UMAT Islam menunaikan solat Tarawih  pada Ramadan.
UMAT Islam menunaikan solat Tarawih pada Ramadan.
Fadly Samsudin

SALAH satu rukun dalam solat adalah tamakninah. Ia sama dengan kewajipan membaca surah al-Fatihah.

Jika tidak membaca surah al-Fatihah, maka solat seseorang itu menjadi tidak sah.

Tamakninah dalam solat menuntut kepada gerakan serta bacaan yang dilakukan dalam keadaan tenang.

Pada bulan Ramadan kali ini, tular di media sosial apabila tersebarnya video solat Tarawih ‘ekspres’ yang dilaporkan berlaku di sebuah masjid di Cirebon, Indonesia.

Dalam video itu, jelas imam membaca surah al-Fatihah terlalu laju seolah-olah macam satu perlumbaan sehingga surah al-Fatihah yang dibacanya tidak jelas.

Selain itu, ketika belum sempurna melakukan sesuatu gerakan dalam solat, mereka sudah bangun menyambung melakukan gerakan lain.

Dikatakan, solat Tarawih 20 rakaat berserta tiga rakaat solat witir itu dilaksanakan hanya dalam tempoh kurang 10 minit.

Amalan itu didakwa sudah menjadi tradisi masyarakat di kampung berkenaan bertujuan bagi menarik jemaah.

Melihatkan suasana solat dalam keadaan terburu-buru seperti itu, sudah pasti ia menjadi bahan jenaka serta memberi gambaran tidak baik terhadap Islam dalam soal pelaksanaan ibadat.

Solat sunat Tarawih adalah solat sunat khusus yang dikerjakan hanya pada bulan Ramadan. Mengikut imam mazhab yang empat, hukum solat Tarawih adalah sunat muakkad iaitu yang sangat dituntut.

Makna Tarawih itu sendiri adalah beristirehat. Sebab itu, ia dilaksanakan berselang-seli dengan berehat seketika.

Tujuan berhenti rehat seketika itu adalah bagi mendapatkan ketenangan serta keikhlasan ketika bersolat terutama buat warga emas.

Apabila dilakukan secara tergopoh gapah sehingga melanggar tamakninah, maka sudah pasti ia berlawanan dengan sifat solat Tarawih yang bermakna merehatkan itu.

Ulama menjelaskan, tamakninah dalam gerakan solat seperti rukuk dan sujud itu adalah dengan kadar sebutan lafaz ‘subhanallah’.

Melaksanakan solat sunat Tarawih bukan perlu diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Sebagaimana solat lain, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan tenang serta menghadirkan rasa khusyuk.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sudah berjaya orang beriman. Mereka yang khusyuk dalam solat (sama ada solat sunat atau wajib).” (Surah Mukminun, ayat 1-2)

Dalam ibadat solat, apabila ia dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa tamakninah, ia disifatkan sebagai ‘pencuri’.

Terdapat hadis menjelaskan kedudukan golongan yang mencuri dalam solat. Daripada Abu Qatadah, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat mereka.”

Sahabat pun bertanya, “Wahai Rasulullah SAW! Bagaimana mereka mencuri daripada solat?”

Maka Rasulullah SAW menjawab: “Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah).” (Riwayat Ahmad, al-Tabrani dan Ibn Khuzaimah)

Perbuatan seumpama itu juga diibaratkan seperti burung mematuk makanan sepertimana yang dijelaskan dalam satu hadis, Rasulullah SAW melarang umatnya mengerjakan solat seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat. (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’i)

Selain itu, Imam Bukhari menukilkan Rasulullah SAW pernah melihat seorang lelaki menunaikan solat tidak sempurna.

Lalu Baginda memberi arahan kepada lelaki itu supaya bangun dan tunaikan solat itu sekali lagi.

Kemudian lelaki itu mengulangi semula solatnya. Baginda SAW memberi penjelasan lelaki itu perlu mengulangi solatnya kerana dia melakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya engkau mendirikan solat, hendaklah kamu mengambil wuduk dahulu, kemudian menghadap kiblat dan kemudian memulakannya dengan takbir. Bacalah ayat dari al-Quran kemudian rukuklah dan kemudian hendaklah kamu bertenang seketika sewaktu rukuk tersebut. Kemudian kamu berdiri iktidal.

Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu bertenang ketika, dalam tempoh sujud tersebut. Kemudian duduklah (di antara dua sujud) dalam keadaan tenang.

Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu bertenang ketika, dalam tempoh sujud tersebut.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 9:19 AM