SOLAT sunat Tarawih berjemaah sepanjang Ramadan adalah kebaikan yang tidak ada khilaf  maka ini adalah perkara baharu yang tidak dikeji.
SOLAT sunat Tarawih berjemaah sepanjang Ramadan adalah kebaikan yang tidak ada khilaf maka ini adalah perkara baharu yang tidak dikeji.
Dr Mohd Khafidz Soroni

MAZHAB Syafie antara mazhab muktabar yang dipegang ramai umat Islam. Sejak sekian lama, umat Islam Nusantara beramal dengan mazhab Syafie dan ulamanya juga secara konsisten mengamalkan kaedah mazhab Syafie termasuk kefahaman mereka terhadap konsep bidaah.

Namun, dalam era mutakhir, kefahaman ulama Syafie terhadap konsep bidaah mula 'diganggu gugat' oleh aliran baharu yang dibawa masuk ke Nusantara. Hal ini sewajarnya tidak berlaku jika cara yang digunakan dalam batasan adab berkhilaf pendapat. Mereka berhujah dengan hadis al-'Irbadh RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 'Hendaklah kamu mengikuti sunahku dan sunah Khulafa' al-Rasyidin yang mendapat petunjuk lagi benar, peganglah dan gigitlah ia dengan gigi gerahammu. Dan hendaklah kamu berwaspada daripada perkara baharu, sesungguhnya setiap yang baharu itu bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.' Hadis Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan lain-lain

Namun, hadis sahih ini bukanlah tersembunyi bagi ulama Syafie dan mereka juga bukan jahil mengenai pengertiannya. Hadis al-'Irbadh memang cukup penting sehingga Imam an-Nawawi mengkategorikan antara 42 hadis yang disebut sebagai 'kaedah-kaedah agama' dalam al-Arba'innya. Laras bahasa hadis jelas menegaskan umat Islam wajib mengikuti syariat Nabi SAW serta memperingatkan mereka agar tidak menyimpang daripada syariatnya.

Imam Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari mengkelaskan hadis ini sebagai kaedah syarak yang umum. Katanya: 'Ia adalah satu kaedah syarak yang umum dari aspek laras bahasa dan konsepnya. Maksud sabdanya: 'Setiap bidaah itu adalah sesat, ialah apa yang diada-adakan, sedangkan tidak ada baginya sebarang dalil syarak, sama ada melalui dalil khas mahupun am.'

Jelasnya, hadis berkenaan termasuk kaedah umum (al-qawa'id al-kulliyyah), bukannya kaedah fiqah (al-qawa'id al-fiqhiyyah). Oleh itu, Imam as-Subki mahupun Imam as-Suyuti tidak memasukkannya sebagai kaedah fiqah di dalam kitab al-Asybah wa al-Naza'ir mereka. Perkara ini zahirnya disepakati oleh semua ulama usul fiqah.

Oleh itu, perkara baharu yang didapati tidak terkeluar daripada syariat, ia tidak dianggap sebagai bidaah yang sesat. Berdasarkan itu, Imam as-Syafie membahagikan bidaah kepada dua iatu bidaah yang dipuji dan bidaah yang dikeji. Kata Imam as-Syafie bermaksud: 'Bidaah ada dua, yang dipuji dan yang dikeji. Apa yang menepati sunah maka ia dipuji dan apa yang menyalahinya maka ia dikeji.' Pembahagian ini bukan kerana beliau jahil larangan melakukan bidaah, tetapi kerana keluasan ilmu dan ketajaman pengamatannya terhadap apa dimaksudkan oleh Nabi SAW.

Dalam Tahzib al-Asma', Imam an-Nawawi menukilkan: "As-Syafi'i berkata: Perkara baharu ada dua; Pertama, apa yang diada-adakan yang menyalahi al-Quran, sunah atau ijmak maka ini adalah bidaah yang sesat. Kedua, apa yang diada-adakan daripada perkara kebaikan yang tidak ada khilaf padanya bagi seorang pun ulama maka ini adalah perkara baharu yang tidak dikeji. Kata 'Umar RA mengenai solat Tarawih: 'Sebaik-baik bidaah, yang ini', yakni ia perkara baharu yang belum pernah ada, namun apabila berlaku, ia tidak pun mengandungi sebarang penolakan terhadap perkara lalu."

Jelasnya, sesuatu amalan yang tidak menyalahi al-Quran, sunah atau ijmak menurut Imam al-Syafie adalah harus dilakukan. Ramai ulama seperti Imam an-Nawawi memahami hadis itu berbentuk umum yang dikhususkan. Katanya dalam al-Majmu': "Ini adalah daripada perkara umum dikhususkan kerana bidaah ialah setiap perkara diamalkan yang tidak menurut contoh terdahulu. Menurut ulama, ia ada lima bahagian; wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Antara bidaah wajib ialah mempelajari dalil kalam untuk menolak ahli bidaah atau ateis yang mencabar dan ia adalah fardu kifayah. Antara bidaah sunat ialah membina sekolah atau balai, menyusun ilmu dan seumpamanya."

Pembahagian bidaah oleh Imam Ibn 'Abd as-Salam kepada wajib, haram, sunat, makruh dan harus dinukilkan serta diperakukan oleh ulama Syafie seperti Imam an-Nawawi di dalam Tahzib al-Asma' dan al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari.

Ringkasnya, sesuatu perkara baharu menurut ulama Syafie tertakluk kepada hukum yang lima. Oleh itu, sesuatu amalan yang tidak menyalahi al-Quran, sunah mahupun ijmak harus dilaksanakan. Kefahaman ulama Syafie terhadap konsep bidaah seperti yang dibentangkan ini jelas adalah kefahaman muktabar yang sudah pun diterima oleh masyarakat Islam.


Penulis Penyelidik di Unit Penyelidikan Sekretariat Kumpulan Penyelidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ARG) Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 8:43 PM