GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sedetik Rasa

KITA sangat mengharapkan syafaat Rasulullah SAW di Padang Mahsyar kelak. Maka, antara amalan yang perlu kita lakukan pada setiap hari adalah memperbanyakkan berselawat.

Nabi SAW berkata: “Siapa yang berselawat kepadaku pada waktu paginya sepuluh dan pada waktu petangnya sepuluh, maka dia akan mendapat syafaat dariku pada Hari Kiamat.”

Jangan sesekali kita meninggalkan amalan berselawat terutama selepas solat Subuh dan Asar masing-masing sebanyak sepuluh kali.

Selain itu, kita perlu sentiasa beristighfar untuk memohon keampunan daripada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW walaupun bersifat maksum, Baginda masih tetap memohon taubat kepada Allah SWT seratus kali sehari semalam.

Sebagai manusia yang sentiasa melakukan dosa, kita sepatutnya perlu lebih banyak beristighfar.

Selesai solat, ramai dalam kalangan kita beristighfar, namun ia tidak dilakukan dengan penghayatan dan sambil lewa.

Seperti biasa dilihat, mulut mengucapkan istighfar, tetapi pada masa sama mata melihat telefon.

Istighfar adalah permohonan ampun kepada Allah SWT atas dosa atau kesalahan yang kita lakukan.

Maka, ia perlu disertai dengan niat bertaubat yang ikhlas serta dilafazkan dengan penuh harapan supaya dosa itu diampunkan Allah SWT.

Kita boleh mengucapkan istighfar seringkas Astagfigrullah hal Azim. Manakala lafaz istighfar yang lebih sempurna adalah Astagfirullah al-'Aziim, al-lazi la ilaha illahu, al-Hayyul-Qayyum wa atubu ilaih.

Bagaimanapun, ada lagi yang lebih sempurna dan afdal. Ia dinamakan Sayyidul istighfar iaitu mengucapkan Allahumma anta Rabbi la ilaha illa anta, Anta khalaqtani wa ana abduka, wa ana ‘ala ahdika wa wa’dika mastata’tu, A’udhu bika min sharri ma sana’tu, abu’u laka bini’matika ‘alaiya, wa abu laka bidhanbi faghfirli innahu la yaghfiru adhdhunuba illa anta.

Maksud ucapan Sayyidul Istighfar itu adalah: “Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkau menciptakanku dan hamba-Mu dan aku (terikat) dengan janji-Mu semampu yang aku boleh laksanakan, aku mohon perlindungan-Mu dari kejahatan yang aku lakukan, aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milik-Mu dan aku mengakui terhadap dosa-dosaku. Oleh itu ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali Engkau.” (Riwayat Bukhari)

Lafaz Sayyidul Istighfar itu penuh dengan adab kerana ia didahului dengan pujian kepada Tuhan yang Maha Agung.

Lafaz itu penting untuk kita hafal sebab Nabi SAW menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengucapkannya pada siang hari dan meyakininya, lalu dia mati pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk penghuni syurga.

“Dan barangsiapa mengucapkannya pada malam hari dalam keadaan meyakininya, lalu dia mati sebelum waktu pagi, maka dia termasuk penghuni syurga.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kita perlu memohon keampunan daripada Allah SWT sebanyak-banyaknya sebagai bekalan bertemu Allah SWT kelak.

Alhamdulillah, pada bulan Ramadan ini amalan kita walaupun dibuat sedikit, namun ganjarannya cukup besar.

Maka, ketika ia masih berbaki ini, gunakan peluang yang ada untuk bersegera melakukan amal kebaikan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imraan, ayat 133)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 8:54 AM