APABILA membaca tulisan sebahagian penuntut hadis, kita berasa hairan mengapa mereka terkadang bersikap terlalu keras dalam menyampaikan dakwah. Lebih menyedihkan apabila ada antara mereka yang tidak menjaga adab dan akhlak sebagai penuntut hadis. Ini kerana para sarjana hadis terdahulu bukan sekadar menyampaikan hadis, malah mereka amat menjaga adab. Dengan sebab itu Abdullah ibn Wahab, anak murid kepada Imam Malik pernah menjelaskan bahawa: “Apa yang kami pelajari daripada adab Imam Malik itu lebih banyak daripada apa yang kami pelajari daripada ilmunya.” (al-Asbahani, Hilya al-Aulia’. Tugas penuntut ilmu hadis bukan sekadar menyampaikan hadis, bahkan mereka seharusnya membimbing masyarakat memahami akhlak para ahli hadis.

Al-Khatib al-Baghdadi menegur ahli hadis

Dalam karyanya yang berjudul Jami’ li Akhlak al-Rawi, al-Khatib al-Baghdadi menegur sekumpulan penuntut yang mendakwa diri mereka sebagai ahli hadis. Kata al-Khatib al-Baghdadi: “Aku menyaksikan satu kumpulan manusia di zaman ini yang menisbahkan (menggelarkan) diri mereka sebagai ahli hadis, mereka menyangka mereka golongan yang memfokuskan diri kepada mendengar dan menukilkan hadis semata. Namun dalam keadaan kurangnya ilmu mereka serta jarang sekali menghasilkan karya tentang hadis, mereka adalah kumpulan manusia yang sombong, amat kagum dengan diri sendiri bahkan tidak menghormati golongan guru (yang tua) dan berkeras terhadap penuntut ilmu yang lain.”

Teguran yang diluahkan oleh Khatib ini menggambarkan kepada kita bahawa fenomena berasa kagum dengan ilmu yang sedikit ini adalah perkara yang sering terjadi pada setiap zaman. Malah, ahli hadis tidak terlepas daripada ujian ini. Benarlah kata Imam al-Ghazali bahawa salah satu punca yang menjadikan seseorang itu takabbur adalah kerana ilmu yang tersemat di hatinya. Mereka mudah berasa kagum dengan ilmu yang sedikit.

Ahli hadis adalah golongan yang menjaga adab

Dalam karyanya yang lain, Khatib al-Baghdadi menegaskan bahawa penuntut ilmu hadis itulah orang yang sepatutnya memiliki adab yang tinggi. Ini kerana mereka sering mendengar hadis daripada Nabi yang amat menjaga akhlak. Bacaan hadis-hadis Nabi seharusnya melembutkan hati mereka, menjadikan mereka kagum dengan akhlak Rasulullah yang sangat mulia. Kata Khatib al-Baghdadi: “Sepatutnya penuntut ilmu hadis itu adalah orang yang sangat sempurna adabnya, sangat tawaduk orangnya, sangat tinggi menjaga kesucian agama dan sangat kurang marahnya. Ini semua kerana mereka adalah golongan orang yang sentiasa mendengar hadis-hadis Nabi serta ketinggian akhlak Rasulullah.” (Jami’ Bayan al-Ilm)

Malah, Imam Ibn Jam’ah menegaskan bahawa penuntut ilmu hadis tidak sepatutnya berakhlak buruk. Kata beliau: “Maka seharusnya (penuntut ilmu) berhati-hati terhadap semua sifat buruk serta akhlak yang keji. Kerana akhlak keji ini adalah pintu segala kejahatan bahkan kejahatan keseluruhannya.” (Siyar A’lam al-Nubala). Muhammad ibn Isa al-Zajjaj pernah menceritakan sesungguhnya beliau mendengar Abu Asim menasihatkan penuntut hadis agar menjadi orang yang paling tinggi akhlaknya. Kata Abu Asim: Barangsiapa yang menuntut ilmu hadis, maka sesungguhnya dia telah mempelajari sesuatu yang paling tinggi di muka bumi ini, maka seharusnya mereka menjadi sebaik-baik manusia dari segi akhlaknya.

Kurangkan perselisihan, tapi
carilah titik perdamaian

Benar, pasti akan ada perselisihan pendapat dalam perbahasan ilmu. Namun perselisihan tidak seharusnya menjadikan kita meninggalkan adab, mengherdik lawan bahkan memburukkan mereka. Perhatikan bagaimana sarjana hadis amat menjaga adab sekalipun mempunyai pandangan yang berbeza dalam sesuatu permasalahan. Kita pernah menyaksikan bagaimana Imam al-Syafi’i menghormati pandangan ahli Iraq yang berpegang kepada pandangan Imam Abu Hanifah.

Perhatikan juga bagaimana Imam Malik tidak bersetuju dengan Khalifah al-Mansur yang mencadangkan agar karyanya al-Muwatta dicetak dan disebarkan. Ini kerana menurut Imam Malik, setiap ulama mempunyai pandangan mereka dan kita tidak boleh memaksa seseorang menerima pandangan kita.

Ketaasuban seseorang kepada aliran tertentu turut menjadi punca yang membawa kepada tergelincirnya mereka daripada mematuhi adab menuntut ilmu. Apa yang lebih membimbangkan pada hari ini adalah ketaasuban berlebihan pada guru masing-masing hanya akan memanjangkan perbalahan sedangkan titik pertemuan yang mendamaikan pasti ada. Perpecahan merugikan umat Islam. Kalau kita sepakat Islam pasti berdaulat.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

KETAASUBAN seseorang kepada aliran tertentu turut menjadi punca yang membawa kepada tergelincirnya mereka daripada mematuhi adab menuntut ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 7:00 AM