FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Mohd Khafidz Soroni

Umat Islam wajib bersyukur atas nikmat ilmu yang dipelihara oleh Allah SWT buat mereka hingga hari ini.

Dengan nikmat itu mereka terjaga daripada tersesat atau menyimpang dari jalan yang dibawa Nabi SAW.

Melalui usaha ulama, ilmu al-Quran dan hadis dipelihara dengan cukup teliti dan terperinci.

Khazanah besar hadis yang kita lihat pada hari ini sebenarnya menempuh sejarah yang cukup panjang.

Dahulu ahli hadis sukar untuk mendapatkan hadis kerana mereka perlu keluar mengembara, menempuh berbagai rintangan dan halangan, bersabar atas jerih perih dan penat lelah serta menahan lapar dan dahaga demi mengumpulkan hadis Nabi SAW.

Al-Khatib al-Baghdadi (wafat 463H) menyusun sebuah kitab yang menarik mengenai hal ini berjudul: ar-Rihlah fi Talab al-Hadith.

Di awalnya, beliau meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad yang daif berbunyi: "Tuntutlah ilmu walaupun di negara China."

Beliau seolah mengisyaratkan bahawa ilmu tidak diperoleh hanya dengan duduk diam, tetapi perlu keluar untuk dicari walaupun terpaksa pergi ke tempat yang amat jauh.

Pengalaman yang diperoleh ketika keluar itu juga amat berharga dan tidak mungkin dapat diperoleh tanpanya.

Sejak zaman Sahabat RA mereka mengambil berat terhadap hal ini.

Al-Khatib al-Baghdadi merekodkan bahawa ketika Abu ad-Darda' RA duduk bersama muridnya di masjid Dimasyq (Syria) datang seorang lelaki dari kota Madinah (Arab Saudi) katanya: "Wahai Abu ad-Darda', aku datang kepadamu dari Madinah, kota Rasulullah SAW, demi satu hadis yang disampaikan kepadaku bahawa engkau telah meriwayatkannya daripada Rasulullah SAW."

Abu ad-Darda' pun bertanya: "Tiadakah tujuan lain yang menyebabkan engkau datang?" Jawabnya: "Tiada, bukan juga kerana perniagaan." Tanya Abu ad-Darda' lagi dengan takjub: "Engkau tidak datang melainkan kerana hadis ini saja?" Jawabnya: "Ya."

Jika diukur jarak dari Madinah ke Dimasyq dengan menaiki kereta pada hari ini adalah kira-kira 14 jam lamanya.

Namun pada zaman dahulu orang hanya menunggang unta atau kuda dengan jarak 1,324 kilometer (km).

Walhal tujuan lelaki berkenaan hanya untuk mendengar sebuah hadis Nabi SAW sahaja!

Demikian juga Jabir bin 'Abdullah RA yang menempuh jarak perjalanan selama sebulan dengan menunggang unta ke Syam hanya untuk mendengar sebuah hadis daripada 'Abdullah bin Unais al-Ansari.

Ini kerana beliau belum pernah mendengarnya daripada Rasulullah SAW.

Sahabat lain, Abu Ayyub al-Ansari RA pula keluar dari Madinah menuju Mesir untuk mendengar sebuah hadis daripada 'Uqbah bin 'Amir RA.

Sebaik sahaja dia sampai ke sana dan mendengar hadis terbabit daripadanya serta bersyukur kepada Allah, beliau terus beredar untuk kembali semula ke Madinah!

Begitu juga tradisi dalam kalangan Tabiin. Kata Abu al-'Aliyah ar-Riyahi (wafat 90H): "Aku pernah mengembara untuk menemui seorang syeikh dengan jarak perjalanan beberapa hari demi mendengar hadis daripadanya."

Kata Sa'id bin al-Musayyib (wafat 94H): "Aku pernah mengembara dengan jarak perjalanan berhari-hari demi mendapatkan sebuah hadis sahaja."

Bagi menghimpunkan dan menjaga hadis Nabi SAW, ahli hadis keluar mengembara mencarinya dengan penuh
tekad dan azam.

Antara mereka yang gigih di zaman Atba' Tabiin ialah Ibn al-Mubarak (wafat 181H). Beliau yang berasal dari Khurasan mengembara hingga sampai ke Yaman, Mesir, Syam, Basrah, Kufah dan lain-lain.

Al-Bukhari (wafat 256H) pula dari Bukhara menjelajah ke pelbagai tempat untuk mempelajari hadis seperti Makkah, Madinah, Syam, Mesir, Basrah, Kufah dan Baghdad.

Beliau berguru dengan lebih dari 1,080 syeikh. Kata beliau mengenai kitab Sahihnya dan jumlah keseluruhan hadis yang dipelajari: "Aku menyusun kitab Sahih ini daripada 600,000 hadis yang telah aku peroleh dalam masa 16 tahun dan aku akan menjadikannya sebagai hujjah antara diriku dengan Allah."

Rihlah (kembara) ilmiah ini juga dilakukan ramai tokoh hadis lain seperti Ahmad, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmizi, an-Nasa'i dan lain-lain sehingga mereka mampu menyusun kitab hadis yang menjadi rujukan umat Islam.

Ibrahim bin Adham (wafat 162H) berkata: "Sesungguhnya Allah Taala mengangkat bala bencana daripada umat ini dengan sebab rihlah ahli hadis."

Dengan susah payah dan jerih perih mereka, hadis berjaya dikumpulkan. Seterusnya, disusun dalam bentuk yang cukup sistematik sehingga umat Islam dapat mengikut dan mengamalkan sunah Nabi SAW dengan sebaiknya.

Semoga Allah Taala mengganjari segala usaha yang telah mereka curahkan.

Penulis adalah Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 9:13 AM