat asas..." 

Kesimpulannya, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan eksklusif umat Islam yang berpegang teguh kepada dalil naqli dan aqli.  Manakala beriman dengan sifat-sifat Allah adalah satu kewajiban yang amat mudah untuk diterima akal yang waras. Ulama sudah dan sentiasa tampil memberi pencerahan kepada kita melalui hasil-hasil karya mereka yang banyak. Namun, apa yang dititip melalui tinta ini sudah mencukupi untuk kita sama-sama memahami dan menghayatinya. 

Keterangan ini juga membuktikan kepada kita bahawa ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah sentiasa beriltizam dengan dalil naqli dan aqli. Mereka tidak pernah menghampakan sifat-sifat Allah SWT, tidak pernah menyerupai Allah SWT dengan makhluk dan tidak pernah menceduk doktrin akidah daripada sebarang falsafah sesat. Bahkan mereka sentiasa menetapkan bagi Allah SWT segala sifat kesempurnaan dan sentiasa mensucikan Allah SWT daripada segala sifat dan kelaziman makhluk.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 5:59 AM