MASJID Osaka
MASJID Osaka
Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

PERBINCANGAN mengenai Islam di Asia Timur khususnya Jepun kurang meluas daripada pengkaji sejarah berbeza dengan negara jiran iaitu China.

Mungkin hal itu disebabkan populasi masyarakat beragama Islam di China jauh lebih besar berbanding Jepun.

Masyarakat Jepun mempunyai kepercayaan asal iaitu Shinto dan majoriti berpegang dengan agama itu.

Jika dilihat pada statistik agama di Jepun, sebanyak 54.1 peratus menganut agama Shinto, 40.5 peratus beragama Buddha, 0.7 peratus beragama Kristian dan 4.7 peratus agama minoriti lain seperti Taoisme, Islam, Yahudi dan lain-lain.

Pada 1909, Islam menampakkan kesannya ke atas masyarakat Jepun melalui Mitsutaro Yamaoka selepas beliau menganut Islam dan mengerjakan haji pertamanya ke Makkah dengan nama Islamnya, Omar Yamaoka.

Pada waktu sama, Bumpachiro Ariga, rakyat Jepun yang pergi ke Bombay, India untuk berdagang memeluk Islam di bawah pengaruh masyarakat Islam tempatan di Bombay dan dikenali dengan nama Ahmad Ariga.

PENULIS bergambar di hadapan Port of Osaka.
PENULIS bergambar di hadapan Port of Osaka.

“Terdapat banyak pertubuhan Islam berdaftar yang terdapat di Jepun antaranya Islamic Center Japan, Japan Muslim Association, Japan Muslim Peace Federation, Japan Islamic Trust, Islamic Circle of Japan, Kanazawa Muslim Society, Tsukuba Muslim Resident Association, Islamic Culture Center Sendai dan Muslim Association of Kitakyush,” kata Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin yang berkongsi pengalamannya berkunjung ke beberapa bandar di Negara Matahari Terbit itu seperti Osaka, Nara dan Kyoto dengan wartawan, Mohd Fadly Samsudin.

Elemen penting dalam agama dan kehidupan komuniti Muslim adalah masjid, tempat umat Islam dapat berkumpul. Masyarakat Muslim Turko-Tatar mula menjalinkan perhubungan dengan masyarakat India, Cina, Asia Tenggara yang tinggal di kawasan mereka untuk membina masjid.

Akhirnya, Masjid Kobe dibina pada 1935, diikuti Masjid Tokyo yang dirasmikan pada 12 Mei 1938.

Pada 2010, sebuah masjid diberi nama Osaka Masjid dibina.

Masjid itu adalah salah satu masjid terbesar di Osaka.

Ia dilengkapi kedai menjual makanan halal di tingkat satu, dewan solat di tingkat dua dan dewan solat perempuan di tingkat tiga.

ALI’S Kitchen antara restoran halal terkenal di Osaka.
ALI’S Kitchen antara restoran halal terkenal di Osaka.

Kerajaan Jepun mula menunjukkan minat terhadap Islam dengan menaja dari sudut kewangan sepenuhnya untuk Persatuan Kebudayaan Islam (Isuramu Bunka Kyokai) yang ditubuhkan pada 1937. Kementerian Luar Negeri mula menerbitkan jurnal tersendiri berkenaan Hal Ehwal Islam (Kaikyo Jijo) pada 1938.

Pada tahun sama, ditubuhkan Greater Japan Muslim League merangkumi institusi penyelidikan untuk Pengajian Islam dan Institusi Penyelidikan Asia Timur yang bertanggungjawab ke atas sejumlah besar kajian di Asia Barat dan Islam.

Penulis berpendapat sejak 1970, terdapat kecenderungan Jepun terhadap Dunia Islam hingga membawa kepada pertambahan jumlah masyarakat Jepun memeluk Islam.

Situasi itu dikenali Islamic Boom diikuti peristiwa Krisis Minyak pada 1973. Kepentingan minyak dan negara Islam yang menjadi pengeluar utama minyak kepada Jepun diakui dan media massa Jepun memberikan publisiti sepenuhnya kepada Islam dan Dunia Islam.

Pada saat mengetahui Islam melalui peristiwa itu, ramai masyarakat Jepun mula memeluk Islam sama ada memeluk Islam secara ikhlas selain terdapat juga dalam kalangan mereka memeluk Islam kerana ikutan pada masa itu.

Pada 1980, semakin banyak tanda positif Islam mula bertapak di Jepun, diikuti migrasi ke Jepun oleh ribuan pekerja dari Asia seperti Pakistan, Bangladesh, Iran, Indonesia dan Malaysia yang menyahut masalah kekurangan tenaga buruh di Jepun.

Ada antara mereka berjaya mendapatkan tempat tinggal secara sah di sana dengan mengahwini wanita Jepun.

Menjelang 1990, ramai pelajar dari negara Islam mendaftar di kolej dan universiti di Jepun.

Sebahagian daripada mereka mencari pekerjaan di Jepun dan menetap di sana selepas tamat pengajian.

Melalui pemerhatian, penulis mendapati Jepun adalah sebuah negara yang tidak mengehadkan penduduknya berpegang hanya pada satu agama walaupun majoriti penduduknya menganut agama Shinto dan Buddha. Sebahagian daripada mereka berpegang kepada falsafah Konfusianisme dan Taoisme.

Pelbagai jenis agama diperkenalkan di negara itu seperti Kristian dan tidak ketinggalan juga Islam.

Untuk menyebar dan mengembangkan Islam di Jepun perlu memenuhi beberapa syarat dan menangani cabaran. Seseorang perlu mengetahui dan memahami sifat dalaman, realiti hidup dan sejarah negara dan masyarakatnya.

Sungguhpun Jepun sebuah negara maju yang pesat membangun namun masih mengekalkan nilai murni pada setiap penduduknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 9:34 AM