APABILA seseorang itu memiliki iman yang teguh, apa sahaja musibah yang menimpa akan diharungi dengan hati yang tenang.
APABILA seseorang itu memiliki iman yang teguh, apa sahaja musibah yang menimpa akan diharungi dengan hati yang tenang.
Mohd Rizal Azman Rifin

ENAM prinsip dalam Rukun Iman wajib diyakini di hati. Tanpa keyakinan mendalam terhadap keenam-enam prinsip itu akan membawa kehancuran kepada kehidupan seseorang Muslim.

Prinsip Rukun Iman bukan sekadar untuk dihafal semata-mata, tetapi mesti dibenihkan dalam hati sehingga memutikkan jiwa yang luhur.

Ia akan memandu arah tuju seseorang Muslim melayari kehidupan kerana hidup di dunia ini bukan semudah yang kita jangkakan.

Allah SWT menempatkan kita di sini sebagai destinasi sementara menuju ‘keberangkatan’ ke alam yang kekal abadi, akhirat.

Sebagai hamba, prinsip dalam Rukun Iman disediakan sebagai matlamat yang memberi panduan bagaimana mengendalikan kehidupan agar tidak tergelincir ke kancah yang dimurkai Allah.

Keyakinan terhadap takdir Allah hilang tatkala kita dihimpit permasalahan hidup. Apabila seseorang itu memiliki iman yang teguh, apa sahaja musibah yang menimpa akan diharungi dengan hati yang tenang.

Tidak bermaksud kita perlu menyerah sebulat-bulatnya terhadap apa yang menimpa diri.

Kita masih ada usaha dan tindakan dalam menanganinya. Dengan penuh yakin, kita percaya akan tiba masanya Allah memberikan takdir baru yang lebih baik.

Berdepan dugaan hidup boleh membuatkan seseorang mudah cepat berputus asa.

Hakikatnya apa sahaja takdir yang ditimpakan kepada kita adalah ujian untuk melihat keyakinan kita terhadap-Nya.

Maka, keyakinan kepada Rukun Iman memainkan peranan penting dalam mententeramkan jiwa.

Contohnya, apabila ibu bapa kehilangan anak tersayang, sudah pasti perasaan mereka hancur luluh.

Bagaimanapun, keyakinan terhadap qada’ dan qadar Allah SWT yang memandu hati mereka supaya tidak keterlaluan mengikut emosi.

Tenang dan serahkan semuanya kepada Allah SWT. Yakinlah bahawa setiap takdir Allah itu pasti ada hikmahnya sehingga timbul di hati, Allah Maha Merancang buat setiap hamba-Nya.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW menegaskan: “Amat menarik sekali akan perihal orang yang beriman, sesungguhnya semua perkara yang berkaitan dirinya adalah baik baginya, dan tidaklah perkara ini berlaku melainkan hanya kepada orang yang beriman. Sekiranya dia mendapat kenikmatan maka dia bersyukur dan itu adalah kebaikan buatnya. Apabila dia ditimpa kemudaratan, lalu dia bersabar dan itu juga adalah kebaikan buatnya.” (Riwayat Imam Muslim)

Sememangnya kita diwajibkan beriman kepada takdir Allah. Namun, kita tidak boleh berpangku lengan tanpa bertindak memulihkan takdir yang kurang menyenangkan kita itu.

Contohnya, rakyat ketika ini menghadapi kenaikan harga barang. Bagaimanapun, mengeluh tidak akan memberikan sebarang keuntungan.

Sebagai mukmin, keyakinan kepada takdir Allah dengan tercetusnya isu kenaikan harga barang itu mesti ada.

Pada masa sama, kita perlu berusaha untuk mengatasinya. Ada antara kita sanggup melakukan dua atau tiga kerja demi mencari duit lebih.

Berkat kecekalan serta kerajinan mereka, maka hasil itu dapatlah mereka tampung buat perbelanjaan diri dan keluarga.

Tindakan itu berjaya mengalih satu takdir kepada takdir yang lebih baik buat dirinya. Besar atau kecil takdir yang disediakan Allah SWT, kita perlu meyakini Allah Maha Merancang dan memberikan yang terbaik buat hamba-Nya.

Usahlah dicalar kadar iman dengan berkeluh kesah serta menyalahkan takdir. Ini kerana terdapat takdir yang dinamakan muallaq iaitu sesuatu ketetapan Allah yang boleh berubah dengan sebab dan ikhtiar yang kita lakukan.

Paling penting, kita perlu sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seseorang daripada kamu mati melainkan dalam keadaan yang bersangka baik kepada Allah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 10:20 AM