JEMAAH yang hadir menunaikan Solat Jumaat. FOTO Mahzir Mat Isa
JEMAAH yang hadir menunaikan Solat Jumaat. FOTO Mahzir Mat Isa
Ustaz Hafiz Za’farani

ZAMAN sekarang, jika ditanya siapa Ahli Sunah Waljamaah maka akan dijawab Asyairah. Asyairah adalah mengikut manhaj Imam Abu Hasan al-Asy'ari.

Imam Abu Hasan al-Asy'ari mula dikenali ramai dan digelar sebagai pembela as-Sunnah yang kemudian daripada itu pengikut al-Imam dikenali sebagai Ahli Sunah Waljamaah seperti yang dinaqalkan oleh Imam Murtadha az-Zabidi di dalam kitab Ithaf as-Saadah al-Muttaqin: "Apabila disebut secara mutlak Ahli Sunah Waljamaah maka yang dimaksudkan dengan mereka ialah al-Asyairah wal Maturidiah."

Persoalan yang sering ditimbulkan ialah jika Ahli Sunah Waljamaah itu adalah golongan al-Asyairah Wal Maturidiah yang muncul sekitar 300 hijriah, bagaimana pula akidah sahabat dan tabiin yang tidak bertemu mereka?

Di sinilah asas yang bakal dibincangkan kali ini.

Tidak timbul persoalan di atas kerana akidah salafussoleh terdiri daripada sahabat, tabiin dan tabi' tabiin diiktiraf oleh Rasulullah SAW melalui hadis baginda: "Sebaik-baik manusia adalah pada kurun aku, kemudian kurun selepas mereka dan kurun yang kemudian daripada mereka." Hadis Riwayat al-Bukhari, no.2652 dan Muslim, no.2533

Berkata Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadis beliau menyatakan: "Yang sahih bahawa sesungguhnya yang kurun baginda SAW: Golongan sahabat. Golongan kedua: Golongan tabiin. Golongan ketiga: Golongan tabi' tabiin." Syarah Sahih Muslim, 16/85

Ketiga-tiga golongan ini belajar daripada golongan sebelum mereka contohnya tabi' tabiin belajar daripada tabiin. Golongan tabiin pula belajar daripada sahabat. Lalu sahabat, belajar terus daripada Rasulullah SAW. Maka akidah mereka terjaga dengan didikan turun-temurun melalui pengajian yang penuh adab dan tekun.

Pada zaman mereka, perbahasan akidah tidak dibincangkan secara terperinci seperti hakikat al-Quran, ikhtiar makhluk, sifat al-Khabariyyah, status pelaku dosa besar dan lainnya. Hal ini menyebabkan mereka terselamat daripada perbahasan akidah yang membahayakan iman dan kepercayaan mereka. Oleh itu, tidak dibahaskan persoalan bagaimana akidah salafussoleh di sini kerana sudah jelas akidah mereka selamat.

Walaupun begitu, tidak dinafikan perbincangan akidah yang terseleweng sebahagiannya muncul pada zaman mereka seperti Wasil bin Atha', iaitu murid kepada Imam al-Hasan al-Basri, seorang tabiin yang besar. Secara tidak langsung, Wasil bin Atha' boleh disebut sebagai tabi' tabiin kerana berguru dengan tabiin.

Namun, jika dilihat secara terperinci Wasil bin Atha' mempelajari dengan Imam al-Hasan al-Basri setelah mengenali Syiah di Madinah. Selepas Wasil bin Atha' bercanggah dengan gurunya, al-Imam Hasan al-Basri dalam hal al-Manzilah baina al-Manzilatain, dia terus meninggalkan gurunya lalu mula menyebarkan pemikirannya tersendiri.

Ketika ini, fahaman mereka tidak dianggap sebagai suatu firqah (pecahan) akidah, melainkan mereka ini dianggap sebagai fahaman individu yang terseleweng sehingga mereka digelar sebagai al-Muktazili (orang yang mengasingkan diri). Namun, tanpa disedari fahaman ini disusun rapi oleh Abu Huzail al-Allaf (135H-235H) yang menatijahkan Muktazilah menjadi suatu firqah atau mazhab akidah.

Jika dilihat, Wasil bin Atha' berguru dengan tabiin dan Abu Huzail al-Allaf pula hidup dalam 300 kurun awal Islam. Adakah mereka termasuk dalam fahaman salafussoleh? Bagi menjawab kemusykilan ini kita mesti melihat kepada hadis Nabi SAW seperti berikut: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengizinkan umatku berhimpun (bersepakat) di atas kesesatan. Dan pertolongan Allah bersama dengan al-Jamaah." Hadis Riwayat At-Tirmidzi, no.2167

Siapakah al-Jamaah? Imam at-Tirmidzi menjelaskan bahawa al-Jamaah seperti berikut: "Tafsir (penjelasan) bagi al-Jamaah ialah golongan Ahli Fiqh dan ulama serta Ahli Hadis."

Lebih jelas lagi dinyatakan oleh Imam Mulla Ali al-Qari: "Hadis ini menunjukkan ke atas ijmak (kesepakatan) golongan Muslimin yang benar yakni dengan maksud ijmak ulama. Tidak diambil kira kesepakatan orang awam kerana mereka tidak mendalami ilmu agama." Al-Mirqat Al-Mafatih, 2/61

Berdasarkan hadis dan penerangan di atas kita dapat fahami bahawa fahaman golongan salafussoleh diiktiraf hanyalah fahaman disepakati oleh ulama yang benar dan dipelajari daripada guru secara turun-temurun sehingga bersambung kepada Nabi SAW.

Fahaman Muktazilah tidak menepati kedua-dua ciri ini. Hal ini kerana fahaman Muktazilah tidak disepakati oleh ulama, bahkan digelar al-Muktazili (pengasingan diri) kerana mengasingkan diri daripada aliran yang benar khususnya Imam al-Hasan al-Basri.

Kedua, fahaman dan itikad mereka tidak diambil turun- temurun sehingga kepada Rasulullah kerana jelas fahaman mereka diasaskan dan dicipta terkemudian daripada itu. Maka fahaman mereka tidak dianggap termasuk dalam golongan salafussoleh.

Selain Muktazilah, fahaman lain yang muncul adalah Qadariah iaitu suatu fahaman yang menganggap segala urusan manusia tiada kaitan dengan ketentuan dan kekuasaan Allah Taala. Fahaman ini diasaskan oleh Ma'bad Al-Juhani, juga seorang tabiin dan pada masa yang sama bekas murid kepada Wasil bin Atha'. Bahkan menurut Ibn Nabatah, Ma'bad al-Juhani mengambil fahaman ini daripada seorang Nasrani yang baru memeluk Islam di Iraq.

Fahaman lain yang bertentangan dengan golongan di atas ialah fahaman Jabariyyah sekitar 70H yang diasaskan oleh al-Ja'ad bin Dirham. Antara kepercayaan bagi fahaman ini ialah manusia tiada ikhtiar dan usaha, setiap sesuatu ditentukan oleh Allah. Asal fahaman ini dikembangkan dalam kalangan ahli falsafah Yahudi. Menurut sejarah hidup Al-Ja'ad bin Dirham, didapati beliau dibesarkan dalam persekitaran Yahudi di Damsyik.

Fahaman ini kemudian dikembangkan oleh Jahm bin Safwan yang disusun rapi dengan jenama baharu iaitu fahaman Jahmiyyah. Fahaman Jahmiyyah juga menafikan sifat Khabariyyah bagi Allah bahkan menolak ar-Ra'yu (melihat Allah di syurga kelak).

Penulis Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 9:27 AM