MELALUI ilmu hadis dirayah, sesuatu hadis dapat dipastikan sama ada ia boleh diamalkan atau tidak dan sesuai digunakan sebagai hujah dalam sesuatu hukum. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
MELALUI ilmu hadis dirayah, sesuatu hadis dapat dipastikan sama ada ia boleh diamalkan atau tidak dan sesuai digunakan sebagai hujah dalam sesuatu hukum. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Sejak Khalifah Umar bin Abd al-Aziz (wafat 101H) memerintahkan supaya hadis dibukukan secara rasmi dan Imam Ibn Syihab al-Zuhri (wafat 125H) menjadi orang pertama yang berjaya menyusun kitab hadis serta diserahkan kepada khalifah, perbahasan mengenai hadis membentuk satu disiplin ilmu yang cukup penting dalam bidang pengajian Islam.

Secara umum, ulama hadis membahagikan ilmu hadis kepada dua bahagian iaitu: ilmu hadis riwayah dan ilmu hadis dirayah. Meskipun terdapat perselisihan pendapat mengenai definisi masing-masing, di sini dikemukakan definisi yang mudah untuk difahami berserta huraian kedua-duanya berdasarkan pandangan beberapa sarjana hadis terkemuka seperti al-Muhaddith as-Sayyid Abdullah al-Ghumari dan Prof Dr Abu al-Laith al-Khairabadi.

Pertama, ilmu hadis riwayah ialah suatu perbahasan ilmu mengenai usul dan kaedah dapat diguna pakai bagi mengenal pasti perihal keadaan perawi serta hadis yang diriwayatkan, sama ada dapat diterima (maqbul) atau ditolak (mardud).

Ilmu hadis riwayah membabitkan semua yang berkaitan dengan periwayatan hadis merangkumi aspek penjagaan dan pentahkikan terhadap lafaz yang betul dan tepat baik dari sudut sanad atau matannya termasuk aspek penelitian terhadap kesahihannya sama ada hadis itu diriwayatkan dengan teliti serta amanah atau tidak.

Melalui ilmu ini, hadis dapat dipelihara daripada sebarang kesilapan atau kelalaian semasa menyampaikannya, dapat dibezakan antara hadis yang diterima dan ditolak, di samping mewujudkan keyakinan dalam diri umat Islam terhadap ketulenan hadis Nabi SAW.

Dengan mempelajari ilmu ini, status sesuatu hadis dapat ditentukan sama ada sahih, hasan, daif atau selainnya. Jelasnya, ilmu ini cukup penting agar hadis terpelihara daripada penyelewengan dan pemalsuan di atas nama Nabi SAW.

Kedua, ilmu hadis dirayah ialah suatu perbahasan ilmu berkaitan matan hadis bagi memahami maksudnya dengan kaedah yang betul dan mengeluarkan istinbat hukum daripadanya.

Melalui ilmu ini, sesuatu hadis dapat dipastikan sama ada ia boleh diamalkan atau tidak dan sesuai digunakan sebagai hujah dalam sesuatu hukum atau tak sesuai digunakan.

Kebanyakan ulama yang mensyarahkan kitab hadis memberikan khidmat yang terbaik dari aspek ini. Selain menjelaskan maksudnya, mereka turut merungkaikan percanggahan antara hadis, menjawab kemusykilan yang terdapat padanya, menentukan antara hadis dimansuhkan serta memansuhkan dan sebagainya.

Kedua-dua perbahasan, ilmu hadis riwayah dan dirayah ini secara menyeluruh dihimpunkan di dalam banyak karya ilmu 'ulum al-hadith atau nama lainnya: mustalah al-hadith. Berdasarkan fakta sejarah, ilmu ini tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi kemunculannya adalah secara berperingkat-peringkat.

Pada tiga kurun Hijrah yang pertama, belum ada kitab yang khusus mengenainya, tetapi perbahasannya bercampur-aduk dan berselerak di dalam pelbagai kitab. Bagaimanapun, secara amali, ilmu ini diamalkan oleh ramai ulama hadis di dalam kitab susunan mereka.

Misalnya Imam al-Bukhari (wafat 256H), Imam Muslim (wafat 261H) dan Imam at-Tirmizi (wafat 279H), selain mampu membezakan antara hadis yang sahih serta yang tidak sahih, mereka turut mampu mengeluarkan istinbat hukum daripadanya berdasarkan susunan dan pernyataan tajuk bab di dalam kitab mereka.

Antara yang paling awal membincangkannya ialah Imam as-Syafie (wafat 204H) di dalam kitab al-Risalah. Di dalamnya, beliau membincangkan antara lain aspek nasikh dan mansukh, percanggahan antara hadis, kedudukan hadis ahad, syarat penerimaannya dan lain-lain.

Pada kurun keempat Hijrah, perbahasan ilmu ini cuba dikompilasikan oleh Imam al-Ramahurmuzi (wafat 360H) di dalam kitabnya al-Muhaddith al-Fasil baina al-Rawi wa al-Wa'i. Diikuti kemudian pada kurun kelima Hijrah oleh Imam al-Hakim al-Naisaburi (wafat 405H) yang menghasilkan kitab Ma'rifah 'Ulum al-Hadith.

Bagaimanapun, yang membawa ilmu ini meningkat ke tahap lebih komprehensif dan sistematik ialah Imam Ibn al-Salah (wafat 643H) dengan kitabnya yang masyhur disebut sebagai Muqaddimah Ibn al-Salah. Daripada kitab beliau ini, penulisan dan penyusunan ilmu 'ulum al-hadith atau mustalah al-hadith selepasnya terus berkembang dan berkesinambungan sehingga hari ini.

Perbahasannya merangkumi aspek periwayatan, syarat, jenis, hukum-hakam, hal ehwal perawi, kedudukan dan nilai hadis sama ada sahih, hasan atau daif. Termasuk perbincangan berkaitan matan hadis, kaedah memahaminya, kesesuaiannya sebagai hujah dan sebagainya.

Bagi mendalami bidang hadis, sudah tentu seseorang penuntut perlu menguasai semuanya bagi mencapai matlamat utama pembelajaran hadis iaitu dapat mengamalkan hadis yang diterima pakai dan seterusnya mencapai kesejahteraan hidup, baik di dunia mahupun di akhirat.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 8:32 AM