GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

KITA kini berada pada fasa sepuluh terakhir Ramadan. Semua mengetahui Ramadan adalah bulan Allah SWT gandakan pahala ibadat.

Gandaan itu dapat difa-hami menerusi anugerah malam lailatulqadar. Umat Islam disuruh mencarinya pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Allah SWT menjelaskan perihal malam itu menerusi firman-Nya dalam al-Quran bermaksud: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.” >b/b

Beribadat pada malam lailatulqadar pahalanya lebih baik daripada beribadat dalam tempoh 1,000 bulan iaitu kira-kira 83 tahun.

Begitulah Allah SWT menzahirkan kehebatanNya, keagungan-Nya serta sifat pemurah dan kasih sayang terhadap hambaNya.

Justeru, rebutlah peluang besar itu dengan menggandakan amalan pada sepuluh malam terakhir Ramadan ini.

Jika malam sebelum ini, kita tidak menghidupkan malam dengan solat sunat, maka sekarang kita perlu lakukannya dengan penuh tekun.

Selain itu, jika sebelum ini kita tidak membaca al-Quran pada waktu malam, gunakan kesempatan ini untuk membaca al-Quran dengan bacaan yang baik.

Jika kita belum lagi bersedekah, carilah tabung derma di masjid.

Kalau kita tidak lupa melakukan amalan itu pada setiap malam dalam tempoh sepuluh terakhir Ramadan ini, bermakna kita sudah melakukan kebaikan pada malam lailatulqadar.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya kelebihan menghidupkan malam Ramadan dengan melakukan solat sunat dan ibadat lain.

“Sesiapa melakukan qiyam Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” >b/b

Imam an-Nawawi dalam Syarh Muslim menjelaskan menghidupkan malam Ramadan itu adalah solat Tarawih.

Menurut Ibn al-Munzir, yang dimaksudkan dengan ‘pengampunan dosa’ itu termasuk dosa besar dan dosa kecil.

Setiap orang tidak terlepas melakukan dosa dan kesilapan. Ramadan menyediakan ruang cukup luas untuk kembali kepada Allah SWT agar diampuni segala dosa yang dilakukan.

Begitu juga dengan membaca al-Quran. Al-Quran perlu dibaca dan ayatnya dihayati dengan penuh keimanan.

Segala perintah dan larangan Allah SWT termaktub dalam al-Quran. Ganjaran bagi amalan membaca al-Quran digandakan oleh Allah SWT, apatah lagi jika dibaca pada malam lailatulqadar, pasti lebih lagi.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), ia akan mendapatkan satu kebaikan yang nilainya sama dengan sepuluh kali ganjaran (pahala). Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” >b/b

Sedekah juga antara amalan yang pahalanya digandakan Allah SWT pada bulan Ramadan.

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh dalam hal itu. Baginda dilihat lebih pemurah pada bulan Ramadan.

Baginda SAW sememangnya seorang pemurah, namun lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan.

Oleh itu, marilah kita gandakan amalan sepanjang sepuluh hari terakhir Ramadan kali ini. Keistimewaan lailatulqadar bukan omong kosong, sebaliknya ia perkara benar termasuk dalam perkara yang dirahsiakan Allah SWT.

Kita diperintah mencari malam itu bagi menunjukkan usaha hamba-Nya yang benar-benar mengharapkan keampunan serta ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda mengenai gesaan mencari lailatulqadar bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan.” >b/b

Malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini bukan berlaku sedetik, sesaat atau sejam, tetapi berlangsung sepanjang malam.

Ia berlangsung dari terbenam matahari hingga terbit fajar keesokan harinya.

“Sejahteralah malam (lailatulqadar yang berkat) itu hingga terbit fajar.” >b/b

>b/b

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 8:53 AM