Mohd Rizal Azman Rifin

Pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

SIKAP kebersamaan dan semangat kekitaan antara teras utama dalam ajaran Islam.

Islam mahu umatnya berpegang erat pada tali Allah dan mengelakkan berpecah-belah.

Dalam segala aspek syariat Islam pasti terkandung pendidikan buat umat Islam agar bersatu.

Demikian juga dalam syariat ibadat haji dan umrah yang memupuk jalinan ukhuwah sesama Islam sebagai tunjangnya.

Kesamarataan, saling berhubung mesra, tidak mementingkan diri, berpuak-puak serta bersikap toleransi diserlahkan sepanjang tempoh ibadat itu dilakukan di Tanah Suci.

Bayangkan jemaah datang dari seluruh dunia yang berbeza warna kulit, kedudukan dan budaya serta adat resam disatukan dalam satu ibadat.

Masing-masing membuang segala unsur atau amalan berpuak-puak serta hidup kenegaraan.

Gambaran murni itu mampu menyuntik sikap bersatu padu, sekali gus mengikis prasangka buruk antara satu sama lain.

Dalam ibadat haji itu, lebih dua juta umat Islam berkumpul di Tanah Suci Makkah bagi menyahut perintah Allah SWT melaksanakan Rukun Islam kelima dengan mengumandangkan gema lafaz takbir, tasbih dan tahmid bersama-sama.

Ketika ini, banyak rantau yang dihuni umat Islam kekal dalam situasi sangat tidak aman apabila satu persatu persengketaan timbul.

Natijah daripada syariat Islam seperti solat berjemaah dan haji itu seakan-akan hanya berlaku dalam masjid dan di Tanah Suci sahaja.

Kekuatan dan semangat bersama ketika melaksanakan ibadat haji seolah-olah ‘dilucutkan’ tatkala dibuka pakaian ihram.

Bagi mereka yang dikurniakan Allah SWT dapat berada di Makkah untuk bertawaf, bersaie mahupun ketika di Padang Arafah, pasti mengerti apa itu perpaduan.

Umat Islam berhimpun membawa satu misi dan mahu menjayakan satu visi yang sama.

Tiada perbezaan mazhab atau ideologi politik dizahirkan, sebaliknya hanya bertekad mahu menunaikan setiap amalan haji mengikut tertib yang digariskan.

Mereka benar-benar mengamalkan seperti disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan, bahagiannya saling menguatkan bahagian yang lain.”

Imam Muslim meriwayatkan satu lagi sabda Baginda SAW yang menegaskan: “Perumpamaan orang mukmin dalam hal saling mengasihi adalah seperti sebuah tubuh. Jika salah satu anggotanya berasa sakit, maka anggotanya yang lain turut sama merasakan sukar tidur dan demam.”

Asas perpaduan seharusnya bertunjangkan keutuhan tauhid yang satu.

Satu syahadah pelbagai resam terzahir ketika berada di Tanah Suci dan hal itu tidak menimbulkan sebarang konflik.

Tidak wajar sama sekali segala pendidikan akhlak dan amalan baik sepanjang menunaikan ibadat haji terpinggir sebaik kembali ke kampung halaman.

Jauhi sekadar hebat dan patuh kepada Allah SWT ketika di Tanah Haram, sedangkan di luar kembali menjadi manusia yang penuh dengan kudis dan nanah mazmumah.

Jangan hanya melihat amalan ibadat haji pada lahiriahnya sahaja kerana di dalamnya tersingkap pelbagai pendidikan berguna untuk kelangsungan kehidupan masyarakat dan negara.

Kita memanjat doa ke hadrat Allah semoga perpaduan umat Islam kembali teguh dan harapan sama juga kita panjatkan untuk melihat hubungan sesama negara Islam turut kukuh hasil tautan pada ‘tali Allah’ yang satu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 8:59 AM