ALLAH permudahkan segala jalan bagi seseorang Muslim untuk menuju keredaan Ilahi. FOTO Hafiz Sohaimi
ALLAH permudahkan segala jalan bagi seseorang Muslim untuk menuju keredaan Ilahi. FOTO Hafiz Sohaimi
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

BULAN Ramadan akan melabuhkan tirainya kembali menjanjikan seribu satu keistimewaan dan keberkatan yang tiada tolok bandingnya berbanding bulan-bulan Hijrah yang lain. Kedatangan bulan yang penuh berkat ini sememangnya dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh setiap Muslim bertakwa yang telah difardukan kepada mereka ibadat puasa.

Ibadat puasa yang dilaksanakan setiap Muslim sebenarnya berpaksikan matlamat untuk mencapai makam atau martabat takwa yang lebih tinggi. Dengan lain perkataan, apabila seseorang Muslim melaksanakan ibadat puasa di dalam bulan Ramadan, ini bermakna dia sedang menyusun langkah menuju peningkatan dan pengukuhan iman lebih sempurna lagi mantap seolah-olah iman yang bertapak di sudut hati akan digilap dan diperkukuhkan lagi untuk menjejaki mercu tanda iman yang sebenarnya.

Pada hakikatnya, iman merupakan satu kurniaan nikmat dan juga harta yang tiada ternilai yang dimiliki oleh seseorang Muslim dalam kehidupan ini. Oleh sebab itu, iman itu perlu dipelihara dan dijaga dengan sebaik mungkin agar ia tidak berlumuran dengan unsur-unsur kesyirikan dan sifat-sifat mazmumah. Justeru, baginda Rasulullah seringkali memberi peringatan kepada umatnya yang tidak berusaha mempertingkatkan kualiti iman melalui ibadat puasa yang dilaksanakannya dengan sabdanya yang bermaksud: Betapa ramainya kalangan orang-orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa pun pahala daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. Betapa ramainya orang-orang yang berjaga waktu malam hari mereka tidak mendapat apa-apa habuan melainkan kepenatan berjaga malam. (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Maksud hadis Nabi tersebut mengisyaratkan betapa nilai dan harga detik-detik yang menghiasi sepanjang Ramadan tiada terhingga nilainya dan juga terlalu agung sehingga ia tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain. Dengan ini, segala amalan soleh yang dilakukan sepanjang Ramadan tersebut akan dilipatgandakan ganjarannya dan pahalanya oleh Allah sehingga ia mampu memadamkan dosa-dosa yang lalu dengan rahmat Ilahi.

Bagi insan yang masih dilanjutkan usia bertemu bulan Ramadan sewajarnya memanfaatkan saki baki hidup mereka dengan menambahkan koleksi amalan soleh mereka pada bulan Ramadan ini sebagai persediaan dan bekalan sebelum bertemu menghadap Allah taala kelak. Lebih-lebih lagi, di bulan yang penuh berkat ini Allah taala mempermudahkan segala jalan bagi seseorang Muslim untuk menuju keredaan Ilahi di samping mampu memaksimumkan keagungan dan kebesaran Ramadan tersebut.

Oleh itu, bulan Ramadan bukanlah masanya untuk menurut tuntunan hawa nafsu seperti tidur waktu siang hari dan berehat sepanjang masa. Sebaliknya inilah waktunya yang sesuai untuk mengekang gejolak nafsu yang bergelora dan seterusnya mendidiknya dengan perhiasan sifat sabar dan tabah serta takwa dalam mendepani apa-apa jua cabaran, bukan sahaja daripada ibadat puasa, malahan daripada pancaroba hidup yang mendatang.

Dari sini, puasa bertindak sebagai bengkel latihan untuk membentuk ketahanan diri iaitu memelihara nafsu daripada melanggar batasan yang ditentukan Allah, memelihara lidah dan anggota badan yang lain daripada melakukan maksiat dan pendurhakaan kepada Allah. Natijahnya, jiwa Muslim tersebut akan terisi dengan keluhuran pekerti, kekentalan iman dan ketakwaan yang mantap.

Kemuncak daripada kemuliaan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan ialah Allah menjanjikan kedatangan malam al-Qadar yang merupakan satu malam yang paling mulia dan utama di sisi Allah. Malam tersebut dilipatgandakan nilainya dan keutamaannya sehingga mengatasi seribu bulan yang lain. Ini bermakna bahawa amalan-amalan soleh dan kebajikan yang dilaksanakan pada malam tersebut telah dirakamkan oleh Allah mengatasi seribu bulan yang lain.

Malam al-Qadar adalah satu peluang keemasan terbesar yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Muslim. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah melipatgandakan usahanya untuk memperolehi kemuliaan malam tersebut dengan menghidupkan malam sepanjang bulan tersebut terutamanya sepuluh malam yang terakhir dan memperbanyakkan amalan soleh agar dia dapat menempatkan dirinya sebagai insan yang bertakwa kepada Allah.

Pendek kata, terlalu banyak kelebihan dan keistimewaan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan ini. Jadi, amatlah rugi dan malang jika seseorang Muslim membiarkan sahaja kehadiran bulan mulia itu tanpa sebarang pengisian ibadat dan amalan soleh.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin.

sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang menemui Ramadan sedangkan dia tidak diampuni Allah, nescaya dia dijauhi dari rahmat Allah. (Hadis riwayat al-Hakim dan Tabrani) Kalau tidak dalam bulan Ramadan, bila lagi?

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 7:00 AM