DALAM pembudayaan pembacaan al-Quran umat Islam perlu memberikan waktu untuk menelaah kitab suci.
DALAM pembudayaan pembacaan al-Quran umat Islam perlu memberikan waktu untuk menelaah kitab suci.
Profesor Emeritus Dato' Zakaria Stapa

DALAM usaha memperkukuhkan keyakinan dan komitmen umat Islam terhadap gaya hidup zuhud sebagai model gaya hidup Islam, maka pembacaan al-Quran secara berterusan berserta dengan sidikit usaha untuk memahami dan mentadabburi secara ringkas isi kandungan al-Quran yang dibaca akan boleh menyumbang kepada proses pengukuhan dan komitmen berkenaan.  Ini kerana isi kandungan al-Quran itu sendiri sebagaimana catatan al-Qaradawi yang dinukil sebelum ini mempertegaskan manusia semestinya bersikap zuhud dalam kehidupan mereka di dunia ini. 

Apa yang dimaksudkan dengan ungkapan di atas: "Berserta dengan sidikit usaha untuk memahami dan mentadabburi secara ringkas isi kandungan al-Quran yang dibaca" adalah merujuk kepada pembacaan al-Quran dengan menggunakan al-Quran yang terdapat terjemahan dan tafsir ringkas dalam satu jilid yang sama, contohnya seperti kitab Tafsir Pimpinan al-Quran Kepada Pengertian al-Quran 30 Juzuk, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau mana-mana al-Quran berserta terjemahan dan tafsir ringkas yang seumpamanya. 

Kitab terbitan Jakim atau yang seumpamanya memberi peluang kepada penelaah berinteraksi dengan al-Quran dalam keadaan boleh memahami secara umum mesej yang terkandung dalam ayat yang dibaca.  Hal ini dicadangkan dengan mengambil kira sebahagian besar umat Islam di Malaysia tidak memahami teks al-Quran tanpa terjemahan kerana tradisi pengajian al-Quran yang mereka ikuti ialah bertujuan untuk boleh membaca teks sekalipun tidak memahaminya. 

Dalam lain perkataan, penjelasan di atas mahu mempertegaskan bahawa kalangan umat Islam di Malaysia perlu membudayakan pembacaan al-Quran dalam kehidupan harian mereka dengan menggunakan paling kurangnya al-Quran dengan terjemahan dan tafsiran ringkas bagi memahami isi kandungan al-Quran yang dibaca dan dengan itu akan memperkukuh keyakinan dan keimanan mereka terhadap ajaran Islam secara keseluruhan serta secara khususnya terhadap gaya hidup zuhud sebagai model gaya hidup Islam.  Justeru, dalam konteks ini, budaya pembacaan al-Quran dengan tidak memahami mesejnya - sekalipun pembacanya akan beroleh pahala adalah tidak mencapai maksud yang diperlukan dalam apa yang diungkapkan di sini sebagai pembudayaan pembacaan al-Quran dalam kalangan umat Islam. 

Dalam keadaan semasa sebahagian besar umat Islam di Malaysia masih belum menjadikan pembacaan al-Quran sebagai budaya hidup harian mereka, walaupun sekurang-kurangnya dalam bentuk seperti yang dicatatkan di atas.  Indikator utama kepada perkara ini terlambang dalam pelbagai perlakuan mereka yang bertentangan dengan tuntutan ajaran Islam yang boleh ditemui dengan mudah dalam pelbagai sektor kehidupan. Sebut saja jenayah apa, maka akan ditemui wakilnya daripada kalangan umat Islam dan malahan dalam banyak keadaan dijuarai pula oleh umat Islam sendiri. 

Tergambar bahawa kalangan yang terlibat dalam jenayah tersebut bagaikan tidak merasa gerun pun dengan ancaman api neraka yang disediakan oleh Allah di akhirat. 

Semua jenayah berat sebegini tidak mungkin dilakukan oleh kalangan umat Islam yang hidup mereka disinari oleh nur al-Quran. Ambil sahaja contoh kedahsyatan siksaan neraka yang digambarkan oleh Allah dalam Surah al-Waqi'ah.  Apakah kalangan umat Islam yang memahami mesej surah berkenaan akan sanggup melakukan perkara yang dilarang Allah untuk semata-mata nantinya merengkok dalam neraka yang amat dahsyat siksaannya tersebut?  Justeru, inilah sebabnya mengapa dalam konteks ini sememangnya boleh disimpulkan bahawa kalangan orang yang melakukan jenayah berat seperti di atas boleh menjadi indikator bahawa mereka sebenarnya tidak pun menelaah al-Quran.

Justeru umat Islam perlu merubah budaya hidup harian mereka demi kesejahteraan hidup diri sendiri dan seluruh alam sekeliling di dunia ini dan seterusnya di akhirat.  Dalam konteks pembudayaan pembacaan al-Quran mereka perlu memberikan waktu, paling kurang satu jam sehari, untuk menelaah kitab suci  tersebut.  Kalau mereka boleh menghabis masa berjam-jam melayari gajet, menurut data 2019 misalnya rakyat Malaysia melayari media sosial selama dua jam 59 minit setiap hari - mengapa mereka tidak boleh memberi ruang waktu untuk membaca al-Quran?

Maka itu, untuk merubah budaya dan menyemarakkan pembudayaan pembacaan al-Quran ini, pihak berwajib seperti Jakim dan Jabatan Agama di setiap negeri dengan kerjasama NGO mestilah memainkan peranan utama bagi mengesahkan terhayatnya di tengah masyarakat budaya pembacaan al-Quran ini.  Penghayatan budaya ini mesti digerak secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak seperti institusi keluarga, institusi pendidikan formal dan tidak formal serta pelbagai sektor pekerjaan sama ada awam atau swasta.  Adalah diyakini bahawa kejayaan pembudayaan ini berupaya merubah keseluruhan struktur kehidupan masyarakat Muslim ke arah yang selaras dengan tuntutan ajaran Islam. 

Penulis Profesor Emeritus Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 5:59 AM