MEMUTUSKAN silaturahim adalah satu bentuk kerosakan kepada muka bumi.
MEMUTUSKAN silaturahim adalah satu bentuk kerosakan kepada muka bumi.
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

DEWASA ini memperlihatkan hubungan antara sesama masyarakat semakin lama semakin renggang.

Kesibukan dengan pekerjaan dan tiada ruang masa bersama menyebabkan hubungan antara mereka semakin jauh.

Natijahnya, tiada lagi nilai kehidupan bermasyarakat sehinggakan apa yang berlaku di sekeliling sudah tidak diendahkan lagi.

Kehidupan bermasyarakat antara perintah Allah SWT yang perlu diikuti semua.

Allah berfirman maksudnya: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah." (Surah Ali 'Imran, 3:103)

Manusia khususnya umat Islam diikat dengan ikatan tali Allah iaitu Islam yang berfungsi memperkukuhkan kedudukan sesama Muslim.

Jika dilihat kepada perintah dalam ayat berkenaan, maka tidak seharusnya berlaku pepecahan antara sesama Muslim sekiranya ikatan yang dibina adalah bertunjangkan agama Islam yang mulia.

Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya agama (yang diredai) disisi Allah hanyalah Islam." (Surah Ali 'Imran, 3:19)

Kefahaman mengenai hidup bermasyarakat ini juga bertitik tolak daripada penciptaan manusia itu sendiri yang terdiri daripada lelaki dan wanita sehingga bertebaran di muka bumi Allah menjadi suku kaum yang bertamadun.

Allah berfirman maksudnya: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah Al-Hujurat, 49:13)

Allah menciptakan lelaki dan wanita serta menjadikan dalam bentuk kaum dan bangsa yang berbeza-beza adalah untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Keadaan ini boleh dilihat pada tahun-tahun sebelum ini apabila manusia dari seluruh dunia berhimpun di Tanah Suci Makkah.

Mereka datang dari segenap pelosok dunia dalam keadaan dan kondisi persekitaran berbeza.

Justeru itu, nilai sebenar tali silaturahim antara Muslim adalah mengenali semua manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa yang berbeza.

Namun menghampiri kepada akhir zaman ini, salah satu tanda kiamat yang dinyatakan Baginda Nabi SAW adalah banyak berlaku pertelingkahan dan perbalahan sehingga hubungan tali silaturrahim terputus.

Situasi ini semakin jelas berlaku di serata pelosok dunia dengan tujuan utama mereka adalah takhta dan harta.

Perpecahan ini turut membabitkan kaum kerabat dan sahabat handai terdekat yang menyebabkan institusi kekeluargaan mulai retak dan akhirnya mencetus perbalahan yang berlarutan.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi bersabda, maksudnya: "Allah menciptakan makhluk. Ketika telah selesai, Rahim berdiri. Allah berfirman kepadanya, 'ada apa? Rahim menjawab, 'Ini adalah tempat orang yang berlindung kepada-Mu daripada perbuatan memutuskan silaturahim. Allah berfirman kepadanya, 'Tidak puaskah kamu jika Aku menyambungkanmu (Rahim), dan Aku memutuskan hubungan dengan orang yang memutusmu? Rahim berkata, 'Ya hamba puas'. Lalu Allah berfirman, 'Itu adalah untukmu.' Abu Hurairah berkata, baca ayat itu. 'Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan.'" (Hadis Riwayat Imam Bukhari, Sahih al-Bukhari, hadith no. 7502)

Kemudian Baginda Nabi bersabda: Bacalah jika kamu mahu firman Allah berfirman, maksudnya: "Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka." (Surah Muhammad, 47:22-23)

Gambaran ayat di atas menjelaskan mengenai orang munafik sekiranya mereka berpaling daripada perintah Allah dalam peperangan, sudah tentu mereka akan melakukan kerosakan di muka bumi dan pasti tidak akan memberikan apa-apa pertolongan kepada kaum Muslim.

Jika mereka tidak membantu kaum Muslim itu, maka mereka sudah memutuskan ikatan kekeluargaan iaitu antara mereka dengan Muslimin yang lain.

Ini adalah larangan membuat kerosakan di bumi secara umum dan larangan memutuskan silaturrahim secara khusus.

Perintah untuk berbuat baik dan menyambung ikatan kekeluargaan adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan semua pihak terutama ibu bapa.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu membawa dan memperkenalkan anak-anak kepada saudara-mara terdekat supaya hubungan silaturrahim terus berkekalan walaupun generasi mereka sudah tiada.

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda maksudnya: "Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah mengucap salam hanya kepada orang-orang tertentu, tersebar dan berkembangnya aktiviti perniagaan sehingga isteri membantu suaminya dalam perniagaan, memutuskan silaturrahim, banyak kesaksian yang palsu, tersembunyinya kesaksian yang benar dan tersebarnya pena." (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari. Adab al-Mufrad, hadith no. 801)

Peringatan Baginda Nabi ini tertumpu kepada situasi masyarakat Muslim yang hanya mengucap salam kepada orang tertentu.

Perkara ini pasti membawa kepada berlaku situasi hubungan silaturahim yang mula renggang dalam masyarakat.

Hal ini semakin getir apabila sikap sombong dan tidak mahu bercampur dalam masyarakat timbul dalam diri sesetengah individu.

Akhirnya, apabila berlaku musibah, maka tiada tempat bergantung yang mampu disandarkan oleh mereka.

Islam menjadikan hubungan silaturahim sebagai satu bentuk hubungan yang utama melalui petunjuk daripada Baginda Nabi yang menjadikannya sebagai etika yang berprinsip dalam agama.

Menurut Islam, perkara ini adalah sesuatu yang besar kerana Allah mengisyaratkan bahawa sekiranya seseorang memutuskan tali silaturahim bermakna dia juga telah memutuskan rahmat Allah.

Manusia yang suka memutuskan tali silaturahim tidak akan merasai ketenangan sebagaimana mereka yang mempunyai ramai kenalan dan ikatan kukuh sesama manusia.

Hal ini cukup untuk membuktikan bahawa silaturahim adalah perkara yang besar dalam Islam.

Bahkan penyebab kepada seseorang itu dimasukkan dalam syurga Allah.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan." (Hadis Riwayat Imam Muslim, hadith no. 2556)

Antara lain, silaturahim juga adalah sesuatu yang akan menjadikan seseorang itu dimurahkan rezeki dan memperoleh keberkatan hidup.

Memutuskan silaturahim adalah satu bentuk kerosakan kepada muka bumi.

Perbuatan ini secara jelas akan mengundang laknat Allah kepada pelakunya.

Petanda akhir zaman ini sudah jelas kemunculannya pada masa ini dengan pelbagai bentuk kejadian berlaku yang menyebabkan terputusnya hubungan sesama Muslim.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 5:59 AM