UMAT Islam wajib meyakini bahawa Allah SWT mengetahui apa sahaja yang manusia lakukan termasuk apa yang difikir dan dirasa pada bila-bila masa dan di mana sahaja. FOTO AFP
UMAT Islam wajib meyakini bahawa Allah SWT mengetahui apa sahaja yang manusia lakukan termasuk apa yang difikir dan dirasa pada bila-bila masa dan di mana sahaja. FOTO AFP
Profesor Emeritus Dato' Zakaria Stapa

Dalam kehidupan harian semasa, sebagai mana misalnya terlapor dalam media massa  amat kerap ditemui kalangan Muslim melakukan pelbagai jenayah berat seumpama membunuh, merompak, membuang bayi,  melakukan  rasuah dan pecah amanah serta berbagai-bagai lagi  perlakuan jenayah lain.  Mereka pada asasnya cuba pula sedapat mungkin menyembunyikan perlakuan jenayah tersebut daripada diketahui orang lain supaya mereka terselamat daripada hukuman pihak berkuasa.  Bagaimanapun sesungguhnya  tahap  keimanan  dan keyakinan golongan ini  terhadap Rukun Iman yang di dalamnya terdapat penegasan bahawa Allah Maha Mengetahui serta Maha Melihat segala sesuatu  (al-Quran,  6:59).

Demikian pula dalam Rukun Iman itu  terdapat  penegasan bahawa  malaikat yang sentiasa mencatatkan amal perbuatan manusia serta juga terdapat perihal hari akhirat yang setiap manusia akan diadili di sana.  Persoalan  ketumpulan kawalan metafizik yang disediakan oleh Rukun Iman dalam penghayatan harian kalangan Muslim  sebeginilah yang boleh diselesaikan menerusi sifat  muraqabah  yang merupakan salah satu sifat akhlak mulia dalam Islam.  

​Istilah  muraqabah  merujuk kepada pengawasan dan pengawalan manusia terhadap nafsu dirinya  sewaktu  melakukan sesuatu perbuatan, mengungkapkan kata-kata termasuk lintasan dan detikan dalaman  diri  supaya semuanya berlangsung dan  berada pada landasan ajaran agama yang betul.  Kesungguhan pengawasan dan pengawalan terhadap nafsu  dalam proses pembentukan  sifat  muraqabah  ini  sebenarnya terhasil  daripada  keyakinan  berasaskan  ilmu  seseorang Muslim  bahawa Allah  memiliki pengetahuan dan kekuasaan yang meliputi segala sesuatu, Allah Maha Mengetahui  segala sesuatu  serta Allah sentiasa mengawal dan mengawasi segala rahsia dan perkara tersembunyi, malahan apa yang terdetik di hati sekalipun.  Justeru, muncul kesedaran dan keyakinan seseorang Muslim bahawa dia sentiasa berada di bawah pengawasan Allah; Dia mengetahui apa sahaja yang dia lakukan,  termasuk apa yang difikir dan dirasai pada  bila-bila  masa  dan di mana sahaja, malahan tidak ada suatu apapun yang luput daripada pengawasan Allah.  

​Demikianlah intisari makna  sifat  muraqabah  yang menggambarkan bahawa kalangan yang memiliki sifat  akhlak mulia  ini  sentiasa  mengawasi secara tepat nafsu dirinya agar  segala laku perbuatan, zahir dan batin, berada dalam keadaan yang  selaras dengan kehendak ajaran agama kerana  pemilik sifat berkenaan  amat sedar  dan penuh yakin  bahawa dirinya,  bersama  dengan segala  perbuatan zahir dan batinnya,  sentiasa diawasi dan  tidak boleh sekali-kali disembunyikan daripada  Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.  Justeru, pastilah pemilik sifat ini akan sentiasa mempamerkan perlakuan akhlak mulia  yang diredai oleh Allah  dalam kehidupan harian mereka.

Seterusnya sifat  muraqabah  ini merupakan satu sifat yang muncul dan tumbuh  terbina  di dasar hati  dan melimpah keluar  menunjukkan wajahnya dalam kehidupan nyata.  Ia lebih terhubung dengan aspek batin berbanding dengan aspek zahir manusia, di samping ia juga tegap berdiri di atas kesedaran yang amat mendalam  dalam diri manusia  tentang  betapa agung dan Maha Berkuasanya  Allah.  Itulah juga sebenarnya sifat  ihsan  sebagaimana terungkap dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Di kala Rasulullah SAW ditanya apa itu  ihsan? Baginda lalu menjawab: 'Bahawa kamu melakukan ibadat kepada Allah SWT (dalam keadaan) seolah-olah kamu melihat-Nya; jika tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah  SWT melihat kamu.'"

Untuk  menghasilkan keupayaan  menghayati sifat  muraqabah  ini, seseorang Muslim  perlu  memenuhi beberapa syarat tertentu yang antara lainnya adalah seperti berikut:

• Hati mestilah memiliki  keyakinan  tentang betapa dekat dan hampirnya  Allah dengan manusia.

• Lisan mestilah sentiasa basah  dengan zikir sambil  mentafakuri dan metadabburi  nama-nama Allah.

• Secara berkesinambungan mengambil peduli  terhadap Allah  dengan  sungguh-sungguh  sama ada secara luaran dan dalaman diri seseorang.

• Hati hendaklah sentiasa dipenuhi  dan diisi  dengan rasa pengagongan terhadap Allah.

Sekiranya seseorang  berhasrat untuk melakukan sesuatu kerja tertentu, perlulah  pertama sekali  menyelidik dorongan yang mendorongnya: Apakah dilakukan kerana mencari keredaan Allah atau kerana keinginan serakah syahwat dirinya?  Selepas itu dia perlu menyelidik tentang cara bagaimana kerja tersebut dilaksanakan: Adakah pelaksanaannya  berasaskan ilmu atau hanya berasaskan kejahilan?  Seterusnya, perlu pula dia meneliti proses pelaksanaan kerja tersebut iaitu dalam pengertian  ia  mestilah disertai dengan keikhlasan, bukan  bertujuan  riyak  dan menunjuk-nunjuk kepada manusia lain. 

​Penyempurnaan syarat di atas  akan dapat mengesahkan kemunculan Muslim yang berupaya menghayati sifat  muraqabah.  Sifat  muraqabah  ini ternyata boleh melahirkan manusia Muslim yang bebas dan merdeka daripada kongkongan keinginan nafsu serakah dirinya,  sekali gus dapat menyumbang kebaikan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.  Dan sesungguhnya umat Islam semasa ketandusan personaliti sebegini  untuk menjadi teladan yang baik tentang keindahan Islam sebagai satu cara hidup.

Penulis Profesor Emeritus Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 10:13 AM