Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Bersama Fadly Samsudin

Isteri Nabi Muhammad SAW bernama Ummu Habibah pernah berdoa seperti dinyatakan dalam satu hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA.

Ummu Habibah pernah berdoa, “Ya Allah! Berilah nikmat panjang umur untuk aku hidup menjadi isteri Rasulullah serta dengan Abu Suyfan dan saudaraku Mu’awiyah.”

Mendengar perkara itu, Nabi Myhammad SAW berkata yang bermaksud, “Sungguh engkau telah meminta kepada Allah ajal yang telah ditentukan, hari-hari yang telah ditetapkan dan rezeki yang sudah terbahagi. Sesuatu tidak akan dipercepatkan sebelum waktunya. Seandainya engkau memohon kepada Allah agar engkau terhindar daripada azab neraka atau azab kubur, nescaya itu lebih baik dan lebih utama.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Perkara yang Allah SWT sudah tentukan pastinya tidak boleh lagi dipercepatkan atau dilewatkan. Ini termasuk perkara mengenai ajal dan rezeki seseorang di atas dunia ini.

Dalam hadis itu, Nabi SAW berkata kepada isterinya, lebih baik minta diselamatkan daripada azab kubur dan seksaan neraka daripada memohon perkara yang tidak dapat diubah.

Sememangnya, kita dianjurkan memohon perlindungan daripada azab kubur.

Satu hadis riwayat Aisyah menyatakan: “Telah datang berziarah kepada aku dua wanita tua Yahudi penduduk Madinah. Kedua-duanya berkata kepada aku, sesungguhnya penghuni kubur itu akan diseksa di kuburan-kuburan mereka. Aku mendustakan perkataan dua wanita Yahudi itu dan aku tidak suka membicarakan perkataan mereka.

“Kemudian mereka berdua keluar dan masuklah Nabi SAW kepadaku, maka aku berkata kepadanya, Wahai Rasulullah sesungguhnya ada dua wanita tua dan aku menceritakan kisah (mengenai wanita Yahudi yang mengatakan ada seksaan kubur).

“Aku tidak mengetahui tentang azab kubur, sampai datang perempuan Yahudi kepadaku. Dia meminta sesuatu kepadaku, kemudian aku berikan. Perempuan Yahudi itu berkata, semoga Allah menjagamu daripada azab kubur. Aku mengira itu hanyalah bualan Yahudi semata-mata. Hingga akhirnya, Rasulullah datang, aku memberi tahu perihal itu, Rasulullah mengatakan kepadaku bahawa azab kubur itu ada.”

Lalu Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Kedua-dua wanita Yahudi itu benar, sesungguhnya penduduk kubur itu akan diseksa dengan seksaan yang akan didengar oleh seluruh binatang ternak. Maka, sejak itu aku tidak pernah melihat Baginda melaksanakan solat kecuali meminta perlindungan daripada azab kubur.”

Di dalam kubur, akan ada golongan yang mendapat nikmat serta ada menerima azab yang sangat dahsyat.

Nabi SAW menyatakan, golongan yang diseksa itu jeritan mereka boleh didengar oleh haiwan ternakan.

Barangkali, kita yang melalui kawasan perkuburan mendapati ia aman dan tenteram sahaja. Pada hakikatnya, terdapat pelbagai cerita di alam sana.

Satu kisah masyhur membabitkan sahabat Nabi SAW iaitu Saidina Uthman Ibn Affan apabila melintasi kawasan perkuburan, beliau akan menangis teresak-esak.

Ketika ditanya oleh sahabat yang melihat keadaannya itu, Saidina Uthman berkata, perkara itu disebabkan Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Kubur ini tempat pertama dari tempat-tempat akhirat dan tempat terakhir dari tempat-tempat dunia. Sesiapa yang selamat dari kubur itu, maka apa yang sudah-
nya adalah lebih ringan. Dan sesiapa yang tidak selamat darinya, maka apa yang berlaku sesudahnya akan lebih berat lagi.”

Kubur adalah ‘rumah’ pertama kepada alam akhirat. Cerita mengenai tiupan sangka kala, kebangkitan serta perhimpunan manusia di padang mahsyar, timbangan amalan, melintas titian sirat, syurga dan neraka itu semuanya masih jauh lagi perjalanannya.

Ramai manusia menghabiskan masa ‘bergelut’ untuk mendapatkan kenikmatan dunia dan kurang memikirkan persiapan mereka untuk menghadapi masa yang sangat panjang di alam kubur kelak.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 9:23 AM