PENULIS bergambar di hadapan restoran yang menawarkan masakan halal menepati syariat Islam.
PENULIS bergambar di hadapan restoran yang menawarkan masakan halal menepati syariat Islam.
Oleh Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin


Thailand adalah satu-satunya negara Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah kuasa besar dunia. Majoriti penduduk di Thailand beragama Buddha aliran Teravada.

Agama ini dianut 95 peratus masyarakat Thailand dan selebihnya adalah Islam empat peratus, Kristian 0.6 peratus dan 0.4 peratus agama lain.

Tidak hairan jika Islam menjadi agama kedua terbesar di Thailand kerana ia memasuki negara ini sejak abad ke-13 melalui jalur perdagangan.

Thailand dahulu dikenal dengan nama Siam, kemudian berganti menjadi Thai. Asal mula penamaan Thailand dikaitkan dengan sebuah kerajaan Sukhothai yang didirikan pada 1238. Suku kata akhir dari kerajaan terbabit adalah Thai yang bererti bebas, kemudian menjadi Thailand pada 1939.

80 peratus masyarakat Islam tinggal di dearah selatan Thailand seperti Pha Nga, Songkhla, Pattani, Satun, Jala dan Narathiwat. Sebahagian kecil lagi bermukim di kawasan tengah dan utara Thailand. Muslim yang bermukim di selatan Thailand dipanggil Muslim Melayu, manakala yang bermukim di tengah dan utara Thailand dipanggil Muslim Thai. Populasi Muslim Thai termasuk keturunan Muslim Iran, Champa, Indonesia, India, Pakistan, China dan Melayu yang bermukim di daerah yang didominasi pemeluk agama Buddha contohnya di Bangkok, Chiangmai, Chiangrai dan Lamphun. Jumlah mereka dianggarkan 300,000 orang.

Bagi pembaca yang ingin menziarahi Bangkok, kini sudah ada hotel yang diiktiraf sebagai Penyedia Layanan Mesra Muslim oleh Pusat Halal Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Hotel yang dimaksudkan ialah Al-Meroz Hotel yang terletak di daerah Ramkhamhaeng, timur Bangkok dan menawarkan 242 bilik. Antara servis yang ditawarkan adalah makanan halal, bilik ruang solat wanita dan lelaki serta kolam renang untuk wanita dan lelaki.

Manakala setiap bilik dilengkapi sejadah, al-Quran dan arah kiblat.

Tidak dinafikan bahawa Bangkok berkembang menjadi satu daripada destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara. Ini kelebihan Thailand yang turut dikenali dengan gelaran tanah seribu senyuman. Selain memiliki perairan kristal dan pantai putih kapur, pelancong juga berkumpul ke Thailand untuk menikmati masakan legenda mereka seperti tom yam, khao tom dan som tam.

Thailand dikenali sebagai sebuah negara pertanian dan pengeksport makanan utama rantau Asia. Thailand Business Report melaporkan bahawa Thailand menduduki tempat ke lima sebagai pengeksport produk halal dunia pada 2010 dan diiktiraf sebagai yang pertama seumpamanya di rantau Asia. Pembabitan Thailand dalam industri halal sangat pesat jika dibandingkan dengan peratusan penduduk Muslim di Thailand.

Pembaca tentu mengetahui antara cara termudah mencari makanan halal di sebuah negara asing adalah dengan mengetahui lokasi masjid berdekatan. Ini kerana di situ terdapat komuniti Muslim yang menjalankan urusan seharian termasuk berniaga makanan halal dan barang keperluan harian Muslim.

Data rasmi menunjukkan bahawa di Bangkok sahaja, ada 160 masjid yang didirikan bagi keperluan sejuta umat Islam beribadah.

Penulis berpeluang bersolat di Masjid Darul Aman, Bangkok. Masjid ini terletak di kawasan Ratchathewi tidak jauh dari stesen Bangkok Mass Transit System (BTS) Ratchathewi serta Kedutaan Indonesia di Bangkok.

Di sekitar lokasi masjid ini terdapat banyak restoran dan gerai yang menjual makanan halal. Dalam temu bual bersama masyarakat di sini, mereka menyatakan bahawa umat Islam di Bangkok bebas mengadakan kuliah serta acara yang disambut dalam Islam sama ada di peringkat wilayah ataupun kebangsaan.

Diharapkan supaya akan ada banyak lagi usaha lain yang diambil pemerintah dalam memajukan Bangkok sebagai sebuah kota mesra Muslim.

Penulis adalah Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 7:00 AM