PENCEMARAN sisa toksik boleh menyebabkan kesihatan terjejas.
PENCEMARAN sisa toksik boleh menyebabkan kesihatan terjejas.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

INSIDEN pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim dekat Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor menyebabkan kesihatan lebih 4,000 penduduk tempatan termasuk pelajar terjejas.

Pembuangan bahan sisa toksik itu bukan hanya menyebabkan pencemaran air sungai, tetapi kandungan bahan kimia mudah larut air juga menyebabkan udara dicemari bahan kimia mudah meruap.

Sehingga 19 Mac 2019, jumlah bahan enap cemar yang dikutip berjumlah 990 tan metrik.

Pasukan penilai yang ditubuhkan untuk membuat pemantauan di kawasan terbabit termasuk kualiti air sungai dan udara memberikan fokus kepada beberapa bahan kimia termasuk hidrogen sianida (HCN), akrilonitril, akrolin dan sebatian organik meruap (VOC) yang memberi kesan buruk kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.

Gunung-ganang, bukit- bukau, sungai dan tasik dijadikan bersama udara bersih dan nyaman untuk keselesaan hidup manusia.

Air hujan menyebabkan tumbuh-tumbuhan hidup subur dan mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki buat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 29)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya.” (Surah Ar-Ra’ad, ayat 17)

Isu alam sekitar sering merujuk kepada aktiviti dan tindakan manusia yang memberi impak kepada kualiti alam sekitar termasuk air dan udara.

Aktiviti yang dilakukan atas nama ‘pembangunan’ kadangkala memberi impak kepada struktur muka bumi termasuk hakisan tanah, kepupusan hidupan darat dan akuatik.

Dalam isu di Sungai Kim Kim, kajian sebenarnya sudah banyak dilakukan iaitu sejak 2015 oleh beberapa penyelidik dari universiti tempatan.

Prof Dr Mohamad Pauzi Zakaria dalam satu terbitan mengesan kehadiran bahan toksik seperti hidrokarbon aromatik polisiklik atau polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs) dan Linear alkilbenzena (LABs) atas permukaan sedimen (material atau serpihan daripada batuan) di sungai berkenaan.

Alam sekitar dicipta mengikut aturannya yang sempurna dengan nisbah unsur yang tersendiri.

Perkara itu dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan bumi ini Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu. Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih, maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” (Surah Al-Hijr, ayat 19-22)

Dalam konteks perspektif Islam, pemeliharaan kualiti alam sekitar amat penting untuk kehidupan manusia.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 1:22 PM