Mohd Rizal Azman Rifin

Pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

ORANG yang memahami tujuan dihidupkan di dunia sangat beruntung kerana setiap amalannya sentiasa berpaksikan matlamat mendapat ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.

Sedangkan bagi mereka yang ‘gagal’ memahami matlamat hidup akan membiarkan diri dihanyutkan dengan sikap ‘hubbud dunya’ yang melampau.

Sebagai Muslim, kita sewajarnya memahami makna dan matlamat kehidupan dunia agar tidak seperti umat lain yang tidak menjadikan akhirat sebagai tujuannya.

Sebab itulah, semasa Saidina Umar al-Khattab memegang teraju kepemimpinan kerajaan Islam di Kota Madinah, beliau tidak putus-putus memberikan nasihat dan peringatan kepada umat matlamat hidup di dunia.

Umar sangat menginsafi seandainya berlaku kealpaan semasa hidup akan membawa padah kepada untung nasib seseorang di akhirat kelak.

Beliau pernah mengingatkan masyarakat Islam dengan menyatakan, “Ketahuilah. Dunia ini hijau dan menyenangkan. Banyak manusia yang terpesona dan ingin mendekatinya.

“Oleh sebab itu, jangan kamu tertipu olehnya. Jangan menjadi dunia tujuan hidup kamu kerana jika dunia menguasai hati kamu, dia akan sukar dilepaskan daripada hati kamu.”

Antara aspek yang mencuri tumpuan hati manusia adalah harta benda dan kekayaan.

Kerana keduniaan, tercetusnya pelbagai fenomena sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti salah guna kuasa, rasuah dan pecah amanah.

Mereka yang hatinya terpaut dengan dunia seolah-oleh membiarkan masa hidup untuk nikmat yang sementara.

Manakala nikmat yang kekal abadi di akhirat tidak diberi keutamaan.

Orang Islam yang benar-benar memahami kehidupan dunia dan akhirat, pastinya akan sentiasa mengingati firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid, ayat 20 yang bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan yang dimegahkan serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan petani kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning dan hancur. Kemudian di akhirat nanti, ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredaan-Nya. Kemudian kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. Maka jangan menjadikan dunia tujuan hidup.”Kita sewajarnya memantapkan hati dan jiwa untuk sentiasa ingat kepada kematian dan alam akhirat yang bakal ditempuhi.

Umar al-Khattab mengingatkan kita, ‘Ketahuilah manusia yang disibukkan untuk memikirkan hal dunia, maka hatinya akan menjadi gelap. Sebaliknya, manusia yang sering mengingati akhirat yang bakal ditempuhinya, tentu sekali hati menjadi tenteram dan tenang.’

Muslim yang memahami erti kehidupan dunia akan merangka agenda kehidupannya selari dengan tuntutan al-Quran dan akan berusaha sedaya upaya mengikuti teladan sunah Rasulullah SAW.

Justeru, usah mendewa-dewakan kenikmatan dunia kerana ia pasti akan menjerat diri sehingga segala perbuatan lebih terarah untuk berseronok dan mengejar kekayaan semata-mata.

Apabila gejolak hawa nafsu duniawi mendominasi diri, maka kita tidak mampu menggunakan ketajaman mata hati dan akal fikiran menepati kehendak agama.

Insya-Allah, berkat hidup berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW setiap perkara dilakukan akan memperoleh rahmat dan perlindungan Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 9:12 AM