MANUSIA yang diuji dengan musibah, sakit atau kesusahan dan ia menghadapinya dengan sabar akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
MANUSIA yang diuji dengan musibah, sakit atau kesusahan dan ia menghadapinya dengan sabar akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Oleh Mohd Gunawan bin Che Ab Aziz

Imam al-Bukhari merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Abu Sa'id Khudri RA dan Abu Hurairah RA; bahawa Nabi SAW bersabda, "Tidaklah menimpa seseorang Muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekali pun melainkan Allah SWT akan menjadikan semua itu sebagai kifarah kepada dosa-dosanya."

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bagi setiap seorang hamba ada martabat yang tertentu di sisi Alah SWT dan apabila hamba itu tidak dapat mencapai martabat itu dengan amalannya, maka Allah SWT akan terus mengujinya dengan perkara yang tidak disenanginya (seperti sakit, susah dan sebagainya) supaya dengan perantaraan perkara yang tidak disenanginya itu dia dapat mencapai martabat berkenaan." (Hadis Riwayat Abu Ya'la)

Saiyidatina Aisyah RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana orang Islam yang terkena tusukan duri malah kesusahan yang lebih kecil daripada itu pun akan diberi ganjaran satu darjat dengan sebab kesusahan itu dan satu dosa akan dimaafkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bala berterusan akan menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan sama ada pada dirinya sendiri, anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya sentiasa gugur) sehingga dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa dosa." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Anas bin Malik RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah SWT menguji seseorang hamba yang Islam dengan apa-apa penyakit jasmani maka Allah SWT akan memerintahkan seorang malaikat. Teruskanlah menulis ganjaran amalan yang biasa hamba ini amalkan (semasa dia sihat).

"Sekiranya Allah SWT menyembuhkannya, maka Allah SWT akan membersihkan dan menyucikannya (daripada dosa-dosanya) dan sekiranya Allah SWT mengambil nyawanya, maka Allah SWT akan mengampuni dan merahmatinya." (Riwayat Abu Ya'la dan Ahmad)

Syaddad bin Aus RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: Apabila Aku timpakan ujian (dengan musibah, sakit dan lain-lain kesusahan) ke atas salah seorang daripada hamba-hamba-Ku yang beriman dan dia memuji Daku (kerana reda) maka (Aku akan memerintahkan para malaikat) Tulislah segala ganjaran amalannya yang baik sebagaimana yang biasa kamu tulis semasa dia sihat." (Riwayat Ahmad dan Thabrani)

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sentiasalah demam panas dan sakit kepala yang menimpa mana-mana hamba Allah SWT lelaki mahu pun wanita, akan menjadikan tidak ada sebarang dosa walau pun sebesar biji sawi tinggal bagi mereka, sedangkan sebelum itu mereka menanggung beban dosa sebesar gunung Uhud." (Riwayat Abu Ya'la)

Semua riwayat di atas menjelaskan secara nyata beberapa kelebihan atau ganjaran yang dikurniakan kepada seseorang yang diuji dengan kesakitan atau sebarang kesusahan.

Apa sahaja musibah, kesusahan atau sakit yang dihadapi dengan sabar, reda dan bertawakal, mempunyai ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah. Ini adalah apa yang tersurat dengan terang di dalam riwayat-riwayat ini.

Bagaimana pun, cuba kita selami sedikit mendalam, kenapakah begitu banyak fadilat dan kemuliaan diraih oleh seseorang yang diuji dengan sakit dan kesusahan ini?

Sebenarnya, hadis ini semua turut menjelaskan satu perkara lagi, iaitu menunjukkan kepada kita betapa mulianya seseorang yang mempunyai iman dan Islam.

Begitu mulianya seseorang yang beriman, sehingga apa sahaja yang berkaitan dengan diri mereka akan bernilai di sisi Allah.

Satu tusukan duri sahaja pun, cukup untuk menyebabkan keampunan Allah dicurahkan kepadanya.

Malah, apa sahaja kesedihan atau kebimbangan yang hati mereka alami, sudah mampu menarik perhatian Allah lalu dikurniakan segala macam rahmat, maghfirah dan ganjaran dari sisi Allah.

Sedarkah kita betapa mulianya seseorang Muslim itu di sisi Allah? Justeru adalah sangat perlu, untuk kita berusaha sedaya mungkin untuk menunaikan hak seseorang Muslim itu terutama hak mereka untuk dimuliakan sesuai dengan kemuliaan iman yang ada di dalam hati mereka.

Sekiranya kita benar-benar memahami kemuliaan iman seorang Muslim, maka walau apa pun perbezaan yang kita ada, itu semua tidak seharusnya mengatasi kemuliaan iman yang kita kongsi bersama.

Paradigma sebegini pastinya akan memberi impak yang besar kepada cara pandang, tingkah laku dan akhlak kita terhadap sesama Muslim.

Tercoraknya satu muasyarat dan muamalat yang diikat dengan kemuliaan kalimah iman, kalimah 'La ilaha illallah'!

Penulis adalah Pengerusi Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Islami), Wilayah Persekutuan Putrajaya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:30 AM