GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Mohd Murshidi Mohd Noor

Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah al-Kahfi pada setiap malam Jumaat, itu adalah amalan yang baik dan dituntut.

Kemungkinan masyarakat Melayu di Nusantara konsisten mengamalkan membaca Surah Yasin pada setiap malam Jumaat secara berjemaah memandangkan surah itu lebih pendek berbanding surah al-Kahfi.

Selain itu, bacaan Surah Yasin apabila dibaca secara tartil (tertib dan mengikut hukum tajwid) akan selesai dalam tempoh yang sesuai iaitu sebelum masuk waktu Isyak.

Berbanding bacaan Surah al-Kahfi, jika dibaca beramai-ramai serta dengan bacaan tartil, kemungkinan ia mengambil masa lama dan membebankan sebahagian orang yang ada urusan tertentu kerana surah itu agak panjang.

Surah Yasin adalah ‘jantung al-Quran’ dan terdapat kelebihan bagi sesiapa yang membacanya manakala Surah al-Kahfi seeloknya dibaca secara individu kerana setiap orang mempunyai masa lapang yang berbeza.

Maka, Surah al-Kahfi boleh saja dibaca secara bersendirian di rumah bagi menghidupkan amalan sunah. Ia bertepatan dengan hadis lain yang menyarankan kita agar menghidupkan amalan sunah di rumah.

Pada malam Jumaat atau hari Jumaat memang disunatkan kita membaca Surah al-Kahfi berdasarkan hadis sahih daripada Nabi SAW antaranya, “Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Kaabah).” (Riwayat ad-Darimi)

Islam amat mementingkan sesuatu amalan itu dilakukan secara istiqamah walaupun ia dilihat ringkas dan sederhana.

Masa yang Allah SWT berikan cukup luas untuk kita mendapatkan kurnia dan rahmat-Nya.

Semoga kita mendapat rahmat dan reda Allah SWT dengan sentiasa menghidupkan amalan sunah yang diajarkan oleh ulama dengan kefahaman yang tepat dan bersesuaian dengan syarak.

Kedua-dua surah itu antara surah yang terdapat dalam al-Quran.

Membaca al-Quran adalah satu ibadat dan diberikan ganjaran pahala yang besar.

Umat Islam sentiasa digalakkan untuk melazimi membaca al-Quran tidak kira masa atau tempat.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan ‘Alif Laam Miim’ satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi)

Penulis Pengurus Bahagian Pengurusan Zakat, Wakaf dan Endowmen Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan Universiti Utara Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:57 AM