PENULIS  (duduk dua dari kanan) bersama rombongan Asmaul Husna berjaya sampai ke puncak Bukit Tursina.
PENULIS (duduk dua dari kanan) bersama rombongan Asmaul Husna berjaya sampai ke puncak Bukit Tursina.
Mohd Zarimi Abu Zih

Allah SWT menyeru kita mengembara untuk mencari pelajaran serta pengajaran daripada kisah yang dinyatakan dalam al-Quran.

Baru-baru ini, penulis bersama 70 peserta dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Asmaul Husna dan Taif Travel berpeluang melawat ke tempat sejarah para nabi terdahulu di Mesir.

Bumi yang Allah SWT sebutkan di dalam al-Quran itu terlalu panjang sejarahnya. Di dalam al-Quran, lebih separuh cerita Nabi Musa Allah SWT paparkan buat kita untuk dikaji dan dihayati.

Begitu juga kehebatan kerajaan Firaun yang dapat dilihat dengan terbinanya Piramid di Giza.

Walaupun Firaun berkuasa dan pernah mengaku dirinya tuhan namun keingkaran menerima seruan Nabi Musa menyebabkan Firaun akhirnya tumbang kepada Nabi Musa atas pertolongan Allah.

Selain itu, Mesir juga terdapat kisah Nabi Yusuf, para wali, ulama serta makam Imam as-Syafie.

Seterusnya, kami berpeluang ke Semenanjung Sinai. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih lapan jam.

Segitiga Sinai adalah sebuah dataran menyerupai pulau berlatarkan dua teluk iaitu Teluk Aqabah dan Teluk Suez.

Keluasannya dalam lingkungan 60,000 kilometer persegi dan mempunyai dua wilayah. Bukit yang terbina itu adalah kesan tiupan angin berusia ribuan tahun.

Dataran Sinai lebih terserlah dengan seni yang terpahat di bukit batu yang menyimpan rahsia agama tauhid Yahudi dan Nasrani.

Di Sinai juga terdapat tempat bersejarah Nabi Musa AS. Antaranya, ‘Uyun Musa iaitu 12 mata air yang disebut di dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: ‘Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.” (Surah al-Baqarah, ayat 60)

Seterusnya, kami ke Jabal Tursina atau Bukit Tursina. Kami turut mengambil peluang mendakinya dengan pendakian hampir lima jam.

Kami memulakan pendakian pada waktu malam dan tiba di puncak bukit itu waktu Subuh. Kesejukan dirasai apabila berada di puncak bukit pada ketinggian 2,400 meter.

Sekiranya mendaki pada Disember hingga Mac, cuaca di puncak Bukit Tursina boleh mencecah negatif. Jika bernasib baik, kita boleh melihat salji turun membasahi Bukit Tursina.

Ketika sampai di puncak, kami berkesempatan membaca ayat dari Surah Al-A’raf, ayat 142-144 yang menceritakan berkenaan peristiwa Nabi Musa bermohon kepada Allah untuk melihatnya.

Namun, ketika Allah menampakkan (keagungan-Nya) kepada gunung itu menyebabkan ia hancur sehingga baginda pengsan dan tidak memberi kekuatan kepadanya untuk melihat Allah SWT.

Sebaik sedar, baginda bertaubat kepada Allah SWT.

Penulis Mudir Maahad Tahfiz Al-Istiqamah, Temerloh, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 8:42 AM