GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Lihat keluarga dan masyarakat di sekeliling kita, ramai yang perlukan bimbingan. Kita mungkin terlambat untuk mencegah kerosakan akhlak sejak mereka pada awal usia, namun tidak pernah terlewat untuk ‘merawat’ selagi bernyawa.

Mencegah lebih baik daripada merawat. Namun, merawat juga lebih baik daripada berputus asa. Biar kita mati dalam ‘usaha’, bukan mati dalam ‘putus asa’.

Mengajak keluarga dan masyarakat kembali ke jalan yang benar adalah tugas mulia. Ia tugas nabi dan rasul. Kita semua adalah pendakwah.

Cuba lihat ajakan rasul kepada masyarakatnya. Syariat yang dibawa mereka mungkin berbeza mengikut zaman, namun mereka membawa risalah yang satu iaitu agama Islam.

Bahkan, besar kaitan antara dakwah Islamiah dibawa Nabi Muhammad SAW dengan dakwah nabi terdahulu antaranya:

1. Mengesakan Allah SWT.

2. Ikhlas beribadat kepada Allah SWT dan tunduk kepada segala perinrintah-Nya dengan sepenuh hati.

3. Beriman dengan hari kiamat dan alam akhirat.

4. Beriman bahawa semua rasul adalah utusan Allah SWT, mereka semuanya manusia dan tiada seorang pun dalam kalangan mereka anak Allah.

5. Memberi perangsang kepada manusia untuk berbuat baik dan taat kepada perintah Allah SWT.

6. Menimbulkan rasa takut melanggar perintah Allah SWT

7. Menimbulkan rasa gemar menghias diri dengan budi pekerti mulia dan menimbulkan rasa benci kepada kelakuan buruk.

8. Berusaha memperbaiki penyakit masyarakat yang merebak dalam kalangan kaum masing-masing.

Seterusnya, kita telusuri contoh jalan dakwah diceritakan dalam al-Quran. Inilah jalan yang pernah dilalui golongan rasul.

n Kisah dakwah Nabi Nuh a.s

Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar (hari kiamat).”

Ketua daripada kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata.”

Nabi Nuh menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam. (Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) daripada Allah akan apa yang kamu berasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu melalui seorang daripada golongan kamu untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertakwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”

Ajakan paling besar Nabi Nuh lakukan adalah baginda mengajak kaumnya mengesakan Allah SWT.

Baginda merayu kaumnya takutkan Allah SWT dengan gaya bahasa yang mempamerkan kasih sayang. Baginda bimbang keselamatan kaumnya daripada terkena azab Allah SWT.

Walaupun dilemparkan tuduhan sesat, selama 950 tahun baginda sabar dengan sikap kaumnya. Baginda berdakwah siang dan malam tanpa mengeluh.

Nabi Nuh a.s berusaha memberikan berita gembira serta memberi ancaman kepada kaumnya, namun mereka tetap sombong dan angkuh.

Nabi Nuh a.s tidak mahu lagi benih derhaka kepada Allah SWT terus membiak dalam kaumnya. Baginda memohon pembelaan, lalu Allah SWT memerintahkan baginda membina bahtera di atas daratan.

Apabila tiba masanya, daratan itu bertukar menjadi lautan. Lalu kaumnya mentertawakan usaha itu. Setelah bahtera itu siap, orang yang beriman dengan penuh yakin membawa sepasang haiwan bersama-sama mereka.

Tidak lama selepas itu, hujan lebat membanjiri sehingga membinasakan kaumnya yang ingkar termasuk isteri dan seorang anak lelaki Nabi Nuh a.s.

n Kisah dakwah Nabi Hud a.s

Nabi Hud a.s diutuskan bagi kaum ‘Ad. Allah SWT menceritakan kisah baginda dalam al-Quran yang bermaksud: Dan kepada kaum ‘Ad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud, ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleitu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepadanya?”

Kaum ‘Ad adalah kaum yang mendiami kawasan selatan Jazirah Arab dalam daerah al-Ahqaf. Mereka hidup di atas bumi yang subur.

Mereka mencapai tahap kemajuan yang tinggi dengan membina istana indah serta menubuhkan kilang besar.

Bagaimanapun, kaum ‘Ad hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah SWT. Nikmat yang diberi menyebabkan mereka berasa besar diri, hidup hanya mahu berfoya-foya dan menindas orang miskin.

Lebih dahsyat, mereka menyembah berhala yang diberi nama al-Hatar. Antara sistem digunakan Nabi Hud a.s dalam dakwahnya ialah:

1. Menyeru kaumnya menggunakan bahasa lemah lembut supaya mereka beriman kepada Allah dan mematuhi perintahNya.

2. Mengingatkan kaumnya kepada bala yang menimpa kaum Nabi Nuh sehingga mereka binasa kerana menderhaka kepada Allah SWT.

3. Mengingatkan kaumnya pelbagai nikmat Allah yang mewajibkan mereka bersyukur dan meminta ampun daripada-Nya dosa yang mereka lakukan.

4. Berdialog serta mengemukakan dalil kuat kepada kaumnya.

5. Menghadapi segala perbuatan yang menyakitkan dengan penuh kesabaran.

n Kisah dakwah Nabi Saleh a.s

Nabi Saleh diutuskan kepada kaum Thamud yang hidup serba moden dan kaya raya pada zamannya. Mereka daripada golongan Arab jati yang mendiami al-Hijr berhampiran Tabuk.

Kaum Thamud begitu hebat mendirikan kilang perusahaan serta memajukan pelbagai kemudahan laut dan darat.

Dalam kesenangan dan kemewahan itu, mereka lupa diri dan disesatkan oleh hawa nafsu dengan menyembah sembahan lain daripada Allah SWT.

Sebab itulah Allah SWT mengutuskan seorang rasul dalam kalangan mereka. Seperti rasul lain, Nabi Saleh juga menggunakan bahasa yang lembut.

Apabila terjadi perdebatan, baginda mendatangkan bukti yang boleh menundukkan hujah yang menentangnya.

Baginda mendorong peranan akal kaumnya supaya berfikir nikmat Allah SWT serta memikirkan kelemahan diri untuk menghadapi azab Allah SWT.

Apakah persamaan dan perbezaan kaum yang menentang itu dengan cabaran semasa? Pada hari ini, kita semua hidup diuji dengan pelbagai nikmat.

Kemewahan dan kekayaan nikmat Allah SWT ada di sekeliling kita. Oleh itu, ajaklah semua orang mentaati Allah SWT dan jangan sesekali melupakan-Nya.

Dia pasti menambah nikmat itu. Namun, jika kita tidak mensyukuriNya, takutlah kepada azab-Nya yang sangat pedih. Tugas kita mengajak saja, selebihnya setiap orang perlu bertanggung- jawab dengan pilihannya
di hadapan Allah SWT.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 12:02 PM